Thursday, October 27, 2016

7 Tahun Time To Change

Jika blog ini seorang manusia, maka Time To Change sudah memasuki usia Darjah 1 sekolah rendah. Demikianlah, sudah tujuh tahun Time To Change berkubang dalam dunia Internet, menempel diri dalam kesesakan lalu lintas dunia dalam talian.

Mungkin dalam banyak masa, blog ini tersesat dalam dunia maklumat, ketika mencari identiti dari kepelbagaian yang wujud.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya acap kali terlupa untuk menyiapkan tulisan penghargaan sempena ulang tahun Time To Change. Kalau diikutkan tarikh sebenar, 3 Ogos 2009 adalah tarikh kelahiran blog ini secara tepatnya.

Kiranya sekarang, sudah hampir tiga bulan terlewat. Tapi tak mengapalah, hal yang begitu tidaklah kritikal sangat untuk diperkatakan di sini.

Saya cuba untuk merungkai semula, membaca satu-persatu tulisan setahun yang lepas ketika mahu menulis catatan bersempena tujuh tahun Time To Change. Sebenarnya, saya perasan, kecenderungan menulis seputar isu-isu terkait dengan persoalan politik tidak pernah nampak pudar.

Mungkin ini niche yang perlu saya terus perbaiki, manfaatkan passion yang wujud dalam diri untuk menulis dengan lebih baik pada masa-masa akan datang. Sudah pastilah, saya tak pernah terlintas untuk berhenti menulis di sini, kalaupun di lain tempat saya tidak rancak berkongsi tulisan.

Pada saya secara peribadi (dan saya tahu ramai tidak akan bersetuju), platform untuk menulis dalam talian yang paling baik adalah dunia blog, bukannya lain-lain media sosial seumpama Facebook.

Dunia teknologi berevolusi.

Pantas, seolah-olahnya kita tidak terkejar dek perkembangan teknologi saban hari. Sebagai contoh, dalam dunia penulisan, Medium muncul sebagai platform blog yang popular dalam masa yang singkat dengan kemampuan pangkalan data yang cukup besar.

Tetapi, penulisan tetap dengan dunianya tersendiri. Jika dulu, penulisan hanya menerusi wadah buku, atau majalah, atau akhbar — kini, tidak lagi. Penulisan mengambil tempat secara aktif dalam dunia digital, lantas lahirnya sekalian platform blog sebagai alternatif kepada dunia fizikal.

Saya antara salah seorang yang percaya bahawa, blog masih lagi relevan sehingga ke hari ini. Bukti yang paling jelas adalah kebangkitan Medium sebagai platform penerbitan digital dalam skala yang menakjubkan.

Dan, Medium wujud dalam persekitaran Facebook — sebagai contoh mudah — begitu berkuasa dalam arena dunia digital. Persoalannya, mengapa hal demikian boleh berlaku?

Saya berteori, untuk menyokong apa yang saya rasakan selama ini, adalah kepuasan menulis di Facebook tidak sesekali boleh mencapai tahap kepuasan mencatat dan menulis di sebuah platform media digital yang dinamakan sebagai “blog”.

Oleh yang demikian, maka tidaklah pelik bilamana Medium menerima limpahan kehadiran penulis ternama dan jurnalis berkaliber, segala macam rumah penerbitan, blog dan majalah digital yang berwibawa.

Kumpulan manusia ini, memerlukan sebuah platform penulisan yang “sebegitu rupa”, dan Medium memenuhi kehendak mereka. Ternyata eksperimen dan teori Evan Williams terbukti berjaya.

Saya memilih untuk setia dengan platform Blogger, yang dimiliki sepenuhnya oleh Google (Alphabet Inc.), walaupun kadangkalanya, saya mengeksport tulisan terpilih dalam blog ini ke akaun Medium saya.

Kerap juga saya ditanya soalan, mengapa Blogger. Saya tiada jawapan. Paling logik, ianya percuma, dan mudah — uncomplicated, straightforward, plain and effective.

Efektif dari erti kata, mesra enjin carian Google itu sendiri. Ini juga telahan saya, memandangkan kesemua blog utama produk Google masih menggunakan Blogger sebagai platform media penerbitan mereka.

Saban menulis artikel bersempena ulang tahun Time To Change (walaupun banyak kali juga terlupa tahun-tahun sebelum ini), maka topik ini menjadi pilihan; mengapa Blogger. Biarkanlah, kerana bukannya kerap pun blog kecil ini menyentuh hal-hal begini.

Dan begitulah seterusnya, saya fikir, untuk tahun-tahun mendatang, saya berharap rasa ghairah untuk terus menulis di sini tidak akan padam buat selama-lamanya. Dan, moga para pembaca yang datang memenuhi masa lapang menyerabuti kepala dengan luahan dan catatan saya di sini, beroleh manfaat seadanya.

Kita bertemu lagi pada tahun 2017, untuk refleksi tahun kedelapan Time To Change. In shāʾAllāh.

Tuesday, October 25, 2016

Jenayah Akal dan Puing-Puing Yang Bertebaran

Kerap kali dalam pengisian tamrin (program tarbiah dan perkaderan) PAS, hujah yang berbunyi begini diguna dan diulang dari generasi ke satu generasi yang lainnya; “Selagi PAS berpegang dengan al-Quran dan Hadis, tiada alasan untuk meninggalkan perjuangan PAS.”

Atau, “Selagi PAS tidak melakukan hal yang melanggar syariat, atau mungkar, maka tiada sebab untuk berpaling tadah dari wadah politik PAS.”

Semalam, kami bertemu berbual — rangkum dalam pertemuan adalah teman-teman bekas pimpinan Islam Penyelamat Ummah (IPU), gelaran buat jemaah PAS dalam kampus — tentang UKM, perihal pilihanraya kampus yang baru berlalu dan bermacam lagi.

Timbul topik dalam cakap-cakap kami, tentang PAS.

Semua maklum, IPU dan rata-rata Jemaah Islam keseluruhan kampus di Malaysia, berada dalam penyeliaan Jabatan Perkaderan Mahasiswa (JPM), sebuah jabatan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat yang bertujuan mengkoordinasi penerusan kelahiran kader-kader PAS.

Justeru, dulunya kami semua adalah kelompok kader-kader PAS, yang cuma bezanya sekarang, kami sudah tidak lagi bersama dengan PAS.

Ada yang mengambil pendirian untuk menyertai parti politik yang berlainan, dan tidak kurang juga yang memilih untuk keluar langsung dari spektrum politik.

Antara kekuatan (dan juga punca kelemahan) kader-kader PAS adalah ikatan baiah yang termeterai, yang acap kalinya dimeterai tanpa adanya kefahaman yang syumul, yang rata-rata diikat pada sentimen dan doktrin.

Pada kelemahan yang begitu jua, tidak sedikit kader-kader PAS mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dengan jemaah tersebut seusai zaman kampus mereka.

Afif, salah seorang teman saya membawa sebuah premis logik, pada menjawab hujah mengapa perlu bersama dengan jemaah PAS selagi mana parti itu tidak curang dengan Quran dan Hadis.

Katanya, menghalang ahli berfikir juga, adalah suatu hal yang mungkar dan jenayah.

Tidakkah PAS mengambil kira akan hal menyekat ahli berfikir — membuka kebebasan wacana kepada ahli, kebebasan ahli mencabar status quo parti itu sendiri, adalah suatu bentuk jenayah akal yang sifatnya juga mungkar?

Akibatnya, kita menyaksikan gejala pandir (simpleton) telah menjadi wabak dalam kalangan kader-kader PAS.

Sayang sekali, sebuah sistem perkaderan yang lelah dibina beberapa dekad lalu, punah sepenuhnya (dalam pengertian intrinsik) akibat ketakutan yang disemai dalam doktrin PAS pada mencabar segi pemikiran yang berbeza dari manhaj jemaah itu sendiri.

Mungkin pada satu segi, kata orang, yang berlalu biarkan ia pergi. Namun, itulah manusia — tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Monday, October 24, 2016

Caesar Non Supra Grammaticos

Bergetar suara YB Husni Hanadzlah siang tadi di Parlimen mempersoalkan sebab musabab keperluan diwujudkan 1MDB ketika sesi perbahasan Belanjawan 2017. Beliau mempersoalkan, mengapa Malaysia begitu kaku menangani kebejatan itu.

Seolah-olahnya Perdana Menteri langsung tiada lagi rasa malu, kata orang, setidaknya berpada-padalah dalam berbohong kerana kelak jatuhnya tidak terkira sakit. Seolah-olahnya, undang-undang hanyalah terkelepet di bawah telapak kakinya sahaja.

Sigismund, sang Maharaja Roman ditegur Biskop Placentinus apabila dia mempertahankan kesalahan tatabahasanya dalam satu pertemuan Council of Konstanz, merujuk kepada konteks maharaja juga tertakluk kepada undang-undang dan peraturan tatabahasa.

Di Malaysia, hari ini undang-undang dijadikan kain pengelap kotoran telapak kaki oleh sesetengah politikus yang berkuasa. Badan legislatif tidak perlu dibicarakan lagi, habis dibungkam menjadi kuda tunggangan — usah dibecakkan soal maruah lagi di sini.

Jika Sigismund mendengar kisah takjub Najib Razak mengeksploitasi setiap lapis sistem yang wujud dalam Malaysia hari ini, tentu sang maharaja itu akan terpegun kaku, tidak percaya. Saat dirinya dulu, mempertahankan kesalahan tatabahasa pun menjadi bualan sejarah generasi demi generasi selepasnya.

Tentu sekali, kita boleh bermudah dengan YB Husni, mengajukan semula kebisuan beliau sewaktu memegang jawatan Menteri Kewangan dulunya. Kita boleh mengambil sikap begitu terhadapnya, atau kita boleh memilih untuk bersikap yang berbeza.

Secara peribadi, kita dapat merasa akan tersepitnya beliau. Pertimbangan dalam kehidupan yang serba lemah ini, bukanlah semudah kata-kata yang dilafazkan, atau selaju perkataan-perkataan yang tercatat di sini. Tidak semudah itu.

Kita mendoakan, agar lebih ramai lagi mereka yang insaf akan kebejatan 1MDB, bangkit seberani Placentinus menegur Maharaja Sigismund.

Betapa kesakitan yang kita tanggung pada hari ini, tidaklah seberapa bilangannya berbanding kerosakan dan kesengsaraan masa depan generasi kita yang seterusnya. Kita berhutang dengan mereka, untuk berdiri menyatakan bahawa segala kebejatan hari ini, adalah mungkar dan wajib ditentang.

Sunday, October 23, 2016

Dalam Sudah Keajukan, Dangkal Sudah Keseberangan

Belanjawan (ganti kepada istilah bajet yang dialih secara lolos dari asalan budget) 2017, seperti siri-siri sebelumnya, hanyalah kosmetik politik — yang realitinya, angka dan istilah-istilah makro perekonomian tersebut tidak bermakna apa-apa dalam kamus kehidupan seharian rakyat terbanyak.

Rakan saya mengumpamakan majlis pembacaan teks Belanjawan itu tidak ubah Ketua Perompak sedang membacakan perancangan rompakan mereka selama setahun, di hadapan gerombolan perompak yang sedang diketuainya.

Sudah semestinya, pihak yang paling malang, lantas menjadi mangsa adalah kita semua. Kita menyaksikan kecelakaan akibat gerombolan perompak menjarah harta kekayaan negara demi perut rodong mereka sendiri.

Bermula dari masa depan generasi anak-anak Malaysia yang dirompak rakus oleh peruntukan pendidikan dalam belanjawan dipotong saban tahun.

Bermula dari hal-hal terkait kesihatan dan kesejahteraan kumpulan masyarakat terbanyak termasuklah kualiti perubatan, perkhidmatan hospital yang mencukupi, bilangan doktor bertauliah yang menyusut saban tahun, diendahkan gerombolan perompak begitu sahaja.

Bermula dari persoalan kos sara hidup seharian, kemampuan memiliki rumah berharga mampu milik, peluang pekerjaan, kualiti alam sekitar dan pelbagai lagi, angka-angka belanjawan tersebut tidak mampu memberi jawapan kepada hal-hal yang realiti.

Sudah semestinya, kita lebih dari layak untuk mempersoalkan mengapa peruntukan bagi sebuah jabatan yang berpusat di Perdana Putra mencecah sehingga 15 bilion Ringgit, dan pada masa yang sama peruntukan penyelidikan dan pembangunan pendidikan tinggi dipotong sebegitu rupa kejamnya?

Semestinya juga, kita harus mempersoalkan, mengapa dari keseluruhan 260.8 bilion Ringgit peruntukan Belanjawan 2017, hanya 46 bilion Ringgit diperuntukkan bagi Perbelanjaan Pembangunan, dan Perbelanjaan Mengurus mencecah sehingga 214.8 bilion Ringgit?

Bermula pembentangan belanjawan pertama pasca Merdeka pada tahun 1959, ternyata Ketua Perompak zaman kita ini berjaya mencatat rekod belanjawan pertama yang menyediakan Perbelanjaan Pembangunan di bawah paras 20% dari jumlah keseluruhan belanjawan.

Rakyat yang berfikir, akan bertanya, apakah gerangan perompak sampai begitu rakus membolot perbendaharaan negara dari modus yang tampak jujur dan beretika.

Tidak. Tidak sesekali. Jauhar juga mengenal manikam, akan siapa yang berulit di kerusi Parlimen itu.

Cumanya, kita tidak mengenal manikam yang cantik berkilat tetapi siapa perompak yang sebenar. Dalam sudah keajukan, dangkal sudah keseberangan — jauh dari sana kita sudah dapat menghidu niat jahat gerombolan ini.

Cumanya, kita bimbang, rakyat mula terkeliru bilamana mereka yang berlilit serban di kepala, juga berulit di kelangkang Ketua Perompak. Mungkin inilah janji Tuhan, pada memberitahu bahawa dunia sudah menghampiri umur terakhirnya.