Sunday, June 18, 2017

Tentang Makanan Yang Disediakan oleh Orang Bukan Islam

Perbincangan tentang hal-hal berkait makan dan pemakanan ini tidak salah. Hal yang demikian jua, akan perihal makan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam—juga tiada kesalahan untuk diperbincangkan.

Tetapi, tersangatlah salah bila mana perbincangan darihal memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam menutup segenap kasus perbincangan lain yang terutama peri pentingnya kepada kemaslahatan awam. Mengambil contoh segera, isu (ini pun boleh jadi isu?) kurma yang disediakan oleh orang bukan Islam menjadi bahan perbualan segenap masyarakat dari yang punya PhD sehinggalah yang tidak bergosok gigi, berbanding perbincangan mengenai skandal 1MDB.

Justeru, ketidakimbangan kepada hal yang lebih utama menunjukkan masyarakat kita sedang sakit akal.

Tentang memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam pun perlu mengarang artikel 1,000 patah perkataan—ini perlambangan manusia sakit akal. Mengambil masa berminggu-minggu bergaduh tentang kurma yang disediakan oleh orang bukan Islam—ini perlambangan manusia sakit akal. Untuk memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam pun perlu bertanya soalan khusus kepada ustaz, kau ini dah kenapa?