Tuesday, March 21, 2017

Memilih Kompeten dan Integriti, Ketimbang Agama

Mungkin, dengan izin Tuhan, satu hari nanti dalam persoalan melantik pemimpin dan kerajaan, pengundi lagi memilih kompetensi dan integriti, ketimbang agama. Di Malaysia, kita masih bergelumang dalam kekeliruan begini. Keliru, antara memilih agama atau kompetensi dan integriti.

Pengundi di Malaysia, begitu mudah terlalai dan terpegun dengan politikus yang mampu mengucap beberapa baris ayat Quran dalam ucapan mereka, menindik keratan hadis pada hujah dan perlakuan mereka.

Atau, yang menjadikan agama sebagai umpan untuk membakar jurang perbezaan, untuk mencetus kemarahan dengan mengapi-apikan sentimen sempit, yang bertujuan jahat—menimbulkan syak wasangka, kebencian antara satu sama lain.

Lagi malang, agama digunakan sebagai batu loncatan untuk menggapai kuasa dan undi. Agama menjadi kain pengelap kaki, yang gunanya untuk meraih sokongan yang berakar pada sentimen dan benci pada mereka yang tidak mempercayai Tuhan yang sama dengan mereka.

Bertambah malang, agama digunakan sebagai perisai untuk memburukkan sesetengah pihak yang lain, menghukum dan mengambil tugas sebagai wakil Tuhan di atas muka bumi ini.

Mereka mengkafirkan kumpulan yang tidak bersetuju dengan mereka.

Mereka menyifatkan kumpulan yang menentang mereka, sebagai musuh kepada agama mereka.

Mereka menjadikan agama sebagai celana, yang gunanya untuk menutup celober moral mereka yang banyak kalinya terlebih ironi berbanding realiti.

Besar kemungkinan juga, cadangan begini menjemput banyak persoalan dan amarah; apakah sudah tidak relevan lagi persoalan agama dalam kepimpinan?

Saya fikir, soalan begitu tidak tepat. Ianya bukanlah soal agama si pemimpin tersebut relevan ataupun tidak, tetapi soalnya bagaimana pemimpin tersebut bersikap terhadap kedudukannya dengan mengutamakan prinsip universal yang kita semua maklum: keterbukaan, ketelusan, kebolehan dan kecekapan menjalankan tanggungjawabnya.

Jika dia seorang Muslim, jadilah dia seorang pemimpin yang memenuhi prinsip-prinsip tersebut. Jika dia seorang Nasrani, maka begitu jua akan hal yang terlihat pada dirinya.

Meletakkan faktor agama semata-mata dalam rumus memilih pemimpin, adalah suatu jenayah yang terkutuk pada akal budi seseorang manusia yang waras. Tuhan sendiri mengingatkan kita peri pentingnya kompeten (القوى) dan integriti (الامين), dalam kisah dua anak perempuan Shuʿayb yang kagum pada Mūsa.

Fitnah yang berlaku pada hari ini terhadap orang-orang beragama, apabila mereka menjadikan agama sebagai kuda tunggangan untuk menghalalkan peri kelakuan mereka, meski saban kalinya terang benderang menyalahi segenap ajaran yang mereka anuti.

Bahkan, lagi memeritkan apabila mereka menjadikan agama, sebagai umpan untuk membakar sentimen kebencian, memercikkan api perkelahian, membina tembok perbezaan—demi sebuah undi, lantas yang terhasil adalah bukan lagi nilai dan cinta, tetapi kebencian dan kehancuran.

Lantas pula, mereka yang dilantik, tidak dinilai pada kebolehannya untuk memimpin, visi dan wawasannya. Mereka dipilih semata-mata kepalanya mungkin berbalut serban paling tebal, jubahnya meleret, sedangkan dirinya dungu, tidak berkebolehan, tiada kelayakan.

Ramai mungkin terpaku pada potongan ayat Quran yang membaluti setiap ucapannya, dan ramai mungkin secara cuai menjustifikasi kebolehan dan kelayakan pada balutan serban dan jubah. Lagi haru-biru, dengan cuainya lagi, mereka menilai moral pemimpin tersebut pada balutan bersifat kulit begitu.

Kita melihat akan perkara ini, sebagai suatu tragedi yang mencerakinkan segenap sendi akal budi yang Tuhan kurniakan kepada manusia.

Kota Jakarta keributan dengan tragedi ini, lewat sosok bernama Ahok. Masyarakat sekaliannya begitu mudah (dan cuai) termakan pada umpan sentimen agama. Perkiraan akal budi tiada lagi dalam rumus mereka. Sudah pasti, hal ini menjadi fitnah kepada Islam—agama yang meletakkan fakulti rasional sebagai pusat kepada keabsahan wahyu dari langit.

Begitu jua di Malaysia, menjelang pilihanraya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi. Kita sudah mula dapat mengesan bibit tragedi ini akan melanda bumi Malaysia, kencang dan berbau hancing.

“Winter is coming,” demikian amaran yang berkali diujarkan oleh keluarga Stark pada mereka yang berebut Iron Throne. Saya terfikir, amaran yang sama harus disampaikan pada semua rakyat Malaysia.

Hanya akal budi dan rasional, mampu menahan tragedi dan fitnah ini dari menjadi wabak yang tiada ubatnya kelak.