Monday, February 13, 2017

Berdagang Laba Dengan Agama?

Mac ini, sebuah aktiviti kerohanian berjudul Reviving the Islamic Spirit akan bertamu di bumi Malaysia buat pertama kali, setelah bertahun program berbentuk seminar tersebut bersyiar di bumi kelahiran Donald Trump.

Semenjak dulu lagi, saban kali RIS berlangsung di sebelah bumi sana, hati ini tergeletak, untuk turut sama berada dalam program tersebut—mendengar dan menghayati buah bicara dan amanat para ilmuwan kontemporari terkemuka lagi berautoriti, seumpama Hamza Yusuf, Zaid Shakir, Nouman Ali Khan.

Apatah lagi, siri kali ini, RIS bertandang ke Kepulauan Nusantara—tempat duduknya nama besar seumpama Hamzah Fansuri, Daud Fatani, Nuruddin al-Raniri, Naquib al-Attas—sekadar menamakan beberapa tokoh.

Dan sewajarnya pun, RIS bertandang ke mari.

Cuma, saya secara peribadi agak sedikit terkilan, apabila melihat senarai pakej harga untuk turut berada dalam dewan seminar RIS pada Mac ini. Ternyata, harganya bukanlah untuk saya, juga bukan untuk rata-rata rakyat Malaysia di luar sana.

Mungkin RIS tidak menyasarkan golongan seperti saya dan rata-rata rakyat Malaysia yang memang tidak mampu untuk berbelanja “mewah” demi menuntut ilmu dari kalangan ilmuwan yang bertandang Mac nanti.

Mungkin juga, saya telah tersalah anggap selama ini, bahawa RIS adalah untuk semua lapis masyarakat yang berlainan taraf sosio-ekonomi mereka. Padahal, hakikatnya RIS adalah program kerohanian untuk mereka yang mampu mengeluarkan belanja ratusan ringgit bagi seminar dua hari, di PICC Putrajaya.

Saya tidak mengkritik RIS, darihal harga seminar tersebut. Cuma terkilan, sedikit.

Saya tersangat maklum, mengambil contoh mudah, untuk menyertai seminar saintifik sahaja memakan belanja ratusan ringgit jua—bagi membentangkan penemuan terbaru dan kertas penyelidikan.

Saya tersangat maklum, akan kos mengorganisasikan seminar yang bertaraf RIS.

Saya juga, ambil maklum, bahawa segala perbelanjaan para penceramah jemputan juga, adalah dari wang tiket tersebut. Saya maklum akan semua itu, cumanya rasa terkilan dengan pakej harga yang mencekik darah, menyebabkan saya terpaksa menulis akan rasa pahit itu.

Mungkin benar juga, sedari awal tadi kita menulis tentang telahan bahawa kelompok sasaran RIS adalah mereka yang mampu “bermewah”, dan bukan kita-kita semua yang lain ini.

Moga ALLAH mempermudahkan segala urusan RIS, organisasinya, penceramahnya dan pesertanya.

Saya cuma berharap, pihak penganjur sudi menyediakan siaran langsung menerusi Facebook dan Youtube, jadinya kumpulan masyarakat seperti kami ini, jua dapat mendengar dan menghayati buah bicara para ilmuwan di pentas RIS, Mac nanti.