Friday, July 28, 2017

Bandar Ini Dibina Untuk Siapa?

Phnom Penh sebuah bandar pelbagai ragam. Berbanding Jakarta atau Kuala Lumpur, bandar ini jauh terkebelakang dari aspek pembangunan materi, tetapi tidak pada roh kotanya yang begitu rancak, toleran, dan dinamik. Namun begitu, mereka ada satu persamaan yang cerlang.

Tiga hari di sini, saya merayau mengelilingi Phnom Penh dengan Thomas, yang berasal dari kota Brighton di UK. Untung beroleh teman seperti Thomas, yang celik politik. Makanya, sepanjangan perjalanan kami rancak berbual banyak hal—Theresa May, Jeremy Corbyn, Brexit, jurang ketaksamarataan kekayaan dan peluang di UK (dan Phnom Penh).

Antara persoalan yang kerap kami kebuntuan jawapan adalah apabila kami mempersoalkan kerancakan puluhan projek mega membina kondominium mewah di tengah-tengah bandar itu, pada akhirnya untuk siapa?

Mereka membina Phnom Penh, atas nama kemajuan dan kemodenan, pada akhirnya untuk siapa?

Untuk mereka yang menjaja butir jagung kering kepada pelancong untuk ditabur pada kawanan merpati di Royal Palace Park សួនមុខព្រះបរមរាជវាំង?

Atau, untuk anak-anak tidak berpakaian melata di tepian jalan menunggu ihsan satu atau dua not Riel dari pelancong di jalan-jalan utama dalam bandar itu?

Atau, untuk kelompok 13.7% Khmer yang masih meringkuk dalam status miskin tegar?

Atau, kondominium mewah itu disediakan untuk kelompok 79% Khmer yang masih tidak punya akses pada bekalan air bersih?

Atau, sebenarnya kesemua projek mewah itu berkehendak pada kelompok 50% Khmer yang masih tidak ditunaikan hak memperoleh peluang pendidikan yang sama rata?

Sepagi ini, kami merayau sekitar Sangkat Tonle Basak. Di celah-celah bangunan mewah kondominum yang sedang dibina, saya menyaksikan para penjaja menolak troli beroda tiga menjaja makanan dan cenderamata kepada orang ramai untuk mencari sesuap rezeki. Permandangan begini, menjadi lali buat kami berdua.

Kami terus bertanya buat sekian kalinya, segala kemewahan dan kemodenan yang dijanjikan dalam bandar ini, pada akhirnya untuk siapa?

Dari satu fasa kezaliman, ke satu fasa ketidakadilan—jelasnya yang sering menjadi bidak kepada para penguasa dan aparat kaum pemodal, adalah rakyat terbanyak yang miskin harta, yang tidak berpeluang menikmati hak pendidikan, hak kesihatan dan peluang yang sama rata.

Dari Kuala Lumpur, ke Jakarta dan kini di Phnom Penh, saya belajar satu hal—ketidakadilan akan kekal menjadi ketidakadilan, sebelum kita ada keberanian untuk merobahnya.

Thursday, June 22, 2017

“Because it’s there.”

Because it’s there.” Demikian jawapan George Mallory terhadap pertanyaan wartawan The New York Times dalam sebuah temu bual bertarikh 18 Mac 1923, “Why did you want to climb Mount Everest?”

Tiga patah jawapan tersebut, menjadi cukup popular bahkan tidak mustahil nama Mallory menjadi legenda sehingga ke hari ini, adalah bertitik tolak dengan jawapan tiga patah yang cukup ringkas itu.

Ringkas, tetapi padat dengan makna dan pengertian.

Jawapan tersebut mengajar kita banyak perkara tentang kehidupan. Membaca skrip temu bual Mallory dalam fasa persiapan beliau untuk menempuh percubaan ketiga mendaki puncak tertinggi tersebut, kita dapat belajar bahawa cabaran itu akan kekal di situ—tidak berganjak—tetapi kita-lah pembuat keputusan untuk menakluki cabaran tersebut.

Fikiran saya melanjut kepada beberapa persoalan lain yang melingkar kehidupan seharian kita pada hari ini, yang langsung boleh dirujuk kepada jawapan Mallory tadi: soal ketidakadilan dalam masyarakat, korupsi sistem dan nilai, kecamukan politik, kehancuran alam sekitar, dan bermacam lagi.

Retrospektif yang paling cerlang adalah keengganan kita mengakui realiti permasalahan yang sedang kita berhadapan, dan keengganan kita untuk mengotori telapak tangan sendiri bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

Kita lagi senang memilih untuk berdiam diri, kaku dengan keselesaan sendiri, mengenyangkan perut rodong sendiri, bersikap berkecuali seolah-olahnya permasalahan tersebut tidak wujud. Kita memejamkan mata, memilih untuk berterusan hidup dalam kepompong yang selamat.

Kadang kala kita harus bertanya kepada diri kita sendiri dengan lebih jujur, tentang mengapa sebenar-benarnya Tuhan memberi peluang kepada kita bernyawa di atas muka bumi ini. Apakah kewujudan kita semata-mata untuk berteleku sujud di tikar-tikar sejadah?

Kerana, jika kewujudan kita hanya untuk itu, cukuplah dengan malaikat sahaja. Tidak perlu pada kejadian manusia. Tiada keperluan pun untuk kita wujud, atau punya hak untuk menjadi sebahagian kepada ciptaan Tuhan yang Maha Agung.

Sudah semestinya, saya terfikir, Tuhan menjadikan kita di dunia ini dengan tujuan yang melangkau (beyond) tikar sejadah. Tetapi sayang sekali, hari ini kita melupai hakikat tersebut, dan terlebih senang dengan alasan-alasan yang selamat.

Contoh ungkapan popular dalam kalangan generasi muda apabila ditanya mengenai partisipasi dalam wacana politik (dan juga sosio-ekonomi) di Malaysia adalah, “Argh, politik kotor,” yang memberi perlambangan keengganan untuk terlibat sama dan mengambil cakna.

Keengganan generasi muda untuk terlibat dalam wacana-wacana politik tersebutlah, dengan beralasan generik sebegitu, menjadi punca kepada kelesuan kesedaran politik, eksploitasi media dan akhirnya wacana politik sedia ada berkisar dalam acuan yang makin membosankan, tidak radikal, tumpul idea dan paling menyedihkan, tiada sesiapa merasa bertanggungjawab untuk menggalas beban tersebut pada pundak mereka.

Padahal jauh di benak semua, kita sedar bahawa masalah itu wujud dan tiada sesiapa pun yang akan bertanggungjawab ke atasnya, jika bukan diri generasi muda pada hari ini sendiri bangkit dan menggalas beban tersebut.

Mallory menyambung jawapan beliau kepada wartawan tersebut, “Its existence is a challenge. The answer is instinctive, a part, I suppose, of man’s desire to conquer the universe.”

Sayangnya, tidak seperti tanggapan Mallory pada cabaran puncak Everest, ramainya generasi muda yang kita miliki pada hari ini tumpul intuisinya pada permasalahan yang sedang kita berdepan. Kita seumpama hilang pedoman—atau inspirasi.

Berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur waktu malam, akan terlihat komuniti gelandangan yang tidur bergelimpangan di kaki lima bangunan. Pada saat tersebut, akan terpaculkah persoalan pada benak sendiri, pada siapa harus dipertanggungjawabkan akan masalah yang terbentang di depan mata tersebut?

Apakah ketika saat itu, jiwa kita cukup besar untuk mengakui bahawa kita turut bertanggungjawab terhadap permasalahan tersebut, atau kita lebih senang mengambil jalan menuding jari mencari salah siapa?

Beza antara Mallory dan lain-lain pendaki di zaman tersebut, adalah terletak pada saat begini. Beza antara Muhammad Ali ketika memilih penjara berbanding Perang Vietnam, adalah terletak pada saat begini. Beza antara Mandela dengan lain-lain yang tertindas di benua Afrika, adalah terletak pada saat begini.

Justeru masalah itu kekal di sana, tiada berganjak melainkan kita merubah sikap dan tanggapan kita terhadapnya, maka mangkin paling utama dalam persoalan ini adalah kendiri kita sendiri—kemahuan, cita-cita, harga diri, dan iltizam.

Be not beguiled, O armchair explorer! Stick to the comparative security of your subway strap. For this quite young man’s casual comment raises the ghost of such a tremendous adventure as the fireside mind can scarce conceive; of crawling along knife edges in the teeth of a bitter wind; of chopping footholds up the face of a wall of ice; of moving on where each step may very reasonably be expected to be the last, and yet taking that step, and the next, and the next after that; of pushing up and up in spite of frozen fingers and toes in spite of laboring heart and bursting lungs, until death is certain just ahead, and then turning back just as steadily, to wait for the next opportunity.—The New York Times, 18 March 1923

Sunday, June 18, 2017

Tentang Makanan Yang Disediakan oleh Orang Bukan Islam

Perbincangan tentang hal-hal berkait makan dan pemakanan ini tidak salah. Hal yang demikian jua, akan perihal makan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam—juga tiada kesalahan untuk diperbincangkan.

Tetapi, tersangatlah salah bila mana perbincangan darihal memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam menutup segenap kasus perbincangan lain yang terutama peri pentingnya kepada kemaslahatan awam. Mengambil contoh segera, isu (ini pun boleh jadi isu?) kurma yang disediakan oleh orang bukan Islam menjadi bahan perbualan segenap masyarakat dari yang punya PhD sehinggalah yang tidak bergosok gigi, berbanding perbincangan mengenai skandal 1MDB.

Justeru, ketidakimbangan kepada hal yang lebih utama menunjukkan masyarakat kita sedang sakit akal.

Tentang memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam pun perlu mengarang artikel 1,000 patah perkataan—ini perlambangan manusia sakit akal. Mengambil masa berminggu-minggu bergaduh tentang kurma yang disediakan oleh orang bukan Islam—ini perlambangan manusia sakit akal. Untuk memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam pun perlu bertanya soalan khusus kepada ustaz, kau ini dah kenapa?

Tuesday, June 13, 2017

Menanggapi Zoo Naratif Politik Dunia

Dunia hari ini, sesak dan kelam. Sesak dengan selirat-selirat naratif yang tidak kunjung penat, menagih perhatian kita semua—politik identiti, nasionalisme, kaum dan agama. Kelam, dengan kecelaruan dan kelengahan yang terlahir dari selirat yang tidak kunjung habis.

Arus politik kanan semakin membuak ganas. Di bumi Amerika Syarikat, saban hari kita mendengar ragam yang pelbagai, menghiasi kemaraan naratif politik kanan. Cuma di bumi Eropah, arusnya sedikit terbungkam apabila Perancis, Belanda dan terkini United Kingdom menolak secara terang kemaraan mereka.

Dunia politik, hari ini mudahnya seumpama zoo yang menghimpunkan segenap jenis binatang dalam suatu kawasan tertentu. Naratif-naratif yang wujud adalah binatang-binatang yang dibela dipelihara untuk tujuan tertentu oleh suatu kelompok tertentu.

Kita bertanya dalam kesesakan begini, di mana tertinggalnya naratif kebenaran, dan naratif sains?

Ke manakah terperosoknya naratif empirikal? Di mana naratif kebenaran berobjektif? Naratif yang memupuk optimisme dan harapan?

Dan, lagi terutama, naratif kemanusiaan dan kasih sayang, di mana sudah menghilang?

Keangkuhan (baca: kebodohan) Donald Trump memutuskan supaya Amerika Syarikat menarik diri dari Paris Agreement adalah satu contoh bahawa kita tidak lebih dari sekumpulan binatang yang terpenjara dalam zoo naratif yang menjadikan kita bebal, angkuh lagi zalim.

Sudah pastilah juga kita meyakini bahawa zoo naratif bebal begini masih terkalah dengan naratif yang bertunjang pada kebenaran dan harapan. Pemerolehan sokongan yang menakjubkan oleh Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn dalam pilihanraya umum UK baru-baru ini, adalah petunjuk penting untuk kita terus optimis bahawa kekelaman ini ada sinar di penghujungnya.

Cuma tinggal sekarang, adalah tugas kita semua memperbetulkan naratif yang berlegar dalam masyarakat sekitar kita. Saya gemar menggunakan istilah wacana (discourse) sebagai ganti nama kepada naratif, yang jelas menunjuk peri tumpuan pada isu yang harus menjadi bual bicara seantero lapisan dalam sesuatu komuniti.

Wacana yang mahu diketengahkan, bukan lagi wacana bersifat statik, lusuh lagi tumpul. Dalam tulisan sebelum ini saya menggariskan bahawa wacana perubahan politik di Malaysia berterusan bergulat lelah dalam kerangka anti-UMNO.

60 tahun lebih, manusia yang mengimpikan perubahan landskap politik di bumi bertuah ini terbuai dengan keasyikan wacana anti-UMNO. Walhasil, selama 60 tahun jua UMNO terus berkuasa bahkan makin menjadi-jadi tabiat buruknya.

Saranan paling dekat adalah, kita harus mengubah wacana tersebut, ke arah wacana yang lebih radikal dan jauh dari bersifat mainstream. Ya—mainstream. Wacana atau naratif politik anti-UMNO sudah tersangat tepu dan mainstream, sehinggakan wacana tersebut gagal untuk melahirkan sebarang bentuk idea yang benar mencerminkan wajah Malaysia yang kita mahukan pasca-UMNO.

Kerana, pada akhirnya kita tidak mahu sekadar menggantikan UMNO. Dengan sentimen anti-UMNO hari ini, tidak mustahil untuk UMNO tumbang sama sekali. Tetapi, cukup mustahil untuk menumbangkan budaya dan sikap yang mekar tertanam selama 60 tahun diperintah UMNO.

Sedangkan kita maklum, bukan UMNO yang menjadi musuh utama negara ini—parti nasionalis itu cumalah kulit—tetapi budaya dan sikap yang melingkarinya. Tukarlah seribu kali kerajaan sekalipun, jika budaya dan sikap ini masih ampuh kekal, maka langsung tiada makna yang boleh dibanggakan.

Jelasnya, naratif bebal masih terlawan dengan prasyarat adanya iltizam dan kesungguhan mempelopor wacana yang bersifat melawan arus, segar dan membumi. Mesej-mesej kempen Corbyn memberi panduan yang jelas, pada wacana yang bagaimana seharusnya penggerak perubahan di Malaysia mengambil iktibar.

Mahu tiada mahu, wacana ini harus dipupuk. Intinya adalah harapan dan kumpulan sasaran. Corbyn menjelaskan dalam ucapan beliau di London School of Economics pada Mei 2016;

“The politics of hope are not an inevitable reaction when politics fails. The politics of hope have to be rebuilt. Rebuilding, required three things. First, a vision to inspire people that politics has the power to make a positive difference to their lives. Second, trust—that people believe both that we can and that we will change things for the better. Third, the involvement and engagement of people to make the first two possible.”

Menanggapi dunia yang seumpama zoo pada hari ini, menjadi manusia berfikiran kritis bukan lagi suatu bersifat keistimewaan, tetapi adalah suatu kewajipan pada setiap manusia yang masih punya maruah dan harga diri, iltizam untuk memencak perubahan dan insaf pada tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi ini.

Thursday, June 1, 2017

Suatu Hal Yang Tidak Membutuhkan Polisi—Sikap

Indonesia indah. Kaya dengan keindahan. Jauh rasanya untuk dibandingkan anugerah keindahan alam yang dimiliki negara jiran itu dengan Malaysia. Bukan sahaja alamnya indah dan kaya, budayanya juga begitu. Lenggok bahasanya pun cantik dan kaya. Orang-orangnya, malahan juga begitu. Kaya dengan budi dan budaya, serta adat turun temurun.

Setibanya di Bogor, teman di sana langsung menggesa saya melawati Kebun Raya Bogor, taman botani yang melingkari Istana Bogor—tempat menginapnya Jokowi sekarang. Kata beliau, taman tersebut dibina oleh tangan yang sama membina Kew Garden di London.

Saya lantas menyimpan separuh hari di taman tersebut, menerokai segenap penjuru tanahnya, melintasi sekalian bilangan jambatan yang merentas Kali Ciliwung, mencari khazanah spesies pohonan langka yang masih wujud di sana dan bahkan, turut mencuba kuliner Bogor di Grand Garden Resto & Cafe (pun akibat digesa oleh teman tadi).

Taman ini masyhur dengan wujudnya spesies nadir teratai gergasi (Victoria amazonica), seumpama yang wujud di SSR Botanical Garden, Mauritius. Tetapi, sesampainya saya di kolam teratai tersebut, apa yang terhidang di depan mata tidaklah seperti yang digembar-gemburkan.

Teratainya masih wujud, tetapi gergasinya sudah tidak lagi. Dedaunnya berlubang sana-sini, tiada lagi kembangan bunga putih yang sepatutnya menghiasi setiap tangkai teratai tersebut. Lebih memedihkan, botol plastik berapungan tenang pada permukaan kolam tersebut.

Pulang ke penginapan di rumah teman tadi, saya lantas mencurah bengkak di hati kepada dia. Teman saya mengangguk bersetuju, lantas dia membuka beberapa cerita lain—perihal sikap masyarakat pada isu kebersihan alam sekitar.

Cerita teman itu, kereta (istilah merujuk kepada kereta api) dari Stasiun Jakartakota ke Stasiun Bogor sebelum tahun 2010, bukan sahaja menumpangkan manusia malah juga haiwan ternakan seumpama lembu dan sapi. Tiada rupa kereta, ujar beliau.

Ketika di Jakarta, saya banyak dibantu oleh Bapak Gunadi—dari hal mencari buku bekas sehinggalah menjadi juru tunjuk dan pandu di kota itu. Saat kami berjalan kaki melewati persimpangan lampu isyarat sekitar Pasar Senen, saya kebingungan dengan keadaan di situ.

“Bapak, kalau bisa lintasing langsung baik dicabut aja tiang lampu isyarat—tak gitu?”
“Kok kamu bilang gituh, Din?”
“Iya Pak, tiada guna isyaratnya kalau mobil ngak mau ikutan,”

Terbarai Bapak Gunadi ketawa!

Memangnya saya cuma bergurau dengan beliau.

Ceritanya begini, mana-mana simpang lampu isyarat di kota itu seolahnya tiada fungsi kerana masing-masing kenderaan saling melanggar isyarat perjalanan yang sepatutnya. Persoalan saya, jika warga kota Jakarta boleh hidup dengan keadaan trafik begitu, mengapa kerajaan masih mahu membazirkan wang pada infrastruktur yang tidak dihargai dan dimengerti oleh warga kotanya?

Di sini, persoalan terbesar adalah perihal sikap. Dari hal menjaga kebersihan taman awam, tidak membuang sampah merata, sehinggalah mematuhi peraturan jalan raya yang mudah begitu; sikaplah yang bertindak sebagai garis sempadan dalam kasus ini.

Untuk menjadi seorang yang bersikap adil terhadap alam, dia tidak membutuhkan mana-mana polisi atau dasar yang khusus untuk mencintai alam sekitar dan memperjuangkan haknya.

Untuk menjadi seorang yang merasa bersalah membuang sampah merata-rata, bukan polisi negara yang memaksa tangannya supaya mencampakkan sampah ke dalam tong yang disediakan.

Untuk menjadi seorang yang patuh pada peraturan keselamatan semasa menaiki kenderaan, bukan polisi negara yang memaksa seseorang itu mematuhi isyarat lampu di persimpangan jalan raya.

Stereotaip yang gemar diulang dalam kasus perbincangan negara bersih lawan negara kotor, adalah mempertemukan sikap masyarakat pengotor dengan negara yang mundur dan miskin. Begitulah jua sebaliknya, masyarakat pembersih adalah dari negara yang kaya dan moden.

Saya sangat tidak bersetuju dengan stereotaip begitu. Dari hemat peribadi, saya menekankan soal sikap yang—seperti ditulis dalam perenggan sebelum ini—bertindak sebagai garis sempadan yang membezakan antara mereka yang mencintai alam dengan yang tidak.

Untuk menjadi seorang yang pembersih, manusia tidak membutuhkan sebarang polisi atau kerajaan harus menggubal suatu dasar yang khusus untuk mereka. Cukuplah dengan kesedaran (consciousness) akan tanggungjawabnya menjaga alam sekitar, untuk menjadikan seseorang itu merasa benci pada tabiat membuang sampah merata-rata.

Consciousness-lah yang menjadikan seseorang itu bersikap dengan sikap yang benar dan adil pada sesuatu konteks dan tempat duduknya.

Justeru, kita mempersoalkan pula, bagaimana kesedaran ini boleh timbul?

Lagi sekali, polisi atau dasar yang digubal mungkin berupaya menjadi faktor sekunder kepada pembentukan sikap seantero masyarakat, tetapi yang lebih primer adalah pendidikan sikap dari awal seseorang itu mencecah umur yang mula mampu berfikir baik dan buruk akan sesuatu perkara.

Pendidikan di sini, tidaklah memaksudkan sistem formal di sekolah sahaja.

Boleh diperkembangkan maksud pendidikan ini adalah bermula dengan interaksi anak kecil dengan ibu bapanya—teladan yang ditunjuki sewaktu di rumah, pendedahan pada bahan bacaan yang bervariasi dan mencangkup perkara universal seumpama budaya, agama, ketokohan; pemilihan rakan yang mempengaruhi anak-anak kecil ini sewaktu di luar rumah, dan segala hal yang boleh memupuk kepada terzahirnya sikap yang baik dari dalam diri anak-anak yang sedang membesar dan belajar dari memerhatikan masyarakat di sekelilingnya berfungsi.

Kata kunci di sini, ialah memupuk. Sikap perlu dipupuk bermula dari awal usianya. Dan pupukan yang bermakna itulah, menjadi pendidikan buat dirinya yang akhirnya membantu kepada kelahiran seorang manusia yang mempunyai sikap yang benar pada setiap konteks dan tempat.

Kita sering membaca kisah bagaimana anak-anak kecil di Jepun dididik membawa plastik sampah peribadi dalam beg masing-masing. Hasilnya, kerajaan mereka langsung tidak perlu menggubal apa-apa polisi atau menguatkuasakan undang-undang bagi membendung tabiat membuang sampah merata-rata di sana. Mereka punya kesedaran, lantas kesedaran itu menjadi mangkin kepada sikap yang benar dalam konteks ini.

Berbalik pada stereotaip negara mundur masyarakatnya pengotor, manusia terbuai dengan norma masyarakat sekitarnya, akibat dirinya terdidik dengan keadaan dan persekitaran begitu semenjak usia kecilnya lagi. Dari kecil dia melihat masyarakatnya membuang sampang merata-rata—di rumah ibunya juga begitu, di sekolah gurunya juga begitu, di padang permainan temannya juga begitu.

Lantas, apa yang berbaki pada dirinya lagi?

Terbuainya manusia dengan persekitaran, tidak mengira taraf sosio-ekonominya.

Kita boleh juga menjengah beberapa contoh mikro; kisah manusia yang punya kereta mewah tetapi sewenangnya meletak kenderaan dalam ruangan parkir OKU, atau manusia yang berpelajaran tinggi dan mempunyai kerjaya bergaji mewah tetapi gagal untuk bangun memberikan ruang tempat duduk kepada golongan yang lebih memerlukan dalam gerabak LRT.

Bermakna, dari sini kita boleh menyatakan bahawa pembentukan sikap tidak mengira taraf miskin atau kaya seseorang itu. Pengotornya seseorang itu tidak terkait dengan dirinya miskin atau kaya. Berbudinya seseorang itu tidak terkait dengan dirinya miskin atau kaya.

Walhasil, kita boleh dengan mudah melakukan deduksi di sini: sikap-lah yang sebenarnya menjadi faktor bagaimana manusia itu berfungsi sebagai manusia. Sikap, adalah suatu hal yang tidak membutuhkan polisi, tetapi ruang dan didikan. Ruang dan didikan, akan memercikkan kesedaran (consciousness), lantas membuahkan sikap yang benar.

Tuesday, May 16, 2017

Ketaksamarataan dan Kitaran Kemiskinan

Menelusuri lorong-lorong toko buku Palasari di Bandung, rata-rata kasir di kaunter kira uang adalah pria berusia lingkungan belasan tahun. Sepertinya di kota Jakarta, saya mengambil peluang itu berbual dengan mereka dan membuat teman dengan orang tempatan.

Tujuannya tidak lain, pertama untuk dijadikan sumber rujukan dan kemudahan di kawasan tersebut—selaku orang tempatan, dan seterusnya mendengar kisah mereka.

Dari Jakarta, ke Bogor, dan kemudiannya singgah di Bandung, dan lantas selepas itu ke Jogjakarta: kisah anak-anak pria berusia belasan tahun ini hampir serupa. Mereka mulai mencari uang menyara kehidupan dan keluarga seawal usia tamatnya Sekolah Dasar (SD).

Ke toko menjual batik di tengah hiruk-pikuk Jalan Malioboro, sehinggalah ke ceruk daerah Ciwidey, wajah-wajah polos pria berusia belasan tahun bekerja mencari uang menghiasi segenap ruang—saat anak-anak yang seusia dengan mereka lainnya sibuk memikul buku ke sekolah.

Keadaan begini sudah menjadi sangat biasa, bukan hal yang pelik di negara jiran. Saya mencatat hal ini secara khusus, lantaran dari sorotan peribadi, saya terpanggil dengan rasa bertuah akan peluang pendidikan yang saya peroleh semenjak dari kecil, yang kelihatannya tidak dirasai oleh rata-rata anak kecil di sini.

Indonesia bukanlah negara miskin sumber buminya. Bahkan berbanding dengan banyak negara lain di bumi Eropah, Indonesia jauh lebih kaya hasil buminya. Pendapatan tahunan negara itu jauh lebih melimpah ruah berbanding Malaysia. Bandingkan sahaja nilai GDP kita dengan negara jiran, Malaysia masih jauh untuk menyaingi Indonesia.

Tetapi, persoalannya yang paling utama di sini adalah, ke mana menghilangnya semua angka yang menggiurkan itu, jika tidak tersalur pada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat jelatanya?

Pendidikan adalah suatu sektor yang begitu kritikal. Pemerhatian saya selama tiga minggu di kebanyakan daerah utama dalam tanah Jawa—yang sememangnya lebih maju berbanding daerah-daerah di Sumatra dan Kalimantan—adalah menyalahi keterdesakan pada sektor itu.

Mungkin-lah catatan ini tiada absah dari sudut data dan analisis secara kuantitatif, tetapi saya tidak dapat menipu pemerhatian secara fizikal selama berada di sana.

Bill Gates menyebut perihal ketaksamarataan (inequity) yang menjadi akar kepada permasalahan global pada hari ini. Pemerhatian itu benar. Bukan sahaja di Indonesia, di Malaysia bahkan mana-mana ceruk dunia ini mengalami akar masalah yang sama.

Kegagalan sesebuah negara untuk menyediakan peluang pendidikan yang sama rata, menjadi asal usul kepada keberlangsungan kitaran kemiskinan dalam kalangan rakyat terbawah. Mungkin pada suatu keadaan, kerajaan tidak harus menjadi orang tengah dalam hal pendidikan, tetapi syarat sedemikian tidaklah absah pada semua keadaan.

Contohnya, hal yang saya ceritakan di atas.

Di sini, kerajaan harus berfungsi menjadi orang tengah untuk menceraikan keberlangsungan kitaran kemiskinan tadi, dengan intervensi dari sudut inisiatif pendidikan percuma, subsidi yang berbentuk infrastruktur, biasiswa, penggalakan jumlah guru dan penambahan bilangan sekolah.

Saya berusaha menjauhi ujaran pandangan ini dalam konotasi messiah complex; bahawa kita mempedulikan latar budaya dan sejarah yang rata-rata rakyat kelas buruh di Indonesia lalui dan terus berdepan sehingga saat ini, termasuklah sejarah kolonisasi Belanda sebelum kemerdekaan.

Semua itu, harus diambil kira dalam rumus mencari penyelesaian kepada kitaran kemiskinan tadi, bermula dengan mencipta peluang pendidikan dalam kalangan anak-anak kecil.

Pendidikan adalah hak asasi yang harus dijamin sepenuhnya, bahawa tiada seorang pun anak kecil tercicir dari menikmati peluang yang sama dalam pendidikan dengan rakan-rakan mereka yang lain, yang lebih bertuah dari segi sosio-ekonomi keluarga mereka.

Secara peribadi, dalam banyak hal yang saya perhatikan sepanjang tiga minggu di tanah Jawa, perkara ini menyentuh hati yang paling dalam. Saya mengimbau betapa bertuahnya saya memperoleh peluang pendidikan semenjak dari kecil sehinggalah ke alam universiti, dalam keadaan ekonomi keluarga saya bukanlah suatu yang indah untuk dibicarakan pada umum.

Saya begitu mengimpikan kesemua anak-anak remaja di lorong-lorong Palasari, memiliki peluang yang sama.

Monday, March 27, 2017

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terkejut heran memandang rupa menyangkal sangkaan berkata: "Inilah Majnun? Inilah rupa yang kau chintai; yang hitam legam kurus kering ini, yang kotor hodoh—wahai Laila, inikah Majnunmu!"

"Tuanku," sahut Laila, "Tuanku harus memandang dia dengan pandangan mataku."

Sebagaimana Laila chintakan Majnun, teguh dan jujur laksana Bintang Utara; menyorotkan chinta yang benar yang dapat menembusi chachat pandangan zahir menuju tepat pada hakikat batin, begitulah para sarjana masharakat Islam harus memandang sejarahnya meskipun ditampakkan sejarah itu se-olah2 buruk belaka.

-----
Petikan Sharahan Pengukuhan (Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu) pelantikan pada jawatan Professor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (1972) oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Tuesday, March 21, 2017

Memilih Kompeten dan Integriti, Ketimbang Agama

Mungkin, dengan izin Tuhan, satu hari nanti dalam persoalan melantik pemimpin dan kerajaan, pengundi lagi memilih kompetensi dan integriti, ketimbang agama. Di Malaysia, kita masih bergelumang dalam kekeliruan begini. Keliru, antara memilih agama atau kompetensi dan integriti.

Pengundi di Malaysia, begitu mudah terlalai dan terpegun dengan politikus yang mampu mengucap beberapa baris ayat Quran dalam ucapan mereka, menindik keratan hadis pada hujah dan perlakuan mereka.

Atau, yang menjadikan agama sebagai umpan untuk membakar jurang perbezaan, untuk mencetus kemarahan dengan mengapi-apikan sentimen sempit, yang bertujuan jahat—menimbulkan syak wasangka, kebencian antara satu sama lain.

Lagi malang, agama digunakan sebagai batu loncatan untuk menggapai kuasa dan undi. Agama menjadi kain pengelap kaki, yang gunanya untuk meraih sokongan yang berakar pada sentimen dan benci pada mereka yang tidak mempercayai Tuhan yang sama dengan mereka.

Bertambah malang, agama digunakan sebagai perisai untuk memburukkan sesetengah pihak yang lain, menghukum dan mengambil tugas sebagai wakil Tuhan di atas muka bumi ini.

Mereka mengkafirkan kumpulan yang tidak bersetuju dengan mereka.

Mereka menyifatkan kumpulan yang menentang mereka, sebagai musuh kepada agama mereka.

Mereka menjadikan agama sebagai celana, yang gunanya untuk menutup celober moral mereka yang banyak kalinya terlebih ironi berbanding realiti.

Besar kemungkinan juga, cadangan begini menjemput banyak persoalan dan amarah; apakah sudah tidak relevan lagi persoalan agama dalam kepimpinan?

Saya fikir, soalan begitu tidak tepat. Ianya bukanlah soal agama si pemimpin tersebut relevan ataupun tidak, tetapi soalnya bagaimana pemimpin tersebut bersikap terhadap kedudukannya dengan mengutamakan prinsip universal yang kita semua maklum: keterbukaan, ketelusan, kebolehan dan kecekapan menjalankan tanggungjawabnya.

Jika dia seorang Muslim, jadilah dia seorang pemimpin yang memenuhi prinsip-prinsip tersebut. Jika dia seorang Nasrani, maka begitu jua akan hal yang terlihat pada dirinya.

Meletakkan faktor agama semata-mata dalam rumus memilih pemimpin, adalah suatu jenayah yang terkutuk pada akal budi seseorang manusia yang waras. Tuhan sendiri mengingatkan kita peri pentingnya kompeten (القوى) dan integriti (الامين), dalam kisah dua anak perempuan Shuʿayb yang kagum pada Mūsa.

Fitnah yang berlaku pada hari ini terhadap orang-orang beragama, apabila mereka menjadikan agama sebagai kuda tunggangan untuk menghalalkan peri kelakuan mereka, meski saban kalinya terang benderang menyalahi segenap ajaran yang mereka anuti.

Bahkan, lagi memeritkan apabila mereka menjadikan agama, sebagai umpan untuk membakar sentimen kebencian, memercikkan api perkelahian, membina tembok perbezaan—demi sebuah undi, lantas yang terhasil adalah bukan lagi nilai dan cinta, tetapi kebencian dan kehancuran.

Lantas pula, mereka yang dilantik, tidak dinilai pada kebolehannya untuk memimpin, visi dan wawasannya. Mereka dipilih semata-mata kepalanya mungkin berbalut serban paling tebal, jubahnya meleret, sedangkan dirinya dungu, tidak berkebolehan, tiada kelayakan.

Ramai mungkin terpaku pada potongan ayat Quran yang membaluti setiap ucapannya, dan ramai mungkin secara cuai menjustifikasi kebolehan dan kelayakan pada balutan serban dan jubah. Lagi haru-biru, dengan cuainya lagi, mereka menilai moral pemimpin tersebut pada balutan bersifat kulit begitu.

Kita melihat akan perkara ini, sebagai suatu tragedi yang mencerakinkan segenap sendi akal budi yang Tuhan kurniakan kepada manusia.

Kota Jakarta keributan dengan tragedi ini, lewat sosok bernama Ahok. Masyarakat sekaliannya begitu mudah (dan cuai) termakan pada umpan sentimen agama. Perkiraan akal budi tiada lagi dalam rumus mereka. Sudah pasti, hal ini menjadi fitnah kepada Islam—agama yang meletakkan fakulti rasional sebagai pusat kepada keabsahan wahyu dari langit.

Begitu jua di Malaysia, menjelang pilihanraya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi. Kita sudah mula dapat mengesan bibit tragedi ini akan melanda bumi Malaysia, kencang dan berbau hancing.

“Winter is coming,” demikian amaran yang berkali diujarkan oleh keluarga Stark pada mereka yang berebut Iron Throne. Saya terfikir, amaran yang sama harus disampaikan pada semua rakyat Malaysia.

Hanya akal budi dan rasional, mampu menahan tragedi dan fitnah ini dari menjadi wabak yang tiada ubatnya kelak.

Monday, March 20, 2017

Dizziness of Dream Big

Last year, before 2016 was ended, I wrote about the progress we have made so far in our start-up journey. Starting with consistently putting hours in our coding classes, then proceed with prototype building process, we got quite confident this year—2017—will become something for us.

Yes, I should say so. 2017, so far is different.

Most significantly, our way of looking and analysing something. We think we are on the right track for our self-challenge this year: building a strong fundamental for building something meaningful and contributing something towards solving the problems facing by many in years to come.

However, this journey is not easy. Yet, we found it were exhausting. And, still is. The most part that exhaust us was the confabulations with our self-doubts. Sometimes, the one who needs constant reminder are ourselves.

The reminder, to not giving it up our dream.

The reminder, to keep going and keep doing.

The reminder, to look upon our own steps, retreating and reanalysed.

The major problem, and yet an opportunity, with our team right now is we are all starting with zero. We are building from scratch—our understanding, our knowledge, our worldview. Thus, I feel it is an advantage for us, to define our own meaning and ways of doing things.

Giving for example, up until now we keep changing our ideas. Start from one stuff, to another stuff. Everything looks greats, all looks like something that able to storm the world. Yet, we are still here. Nowhere.

My take on this is, our team not yet comprehend the principle of doing. Just do it, like the commercial of Nike sell. We keep talking, and talking are not doing things. Talking are cheap, so are ideas.

You might come out with thousand great ideas, or at least you yourself thinking it is a great idea. But then, those great ideas, will always be an idea, if there are no doing factor. The idea kept still on the papers, no movement, no shaking whatsoever. Unless, we start doing.

Doing of what?

This is always being a question for our team. Sometime we wonder, what should we do, to get things done?

For me, learning to code, for now, is one of the thing to do. We should do, for other thing, revisit the business model, and building teams especially the builder, since we really need one. It is indisputably hard to find someone who are willing to join our team without a real payment for quite an unforeseeable future.

This one, seems to be quite an obstacle for us, thus far. I wrote on the last article, about looking forward a far more challenging year for this 2017, and yes this is what we are facing now. We admit sometimes we felt dizziness of dream big, fearing our own weaknesses.

But, we don’t think, giving it up is an option. It will never be.

Monday, February 13, 2017

Berdagang Laba Dengan Agama?

Mac ini, sebuah aktiviti kerohanian berjudul Reviving the Islamic Spirit akan bertamu di bumi Malaysia buat pertama kali, setelah bertahun program berbentuk seminar tersebut bersyiar di bumi kelahiran Donald Trump.

Semenjak dulu lagi, saban kali RIS berlangsung di sebelah bumi sana, hati ini tergeletak, untuk turut sama berada dalam program tersebut—mendengar dan menghayati buah bicara dan amanat para ilmuwan kontemporari terkemuka lagi berautoriti, seumpama Hamza Yusuf, Zaid Shakir, Nouman Ali Khan.

Apatah lagi, siri kali ini, RIS bertandang ke Kepulauan Nusantara—tempat duduknya nama besar seumpama Hamzah Fansuri, Daud Fatani, Nuruddin al-Raniri, Naquib al-Attas—sekadar menamakan beberapa tokoh.

Dan sewajarnya pun, RIS bertandang ke mari.

Cuma, saya secara peribadi agak sedikit terkilan, apabila melihat senarai pakej harga untuk turut berada dalam dewan seminar RIS pada Mac ini. Ternyata, harganya bukanlah untuk saya, juga bukan untuk rata-rata rakyat Malaysia di luar sana.

Mungkin RIS tidak menyasarkan golongan seperti saya dan rata-rata rakyat Malaysia yang memang tidak mampu untuk berbelanja “mewah” demi menuntut ilmu dari kalangan ilmuwan yang bertandang Mac nanti.

Mungkin juga, saya telah tersalah anggap selama ini, bahawa RIS adalah untuk semua lapis masyarakat yang berlainan taraf sosio-ekonomi mereka. Padahal, hakikatnya RIS adalah program kerohanian untuk mereka yang mampu mengeluarkan belanja ratusan ringgit bagi seminar dua hari, di PICC Putrajaya.

Saya tidak mengkritik RIS, darihal harga seminar tersebut. Cuma terkilan, sedikit.

Saya tersangat maklum, mengambil contoh mudah, untuk menyertai seminar saintifik sahaja memakan belanja ratusan ringgit jua—bagi membentangkan penemuan terbaru dan kertas penyelidikan.

Saya tersangat maklum, akan kos mengorganisasikan seminar yang bertaraf RIS.

Saya juga, ambil maklum, bahawa segala perbelanjaan para penceramah jemputan juga, adalah dari wang tiket tersebut. Saya maklum akan semua itu, cumanya rasa terkilan dengan pakej harga yang mencekik darah, menyebabkan saya terpaksa menulis akan rasa pahit itu.

Mungkin benar juga, sedari awal tadi kita menulis tentang telahan bahawa kelompok sasaran RIS adalah mereka yang mampu “bermewah”, dan bukan kita-kita semua yang lain ini.

Moga ALLAH mempermudahkan segala urusan RIS, organisasinya, penceramahnya dan pesertanya.

Saya cuma berharap, pihak penganjur sudi menyediakan siaran langsung menerusi Facebook dan Youtube, jadinya kumpulan masyarakat seperti kami ini, jua dapat mendengar dan menghayati buah bicara para ilmuwan di pentas RIS, Mac nanti.

Sunday, January 1, 2017

Cita-Cita Kerdil Nan Hina

Tirai 2016 berlabuh. Hari ini, kita bermula dengan tirai yang baru, 2017. Moga tahun ini terus melengkapkan nuansa diri kita menjadi manusia yang berguna, berprinsip dan membawa kebaikan kepada manusia seluruhnya.

Rangkap puisi O Me! O Life!, karya Walt Whitman mungkin mampu menyingkapi kepada kita jawapan kepada beberapa persoalan tentang hidup;

The question, O me! so sad, recurring—What good amid these, O me, O life?
Answer;
That you are here—that life exists and identity,
That the powerful play goes on, and you may contribute a verse.

Kita cumalah pemain yang kecil, yang ditugaskan untuk melengkapkan bahagian kita—tugas, tanggungjawab, amanah—di atas muka bumi ini, dengan matlamat akhirnya adalah membawa kebaikan kepada seluruh umat manusia.

Itulah frasa yang perlu kita mainkan, lengkapkan, dalam hidup kita di dunia ini; agar dengan itu pada akhirnya akan terhasil sebuah layar lakon yang serba indah dan saling melengkapi.

Pengakhiran 2016, saya secara peribadi bersua dengan pelbagai persoalan yang cukup berat, memenatkan, lantas terkadang datang hasutan jahat secara tak disengajakan untuk pergi jauh meninggalkan segala keserabutan tersebut.

Paling mudah, pergi jauh meninggalkan segala keserabutan tanggungjawab dan amanah tersebut—beban untuk berbuat baik dan menjadi manusia yang berbuat baik kepada manusia yang lainnya. Mungkin, pergi mengembara jauh dari sini.

Beban untuk berbuat sesuatu yang baik, agar ada dan tiadanya kita di sini, manusia kepingin pada kelibat dan sosok kita. Bukan pada sudut fizik, tetapi saya menulis pada hal yang bersangkutan meta—darihal sumbangan kebaikan, pada kemanusiaan, pada kasih sayang, pada kebijaksanaan dan keadilan.

Agar, segala cita-cita dan hal yang kita berbuat di muka bumi ini, tidaklah sekadar melingkar ketat pinggang kita, memboyot perut rodong kita cuma; tetapi jauh lebih bermakna, jauh lebih besar ertinya pada kemanusiaan seluruhnya.

2017 sepatutnya mengajar kita akan hal ini. Dari sekalian banyak masalah yang dunia kita hadapi—kemiskinan, kebuluran, peperangan, keruntuhan moral—janganlah sehari-harian kita terlalui akannya dengan rasa kenyang dan puas pada diri kita sendiri cuma.

Cita-cita yang sebegitu, yang tidak membawa manfaat kepada mereka yang lainnya, cukup-cukup kerdil lagi hina. Cita-cita yang padanya hanya mengenyangkan tembolok sendiri, cukup-cukup kerdil lagi hina.

Moga 2017, kita belajar menjadi manusia yang bercita-cita besar lagi mulia.