Thursday, January 25, 2018

Menyinggung Kelekaan Sendiri

Setahun yang lalu, saya menulis bingkisan ringkas memerihal cita-cita kita yang kerdil lagi hina, lantaran wajah cita-cita tersebut cuma mampu mengenyangkan perut rodong sendiri, berbanding memberi guna dan faedah pada manusia sekitar. Sehingga ke hari ini, persoalan tersebut masih memugar fikiran, tidak pernah padam.

Setelah tamatnya diskusi bersama Teo Lee Ken di Mandala Kawah Buku, membincangkan Intelektual Masyarakat Membangun, kami bersambung lagi dengan perbincangan-perbincangan kecil sesama tetamu yang bertandang.

Hal yang paling memberi kesan pada saya, adalah pada konsep individualistik yang membuahkan rasa cukup (feel good) dalam era media sosial. Dengan berkongsi cerita duka di halaman Facebook dan Twitter, kita merasa tugas dan tanggungjawab pada masyarakat sudah selesai. Kita merasa cukup dengan berbuat demikian.

Jika adanya anjuran protes di jalanan, kita merasa cukup dengan berkongsi gambar dan video, seolah-olah mahu memberitahu kepada dunia bahawa kita juga sebahagian dari perjuangan tersebut. Kebersamaan yang dirasakan, sebenarnya terhenti di halaman Facebook cuma.

Barry Malone, si ketua editor Al-Jazeera English pernah merungut mengenai jumlah Like, Share dan Retweet yang mereka peroleh begitu tinggi, namun hakikatnya jumlah pengunjung sebenar ke laman sesawang mereka amatlah kecil.

Mereka sekadar Like, Share dan Retweet.

Mereka merasa cukup dengan berbuat begitu.

Mereka tidak membaca dan mengkaji, apatah lagi mahu menganalisis paparan fakta yang dibentangkan. Dan malangnya, mereka sudah merasa cukup (feel good) dengan Like, Share dan Retweet.

Lantas, natijahnya apa?

Merasa cukup begini, terbuah akibat sikap individualistik. Kita merasa cukup dengan “sokongan” di media sosial yang bersifat reaksioner. Hasilnya, tidak ke mana.

Terkait dengan pemerihalan cita-cita yang kerdil lagi hina, dan ketidaksanggupan untuk keluar dari kepompong merasa cukup tadi, saya masih optimis dengan keberadaan INSAN adalah jalan keluar alternatif dalam dilema ini.

Kami memulakan INSAN dengan misi untuk menjadi lebih dari sekadar bersimpati, atau merasa hiba. INSAN bermula dengan misi untuk menawarkan cadangan penyelesaian kepada permasalahan sosial dan ekonomi masyarakat.

INSAN berdasar pada rasa tidak betah untuk duduk kaku, tidak berbuat apa-apa, atau merasa cukup dengan perasaan simpati, hiba dan duka. Pagi ini terbaca kisah remaja seumur 13 tahun tidak bersekolah lantaran masalah kemiskinan. Di peringkat peribadi, kisah begini benar mengundang hiba dan simpati, kerana kita tahu rasa susah itu bagaimana, kita tahu macam mana perasaan berada di tempat begitu.

Kerana, kita pernah melaluinya. Paling tidak, di peringkat saya sendiri, saya pernah melalui keadaan begitu.

Dari kisah begini, persoalan sebelumnya timbul kembali—sampai bila kita hanya sekadar mahu merasa hiba dan simpati, dan cukupkah rasa hiba bersambung dengan mengongsikan kisah begitu di halaman Facebook masing-masing akan mengenyangkan perut remaja tadi yang kelaparan, atau memberi peluang kepadanya untuk nikmat memperoleh ilmu di sekolah sebagaimana rakan sebaya umurnya?

Pada kami, persoalan “sampai bila” adalah pukulan paling padu terhadap kekakuan dan kemalasan untuk membuat renungan, mencari dan mengkaji permasalahan serta akhirnya berupaya menawarkan penyelesaian terhadap ribuan permasalahan yang terhidang.

Kami cukup sedar, INSAN punya potensi untuk penuhkan lompong ini. Cumanya, tinggal lagi ia perlukan anjakan kemahuan yang sebenar. Cita-cita dan impian adalah mudah—terkadang sehingga lahirnya idea-idea utopia. Tetapi untuk berbuat, mula bergerak, mula berfikir—itulah tahapan yang paling sukar.

Pastinya di peringkat peribadi, saya kecewa dengan diri sendiri dan kecewa dengan kumpulan peneraju idea awal INSAN. Kecewa yang dimaksudkan pada kekakuan dalam menggerakkan INSAN, menjadikan ia sebuah pertubuhan yang punya idea dan jiwa, punya usaha dan kudrat, punya asa untuk berbuat sesuatu, untuk mengubah keadaan dan masalah, yang berdaya menyediakan alternatif dan kebarangkalian pada anak-anak yang tidak bernasib baik.

Apakah daya dan usaha kita selaku orang-orang yang bijak pandai, punya lulusan universiti, punya kesedaran dan empati, punya tenaga dan ruang dan masa—pada keadaan dan permasalahan di sekitar kita semua?

Merasa hiba itu normal. Merasa simpati itu fitrah. Tetapi, ia tidak cukup sekadar begitu. INSAN perlu dan harus bergerak, tanda hormat pada gelarnya begitu, tanda hormat pada cita-cita murni awal penubuhannya. Kita menanggung bebanan untuk berbuat lebih dari segalanya yang kita pernah berbuat sebelum ini.

Semua ini—persoalan yang menyinggung—adalah untuk saya, untuk INSAN agar sedar diri, pada tanggungjawab yang terleka.