Monday, May 14, 2018

Terhimpit Hendak di Atas, Terkurung Hendak di Luar

Ahli-ahli UMNO yang telah kenyang memboloti perbendaharaan negara selama ini, dari yang berpangkat Perdana Menteri sehinggalah ketua-ketua cabang, membungkam kelu berderai air mata—seakan mati akal, terkejut dengan kekalahan yang tak terperi, masih kekok untuk menerima realiti bahawa rata-rata kalangan mereka sudah tidak mempunyai kerjaya lagi.

Rata-ratanya, sudah hilang punca rezeki. Tak terbayang UMNO tanpa Putrajaya mampu membiayai segenap cabangnya sebagaimana kebiasaan. Entah berentah, esok lusa bangunan PWTC pun terlelong terus akibat tidak punya wang lagi untuk menanggung segala bangkai bernyawa tersebut.

Cara termudah untuk mereka menerima perubahan drastik begini adalah dengan mencari kambing hitam, menuding jari pada pihak tertentu dan meloloskan diri sendiri dari beban moral yang terhimpun pada pundak sendiri.

Najib Razak dalam ucapan menyerah kalah di pentas PWTC masih berterusan dengan kejelikan begini. Katanya, Pakatan Harapan memenangi pilihanraya menerusi cara yang kotor—permainan persepsi anjuran pembangkang (kini, sudah membentuk kerajaan) dimomokkan terhadap rakyat dan diterima pengundi muda.

Beberapa pimpinan utama UMNO, terutamanya dalam kalangan Pemuda UMNO, lainnya mula bersuara, seusai realiti kekalahan sudah tidak boleh dinafikan lagi. Mereka memalit kekalahan tersebut pada Najib Razak. Kata mereka, kekalahan tersebut akibat skandal dan politik wang Najib Razak.

Bayangkan, sewaktu mereka sedang kekenyangan berkomplot merompak setiap sen wang negara, langsung tidak berketip walau sebutir huruf untuk membangkang Najib Razak. Sewaktu sedang kesedapan meranggah habuan dari Najib Razak, pernah sesekali mereka mempersoalkan moral ketua mereka yang terlibat dalam jenayah 1MDB dan segala cucu-cicit skandal yang lainnya lagi?

Tidak pernah. Walau sebutir huruf yang membangkang Najib Razak pun tidak pernah terkeluar dari lidah mereka.

Sujud menyembah, menjilat kaki pun mereka sanggup—waktu sedang kesedapan meranggah.

Tetapi kini, saatnya sudah terburai, kalah melukut hina maka sang pemuda-pemudi dalam kepimpinan UMNO mula menunjuk taring beraninya.

Perlu perubahan segara, kata mereka.

Parti wajib ada revolusi sepenuhnya, ujar mereka lagi.

Pemimpin rasuah wajib dinyahkan sepenuhnya, jerit mereka berterusan.

Mereka terus lupa, akan kesalahan maha besar diri sendiri yang mengendahkan beban moral sewaktu enak berselingkuh dengan sosok-sosok yang dihumban segala beban kekalahan pada hari ini. Inilah wajah-wajah hipokrit, kepura-puraan yang maha tahkik generasi UMNO berpunya saat begini.

Mereka tidak akan ke mana. Bernyawanya UMNO dalam ketahuan kita berteraskan pada not Ringgit semata-mata. Terbuangnya mereka dari Putrajaya menyebabkan mereka kehilangan lubuk emas. Mereka tidak mampu untuk hidup dalam keadaan daif begini. Kalau takdirnya mereka bangkit, Tuhan sahaja tahu akan waktunya bila kerana kita semua yakin, waktunya itu bukan dalam tempoh terdekat.

Mereka akan lumpuh hampir sepenuhnya. Jentera mereka akan bertempiaran, tidak terbiasa hidup kemiskinan. Ayahanda kawasan tidak mampu lagi bermewah dengan projek-projek dari langit. Entah berentah, esok lusa berbondong menghantar borang keahlian Pakatan Harapan.

Sedikit nasihat buat rakan-rakan UMNO, akuilah kesilapan diri sendiri dahulu—bahawa dulunya diri sendiri tidak bermoral kerana bersekongkol dengan penjenayah, dan perbetulkan perangai rakus terhadap wang, perangai mengenyangkan tembolok sendiri sebelum mula membuka mulut bercakap soal perubahan.

Selamat maju jaya buat UMNO—dulu, kini dan selamanya.