Tuesday, September 19, 2017

Idealisme Yang Ter-bingkai

Secara peribadi, saya sudah lama mundur dari selirat politik kampus dan polemik sekitarnya. Cuma hari ini, rasa terpanggil untuk mencoret sedikit sementelah hari ini juga adalah hari pembuangan undi bagi Pilihanraya Kampus UKM siri 2017.

Seingat saya, akhir 2012 adalah tempoh bermulanya saya mencari makna hidup yang berdikit keluar dari bingkai Ḥarakat al-ʾIslāmiyyah (الحركة الإسلامية), spesifiknya PAS. Partai politik tersebut, bukan sahaja menjadi medan pembentukan cara fikir, bahkan segala tindakan dan buah mulut yang terhasil sepanjang 5 tahun berkongsi citra, juga rangkum dalam bingkai ini.

Menyorot wajah-wajah calon mahasiswa yang bertanding—dan penyokong mereka, fikiran saya berlegar mengingat keadaan yang sama jua berlaku pada diri saya 5 tahun yang dulu. Naif, wajah yang penuh rasa cukup dengan butir yang ada di tangan baik ilmunya, pembacaannya, pengalaman hidup dan tenaga tidak kunjung lelah; sehingga pada suatu tahap merasa entitled terhadap segala persoalan dunia.

Saya menulis menggunakan laras bahasa begini kerana merasa tersinggung pada letusan ketawa teman-teman seangkatan dulunya, terhadap kenaifan “adik-adik” di kampus. Merasa tersinggung kerana, sebahagian besar mereka dulunya juga adalah begitu—naif dan menurut, berfikir dan bertindak segalanya dalam bingkai yang telah tersedia, dan realiti yang harus ditelan, mereka dulunya adalah sebahagian dari kumpulan penerus kepada bingkai tersebut.

Maksud yang saya cuba sampaikan di sini adalah, kita akan senantiasa berada dalam bingkai atau kotak, atau dimensi tertentu, yang membatas cara fikir dan tindakan pada satu-satu masa, biarpun setinggi mana kita merasakan ilmu yang kita punya, faham-faham tentang selirat soalan dunia sekitar, dan umur serta pengalaman yang semakin meningkat.

Pahitnya realiti yang harus kita akui, kita juga naif seumpama kita merasakan generasi di bawah kita adalah naif. Kita juga hidup dalam bingkai yang kita cipta dan patuh menurut. Malahan, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa, kita-lah sebenarnya manusia yang sedang terperangkap dalam bingkai tersebut tanpa sedar.

Seumpama seorang itu sedang bermimpi dalam mimpi, ketika tidurnya. Berlapis mimpi. Bayangkan, kita bermimpi memetik sekuntum bunga yang cantik nan wangi, saat kita mahu mencium bunga tersebut, kita tersedar dan rupanya, sedar itu hanyalah sedar dalam mimpi yang lain, juga memaksa kita mengulang perbuatan memetik bunga yang sama.

Kita terperangkap, dalam keadaan kita maklum betapa cantik dan wanginya bunga tersebut. Kita cuba menggagau bunga tersebut, cuba memilikinya dan menikmati wangiannya. Malangnya saat itu kita terjaga dan kita masih bermimpi. Dan, ianya berterusan. Mimpi dalam mimpi.

Saya terfikir akan analogi ini untuk menerangkan perihal bingkai yang meraja dalam benak akal kita semua. Ianya seumpama lapis mimpi yang berterusan. Kita merasakan bahawa kita cukup matang, sedangkan matang yang kita faham itu juga ter-bingkai. Kita merasakan ilmu yang kita punya sudah tinggi, padahal ianya juga ter-bingkai dalam kotak yang kita tidak nampak.

Contohnya, perihal persoalan kebebasan.

Apa yang kita tanggapi sebagai kebebasan pada hari ini, hanyalah sebuah mimpi yang menanti kita terjaga dan mimpi tersebut padam, tetapi kita masih berterusan terperangkap dalam lapis mimpi berikutnya yang juga menggagau pada soal-soal kebebasan yang tidak kunjung habis. Lapis demi lapis, berterusan menggagau tidak berkesudahan soal kebebasan. Ke mana mahu dituju?

Paradoks kebebasan, tulis Karl Popper dalam bukunya The Open Society and Its Enemies. Hal yang tidak kunjung tamat, berterusan dalam mimpi-mimpi setiap manusia yang mengimpikan kebebasan.

Demikian halnya soal idealisme. Idealisme ini ter-bingkai. Kita semua—mahasiswa pasca kehidupan kampus—turut punya idealisme. Dan lebih malang lagi, kita merasakah idealisme yang kita imami sekarang lebih matang dan jitu berbanding dulunya. Persoalan yang harus dilontarkan, benarkah begitu, atau kita turut terperangkap dalam bingkai yang kita tidak sedar kewujudannya?

Saya semakin yakin (yakin di sini jua adalah paradoks yang ter-bingkai dalam mimpi), inilah sebabnya kita akan sentiasa merasa bodoh dan malu dengan sendirinya pada pengalaman yang lalu, pada kepercayaan-pegangan yang dulu, apabila kita mengimbau kembali saat dulunya kita pada umur sekian-sekian.

PAS adalah bingkai yang meraja cara fikir saya dulunya. Ini adalah realiti sejarah yang harus saya telan. Apakah setelah saya berpindah kepada satu idealisme yang lain, bermaksud saya sudah tidak lagi berbingkai cara fikirnya, bertindaknya?

Sudah tentunya tidak sama sekali. Saya akan berpindah pada bingkai yang lain bentuknya pula. Peperangan dan perlawanan dalam diri saya sekarang, adalah peperangan dan perlawanan yang berterusan dengan bingkai yang meraja cara fikir dan tindak saya sekarang. Ianya mungkin tidak lagi berjenama PAS, tetapi akan ada jenama yang lain pula tersangkut.

Menulis renungan begini, menjadikan saya makin menghargai Kierkegaard dalam wacana eksistensi-nya. Kita terbuai dengan soalan-soalan seumpama; “Mengapa kumpulan sekian begitu taasub dengan partai sekian?”, kerana kita begitu berkehendak pada sesuatu maksud atau kebenaran yang bersifat universal, atau berobjektif, atau piawai.

Yang benar harusnya begini dan begini. Yang adil harusnya begini dan begini. Islam harusnya begini dan begini. Begitulah seterusnya tanpa putus.

Kita tidak bersedia atau berkehendak pada maksud atau kebenaran yang bersifat “baik untuk dirinya, pada kala tersebut dan tempat tersebut”.

Generasi selepas kita, akan berpegang pada sebuah idealisme yang mereka fikirkan baik untuk diri mereka, pada waktu tersebut, dan tempat tersebut. Mungkin dengan memberi kredit kepada mereka menjadi diri mereka dengan pilihan yang mereka sendiri mahukan, adalah sumbangan yang terbaik yang boleh kita berikan, berbanding letusan ketawa pada kenaifan mereka.

Kerana, untung jika kita sedar diri bahawa kita juga terperangkap dalam bingkai yang kita sendiri tidak nampak.