Sunday, December 31, 2017

Kehidupan dan Hal-Hal Yang Tak Selesai

27 tahun Tuhan kurniakan ruang untuk membina kehidupan, mencari makna dan diri. Lingkup tersebut tidak sependek dan tidak-lah jua panjang seumpama yang telah ramai lalui sebelum ini. Sepanjangan usia yang sudah mahu mencecah dekad ketiga, banyak hal-hal yang tak selesai masih—yang butuhkan jawapan dan sebab, dan tidak kurang yang masih jua berterusan menggelintar tanda soal.

Dalam banyak lekuk dan sendi, saya memusatkan persoalan-persoalan ini pada satu tanda soal besar: mana imbangannya?

Bermula dengan perubahan. Saya berfikir perubahan berlaku kerana wujudnya desakan. Desakan-desakan ini mempamer cita-cita. Lantas cita-cita membina perasaan optimis. Jika tidak berhati-hati—tidak bijak mengimbang, optimis ini akan terlajak menjadi idealis.

Kita mendesak segalanya harus menjadi sempurna, seumpama yang terbayang dalam benak idealis kita. Kita mula menghitung pada neraca hitam dan putih. Sudahnya, kita kekagetan pada realitinya yang samar-samar kelabu.

Untuk manusia mandiri, kesemua watak yang mewakili hitam dan putih harus wujud bersekali. Kita tidak boleh untuk memilih putih sahaja. Kita juga setentunya mustahil untuk memilih yang hitam cuma. Kedua-dua hujung ini harus berimbang. Baik dan jahat, harus berimbangan. Malaikat dan iblis, harus wujud bersekali.

Kedua-dua watak ini akan memaksa kita keluar dari keselesaan dualiti—itu pun kalau kita cepat tersedar. Malang sekali hari ini khalayak terjerumus dalam perangkap dualiti yang tidak berkesudahan.

Dialektik Hegel membincangkan peri hal ini—pada kebenaran yang tiada terhenti di suatu titik tetap, tetapi berterusan bergerak seumpama sungai yang mengalir. Pada setia tesis yang terhasil, akan wujudnya anti-tesisnya. Dari penggulatan itu, maka sintesis terpencar. Proses ini lancar apabila manusia memahami akan imbangan.

Bahawa mereka harus menerima kebenaran yang tergugah (compromised truth). Proses penerimaan ini hanya akan berlaku setelah wujudnya usaha untuk mencari imbangan.

Jika kita merenung pada usia dan fizikal kita sendiri, ternyata yang terhasil adalah paradoks yang tiada berkesudahan. Mengapa Tuhan kurniakan kehidupan ini kepada kita, jika hanya kemudiannya kita seumpama dinafikan “kehidupan” itu sendiri? Apakah makna kehidupan, sebenar-benarnya? Mengapa tidak diberi akan kita kebebasan seluasnya, atau kemahuan semahunya—makin berusia, makin lelah fizik kita—dan ini menagih persoalan yang tak berkesudahan.

Mutakhir, saya terfikir akan satu hal—Tuhan meminta kita belajar untuk mengimbangi antara cita-cita dan realiti. Bahawasanya, kita tidaklah mampu memiliki segalanya. Mungkin kebijaksanaan tersebut tersirat dari maksud fizik kita yang makin kelesuan tatkala pencapaian kendiri semakin bersinar dan peluang yang makin terbuka.

Tidak menemui jawapan jua adalah jawapan, demikian kata Prof Tariq Ramadan. Jawapan kepada keberadaan kita dalam fana begini, yang penuh dengan persoalan tanpa jawapan yang tuntas. Sedang ianya, mungkin jawapan kepada kewujudan itu sendiri.

Seumpama cinta. Persoalan cinta. Dari mana hadirnya dia? Mengapa ianya wujud? Kenapa merasa cinta pada seseorang? Banyak kalinya kita tidak mengetahui sebab, atau punya sebarang alasan. Seakannya misteri yang tak terungkai. Kita cukup dengan rasa sedar, bahawa kita cinta pada seseorang dan sebarang persoalan lain tidak lagi perlu diendahkan, dipedulikan jawapannya.

Demikian jua akan hal kewujudan kita di sini. Banyak persoalan tidak membutuhkan jawapan. Atau, Tuhan sengaja mahu kita insafi keterbatasan kita. Mungkin pada satu ketika, Tuhan mahu kita mengungkap: That’s it. That’s my limit. O God, I submit.

Bercakap soal penyerahan (submission), apakah makna iman dan kebebasan saling terkait, atau saling berbalahan? Apakah penyerahan itu, bermaksud tanpa adanya persoalan-persoalan lain, pada sumber teks al-Quran dan hadis? Bagaimana konsep kebebasan berperanan di sini?

Apakah imbangan yang harus kita sorot? Terkait dengan kehidupan, bentuk imbangan bagaimana sewajarnya? Apakah wajar kita persoalkan yang tidak baik cuma, atau yang bersifat tragedi cuma, atau yang malang cuma? Tidakkah kita juga harus mempersoalkan yang dirasakan baik, yang dirasakan berguna, yang dirasakan menepati cita rasa kendiri? Contohnya, apakah kesetiaan tidak butuh persoalan?

Banyak kalinya, mempersoalkan hal yang selesa adalah suatu yang paling sukar untuk kita lakukan. Mempersoalkan kesetiaan, atau kecantikan, atau kebaikan—akan terpalit padanya seribu kehairanan.

Apakah pernah kita mempersoalkan diri sendiri, agar berdaya menjadi berbeza dari sebelumnya? Kerana, hidup ini bermaksud untuk jadi berbeza, apakah benar? Apakah dengan menjadi diri sendiri, kita sebetulnya jujur dengan hakikat kewujudan kita sendiri? Barangkalinya, kebebasan yang kita impi semenjak akal kita boleh berfikir, adalah kebebasan yang memaksudkan perihal ini.

Sudah hampir genapnya 3 dekad usia ini di muka bumi, demikian jua persoalan-persoalan melingkar makin membutuh jawapan dan keterdesakan makin memuncak. Di mana kesudahannya, kita semua tiada jawapan.

Cuma yang kita pasti, teruskanlah berbuatlah baik sesama manusia. Tunaikanlah tanggungjawab sesama insan, terhadap alam, terhadap pepohon, terhadap binatang-binatang. Kita diberi penghormatan dengan gelar humankind; apakah tidak bisa kita menjadi kedua-duanya sekali—human + kind?

Mungkin, dengan bersikap begitu, Tuhan memperkenankan pada kita jawapan yang kita butuhi selama ini.

2018, kita akan berterusan mempersoal hal-hal ini.