Friday, July 28, 2017

Bandar Ini Dibina Untuk Siapa?

Phnom Penh sebuah bandar pelbagai ragam. Berbanding Jakarta atau Kuala Lumpur, bandar ini jauh terkebelakang dari aspek pembangunan materi, tetapi tidak pada roh kotanya yang begitu rancak, toleran, dan dinamik. Namun begitu, mereka ada satu persamaan yang cerlang.

Tiga hari di sini, saya merayau mengelilingi Phnom Penh dengan Thomas, yang berasal dari kota Brighton di UK. Untung beroleh teman seperti Thomas, yang celik politik. Makanya, sepanjangan perjalanan kami rancak berbual banyak hal—Theresa May, Jeremy Corbyn, Brexit, jurang ketaksamarataan kekayaan dan peluang di UK (dan Phnom Penh).

Antara persoalan yang kerap kami kebuntuan jawapan adalah apabila kami mempersoalkan kerancakan puluhan projek mega membina kondominium mewah di tengah-tengah bandar itu, pada akhirnya untuk siapa?

Mereka membina Phnom Penh, atas nama kemajuan dan kemodenan, pada akhirnya untuk siapa?

Untuk mereka yang menjaja butir jagung kering kepada pelancong untuk ditabur pada kawanan merpati di Royal Palace Park សួនមុខព្រះបរមរាជវាំង?

Atau, untuk anak-anak tidak berpakaian melata di tepian jalan menunggu ihsan satu atau dua not Riel dari pelancong di jalan-jalan utama dalam bandar itu?

Atau, untuk kelompok 13.7% Khmer yang masih meringkuk dalam status miskin tegar?

Atau, kondominium mewah itu disediakan untuk kelompok 79% Khmer yang masih tidak punya akses pada bekalan air bersih?

Atau, sebenarnya kesemua projek mewah itu berkehendak pada kelompok 50% Khmer yang masih tidak ditunaikan hak memperoleh peluang pendidikan yang sama rata?

Sepagi ini, kami merayau sekitar Sangkat Tonle Basak. Di celah-celah bangunan mewah kondominum yang sedang dibina, saya menyaksikan para penjaja menolak troli beroda tiga menjaja makanan dan cenderamata kepada orang ramai untuk mencari sesuap rezeki. Permandangan begini, menjadi lali buat kami berdua.

Kami terus bertanya buat sekian kalinya, segala kemewahan dan kemodenan yang dijanjikan dalam bandar ini, pada akhirnya untuk siapa?

Dari satu fasa kezaliman, ke satu fasa ketidakadilan—jelasnya yang sering menjadi bidak kepada para penguasa dan aparat kaum pemodal, adalah rakyat terbanyak yang miskin harta, yang tidak berpeluang menikmati hak pendidikan, hak kesihatan dan peluang yang sama rata.

Dari Kuala Lumpur, ke Jakarta dan kini di Phnom Penh, saya belajar satu hal—ketidakadilan akan kekal menjadi ketidakadilan, sebelum kita ada keberanian untuk merobahnya.