Friday, May 11, 2018

Setelah Enam Dekad

Tumbangnya UMNO/BN dari tampuk kekuasaan Malaysia, menjadi mimpi semua rakyat Malaysia yang begitu dambakan perubahan dan pembebasan. Enam dekad—atau tepatnya 62 tahun, 9 bulan, 13 hari—bermula 27 Julai 1955, UMNO memerintah Malaysia. Sedemikian lama, rakyat Malaysia menunggu peristiwa bersejarah pada 9 Mei 2018 berlaku.

Untuk sekian lamanya generasi sebelum kita bermimpikan hari ini, saat-saat begini. Sewaktu Tun Mahathir mengumumkan kemenangan Pakatan Harapan, kelopak mata bergenang air mata mengenangkan betapa sejarah tercipta hari ini bukan kerja satu malam, atau kerja tahun-tahun mutakhir yang dalam ketahuan kita.

Kita mengenang sosok-sosok yang telah meninggalkan kita semua, bahawa sesungguhnya jerih jasa merekalah yang mengukir sejarah ini. Satu-persatu nama-nama tersebut melintas ruang memori saya; dan tidak terbayang bagaimana jika mereka mendengar perkhabaran bahawa perubahan dan pembebasan yang mereka impikan, yang mereka nukilkan dengan air mata, darah dan keringat dulunya—berbuah jua.

Kita tidak pernah berharap bahawa segala-salanya akan terus berubah menjadi baik, segalanya akan menggapai mimpi-mimpi ideal selama ini dengan tumbangnya UMNO, tetapi kami begitu optimis bahawa perubahan ini adalah pemula kepada proses-proses tersebut.

Begitu kami dambakan, tiada lain tiada bukan, adalah perubahan dan pembebasan.

Pembebasan dari kongkongan feudalisme, yang percaya bahawa Melayu memerlukan pada tuan, memerlukan pada penjaga dan penjaga tersebut adalah UMNO. Tumbangnya UMNO adalah titik mula kepada wacana dan kritik feudalisme yang rencam, yang memungkinkan suatu emansipasi idea dan semangat boleh berlangsung tanpa adanya keterikatan pada konsep tuan-hamba.

Pembebasan ini, akan menanggap semangat perubahan dalam skala yang tiada pernah kita impikan sebelumnya. Ramai begitu takutkan perubahan. Ramai lebih selesa dengan yang lama. Ramai masih teromantis pada resmi dekaden. Jadinya, perubahan adalah suatu yang cukup menakutkan.

Merubah status quo, mencabar yang selama ini kejap terjamin menjadi suatu yang tidak terjangka—adalah hal-hal yang menjadi mimpi ngeri buat generasi yang terhenyak dalam kesedapan feudalisme.

Sepanjangan tempoh pilihanraya ke-14, saya mengambil masa meneladani dan memaknai tulisan Shaharuddin Maaruf menerusi bukunya Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu. Penulis begitu berjaya menabrak dinding feudal yang masih menebal dalam masyarakat Melayu, yang menjadi unsur terutama kepada kemunduran bangsa ini.

Keghairahan atau fetishness bangsa Melayu pada konsep keperwiraan yang salah, yang sumbang, membuah pada pengekalan UMNO di tampuk kuasa sedemikian lama. Ketidakberanian bangsa Melayu mencabar status quo, berkata benar pada yang terang-terangan salah, menyambut perubahan, kritis pada pemimpin atasan, adalah antara analisis penulis pada sikap Melayu yang secara tidak langsungnya, telah membenarkan UMNO membuat onar selama enam dekad tanpa merasa bersalah.

Malam 9 Mei 2018 adalah pemula kepada proses perubahan dan pembebasan dari kebejatan yang berusia berdekad lamanya itu. Kebejatan tersebut, sekian lamanya telah membenarkan parasit bebalisme mengambil alih corak pemikiran masyarakat seanteronya. Bebalisme, yang menurut Alatas menerusi bukunya Intelektual Masyarakat Membangun, membawa pengertian ‘suatu bentuk mental yang lembap, tidak berfikir, tidak dapat ditembusi logik, yang kadangkala cabul, acuh tak acuh, senang terpedaya, tidak saintifik, tidak reflektif, beruncit-runcit orientasinya, tanpa arah, pasif, tidak mampu mereka atau mencipta, dan tanpa sebarang matlamat yang ditujui secara sedar.’

Justeru dengan kemenangan 9 Mei 2018, apakah kerja buat kita pada idea kebebasan dan perubahan akan terhenti? Apakah wacana-wacana melawan turut terkubur sepi?

Sudah tentunya tidak. Kemenangan semalam lepas, cuma satu langkah. Prosesnya panjang dan melelahkan. Mencuci daki kekotoran hasil enam dekad UMNO di tampuk kuasa tidak akan menjadi suatu kerja yang mudah. Kita menjangkakan kelak berlakunya pertentangan, perlawanan yang tiada bertepi antara mereka yang mahu berubah dan mereka yang mahu mengekalkan status quo.

Tumbangnya simbolik feudal—UMNO—menandai berkobarnya semangat emansipasi individu dan idea, pembanterasan undang-undang yang mengikat lidah dan tangan rakyat terbanyak, bermulanya proses keadilan dan pendaulatan undang-undang, membajai kesamarataan dan hak asasi manusia, dan penghapusan rasa gentar menyuarakan tentangan terhadap yang lebih berkuasa.

Selama ini, kita cuma mampu bermimpi. Saban kali menerima khabar perubahan politik di negara-negara luar, rakyat Malaysia hanya kelu berharap dalam diam. Sesekali kita tidak mampu membayangkan malam 9 Mei 2018 bakal berlaku, tiba begitu pantas. Ianya tak terjangka.

Hari ini, kita tidak lagi bermimpikan hal tersebut. Kita seumpama menyambut kemerdekaan kali kedua—demikianlah perasaannya, yang membawa saya terbayang perasaan para demonstran Kerusuhan Mei 1998 saat Suharto mengibarkan bendera putih, mengakui bahawa suara rakyat adalah suara keramat.

Terima kasih, Malaysia. Malam 9 Mei 2018, adalah pemula naratif masa depan kita semua, yang menanti untuk digarap dan dinukil sebaiknya.