Tuesday, June 13, 2017

Menanggapi Zoo Naratif Politik Dunia

Dunia hari ini, sesak dan kelam. Sesak dengan selirat-selirat naratif yang tidak kunjung penat, menagih perhatian kita semua—politik identiti, nasionalisme, kaum dan agama. Kelam, dengan kecelaruan dan kelengahan yang terlahir dari selirat yang tidak kunjung habis.

Arus politik kanan semakin membuak ganas. Di bumi Amerika Syarikat, saban hari kita mendengar ragam yang pelbagai, menghiasi kemaraan naratif politik kanan. Cuma di bumi Eropah, arusnya sedikit terbungkam apabila Perancis, Belanda dan terkini United Kingdom menolak secara terang kemaraan mereka.

Dunia politik, hari ini mudahnya seumpama zoo yang menghimpunkan segenap jenis binatang dalam suatu kawasan tertentu. Naratif-naratif yang wujud adalah binatang-binatang yang dibela dipelihara untuk tujuan tertentu oleh suatu kelompok tertentu.

Kita bertanya dalam kesesakan begini, di mana tertinggalnya naratif kebenaran, dan naratif sains?

Ke manakah terperosoknya naratif empirikal? Di mana naratif kebenaran berobjektif? Naratif yang memupuk optimisme dan harapan?

Dan, lagi terutama, naratif kemanusiaan dan kasih sayang, di mana sudah menghilang?

Keangkuhan (baca: kebodohan) Donald Trump memutuskan supaya Amerika Syarikat menarik diri dari Paris Agreement adalah satu contoh bahawa kita tidak lebih dari sekumpulan binatang yang terpenjara dalam zoo naratif yang menjadikan kita bebal, angkuh lagi zalim.

Sudah pastilah juga kita meyakini bahawa zoo naratif bebal begini masih terkalah dengan naratif yang bertunjang pada kebenaran dan harapan. Pemerolehan sokongan yang menakjubkan oleh Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn dalam pilihanraya umum UK baru-baru ini, adalah petunjuk penting untuk kita terus optimis bahawa kekelaman ini ada sinar di penghujungnya.

Cuma tinggal sekarang, adalah tugas kita semua memperbetulkan naratif yang berlegar dalam masyarakat sekitar kita. Saya gemar menggunakan istilah wacana (discourse) sebagai ganti nama kepada naratif, yang jelas menunjuk peri tumpuan pada isu yang harus menjadi bual bicara seantero lapisan dalam sesuatu komuniti.

Wacana yang mahu diketengahkan, bukan lagi wacana bersifat statik, lusuh lagi tumpul. Dalam tulisan sebelum ini saya menggariskan bahawa wacana perubahan politik di Malaysia berterusan bergulat lelah dalam kerangka anti-UMNO.

60 tahun lebih, manusia yang mengimpikan perubahan landskap politik di bumi bertuah ini terbuai dengan keasyikan wacana anti-UMNO. Walhasil, selama 60 tahun jua UMNO terus berkuasa bahkan makin menjadi-jadi tabiat buruknya.

Saranan paling dekat adalah, kita harus mengubah wacana tersebut, ke arah wacana yang lebih radikal dan jauh dari bersifat mainstream. Ya—mainstream. Wacana atau naratif politik anti-UMNO sudah tersangat tepu dan mainstream, sehinggakan wacana tersebut gagal untuk melahirkan sebarang bentuk idea yang benar mencerminkan wajah Malaysia yang kita mahukan pasca-UMNO.

Kerana, pada akhirnya kita tidak mahu sekadar menggantikan UMNO. Dengan sentimen anti-UMNO hari ini, tidak mustahil untuk UMNO tumbang sama sekali. Tetapi, cukup mustahil untuk menumbangkan budaya dan sikap yang mekar tertanam selama 60 tahun diperintah UMNO.

Sedangkan kita maklum, bukan UMNO yang menjadi musuh utama negara ini—parti nasionalis itu cumalah kulit—tetapi budaya dan sikap yang melingkarinya. Tukarlah seribu kali kerajaan sekalipun, jika budaya dan sikap ini masih ampuh kekal, maka langsung tiada makna yang boleh dibanggakan.

Jelasnya, naratif bebal masih terlawan dengan prasyarat adanya iltizam dan kesungguhan mempelopor wacana yang bersifat melawan arus, segar dan membumi. Mesej-mesej kempen Corbyn memberi panduan yang jelas, pada wacana yang bagaimana seharusnya penggerak perubahan di Malaysia mengambil iktibar.

Mahu tiada mahu, wacana ini harus dipupuk. Intinya adalah harapan dan kumpulan sasaran. Corbyn menjelaskan dalam ucapan beliau di London School of Economics pada Mei 2016;

“The politics of hope are not an inevitable reaction when politics fails. The politics of hope have to be rebuilt. Rebuilding, required three things. First, a vision to inspire people that politics has the power to make a positive difference to their lives. Second, trust—that people believe both that we can and that we will change things for the better. Third, the involvement and engagement of people to make the first two possible.”

Menanggapi dunia yang seumpama zoo pada hari ini, menjadi manusia berfikiran kritis bukan lagi suatu bersifat keistimewaan, tetapi adalah suatu kewajipan pada setiap manusia yang masih punya maruah dan harga diri, iltizam untuk memencak perubahan dan insaf pada tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi ini.