Friday, September 30, 2016

Surat Kepada Tuhan

Ujian yang didatangi Tuhan, dalam pelbagai ragam dan bentuk. Aku sedar itu semua, tetapi aku lelah. Lelah dengan kelemahan diri aku sendiri, lelah dengan kebuntuan akal, lelah dengan kemalasan dan bebanan yang menggila.

Aku lelah dengan ujian. Sampai satu ketika, aku bertanya, Tuhan, kapan mahu dihentikan segala ini?

Aku tak tahu nak mengadu di mana lagi. Aku fikir, menulis di sini boleh meringankan sesak yang menggila dalam dada. Dunia ini kadang kala terlalu kejam, untuk diri manusia yang serba lemah, serba kurang begini.

Kadang-kala aku terfikir, betapa bahagianya manusia yang hidup dalam dunia mereka sendiri, yang tidak perlu hidup dalam dunia orang lain. Tuhan, kenapa sukar sangat—segala macam ini?

Apa jawapan yang Kau nak aku cari?

Tuhan, aku nak menangis. Aku nak jumpa Kau. Aku tahu yang aku ini banyak dosa, dan aku tak layak pun untuk semua ini. Tapi, aku tiada pilihan lain Tuhan... Kau ringankanlah...

Saturday, September 17, 2016

Sosok Haron Din

Lewat pertengahan 2004, abah pulang dari pasar tani dengan senaskhah Harakah. Muka hadapannya, figura Haron Din menghiasi keseluruhan halaman dengan judul utamanya berbunyi ‘PAS yakin dengan cita-cita Negara Islam’.

Keseluruhan berita, kurang lebih, menyampaikan peri cita-cita penubuhan Negara Islam, sebagaimana yang terkandung dalam Manifesto PAS. Haron Din dipetik berita tersebut, menyatakan optimisnya bahawa sistem syura akan menggantikan sistem tinggalan penjajah pada masa akan datang.

Entah mengapa, fikiran saya melayang pada memori naskhah Harakah tersebut saat menerima berita pemergian Haron Din petang semalam. Mungkin itu antara puing yang bertebaran, yang mencuit memori saya mengenang sosok itu pada ketika menerima berita sedih tersebut.

Dia cerita pasal apa?” abah bertanya, dalam lenggok kebiasaannya apabila dia melihat saya tenggelam dalam helaian demi helaian lidah rasmi PAS itu. Saya masih ingat abah bertanya soalan yang sama, ketika saya membaca berita di atas.

Mungkin juga, kerana perbualan itu yang menyebabkan hingga ke hari ini saya masih terkenang saat tersebut saban kali nama Haron Din terlintas di mana-mana sekalipun.

Sehinggalah seusai solat Jumaat semalam, khatib Masjid Pasir Mina menyampaikan berita sedih ini kepada semua jemaah yang datang.

Tidak sama sekali menjadi peminat tegar arwah, tetapi hampir keseluruhan hayat sehingga ke hari ini begitu rangkum dengan sosok bernama Haron Din, saya harus mengaku sedikit sebanyak pemergian beliau menghambur sedih yang tidak sedikit jua.

Kalaupun pendirian dan pandangan arwah Haron Din tidak banyak mempengaruhi perspektif politik saya, sosok itu tetap mempunyai kredit terutama dalam perjalanan saya memahami perjuangan PAS dan bersama gerakan tersebut dalam beberapa tempoh terdahulu.

Kalaupun banyak segi saya tidak bersetuju dengan arwah, baik ucapannya atau ijtihad politiknya, sama sekali sumbangan dan jasa besar arwah, dan keperibadiannya tidak wajar dibisukan, tidak ditulis dan dirai.

Moga Tuhan tempatkan roh arwah dalam kalangan mereka yang dikasihi-Nya.

Friday, September 9, 2016

Darihal Khalayak Bertembok Delusi

Sukar untuk tidak bersetuju dengan komentar ringkas ZF Zamir, lewat isu filem PEKAK yang diperkatakan khalayak sebagai tidak bermoral, merancu akhlak remaja, dan berbagai kata nista lainnya lagi; bahawa mereka yang beremosi dengan filem tersebut, tidak berani untuk mendepani realiti sebenar yang dihadapi masyarakat dalam ceruk yang tiada nilai komersial seumpama kehidupan manusia di flat kos rendah, anak kelas corot dan seumpamanya.

Dalam gelanggang politik, kita sudah penat dengan politikus yang saban waktunya dalam delusi. Mereka bercakap yang indah-indah, melaburkan air liur bercerita bahawa ekonomi negara sedang merimbun, pendidikan kita maha sempurna, masyarakat semuanya makmur sentosa.

Dari satu parti politik, ke satu parti politik yang lainnya; delusi mereka kurang lebih tiada berbeza. Hal demikian jua pada politikus yang berpayung dibawahnya, delusi yang tiada berkesudahan.

Kita tersedia maklum akan perkara tersebut. Cuma malangnya, kita tidak sedar bahawa dalam pada begitu, khalayak yang bukan politikus juga, hidup bertembok delusi. Delusi khalayaklah yang memperanakkan keadaan di atas.

Saya tidak menonton filem itu lagi, tetapi dari pembacaan beberapa ulasan dan juga penerangan filem PEKAK, saya boleh mencongak perihal mengapa ada penonton panas punggung, lantas memarahi sang penerbit sebagai tidak bertanggungjawab.

Sindrom delusi pada realiti, menjadikan kita membenci sesiapa yang datang kepada kita, memberitahu kebenaran realiti yang sedang kita lalui sekarang.

Sebagaimana khalayak Quraisy membenci Muhammad SAW kerana memberitahu realiti berhala yang mereka sembah adalah batu yang membisu kejap, demikian jua manusia yang sedang dalam delusi terhadap permasalahan sosial yang kita berdepan pada hari ini.

Kita bercakap sehari dua yang lepas tentang anak remaja sekolah menengah dibelasah rakan sebayanya, tetapi sedarkah bahawa cakap-cakap kita itu tidak lebih pada menutup rasa lemah sendiri, dan mencari salah orang lain dan kemudiannya, menjadikan anak-anak itu sendiri faktor terutama dalam segala masalah yang dihidangkan pada hari ini.

Kita dalam delusi, sehinggakan kita terlebih gemar menutup rasa bersalah dan tidak bertanggungjawabnya kita terhadap sakit yang sedang kritikal ini, tersenyum kelat di depan seolah-olahnya tiada yang buruk sedang berlaku.

Penyakit sosial yang membarah dalam masyarakat hari ini, tidak bermula dengan anak-anak itu tetapi diri kita selaku orang-orang tua yang sudah cukup akal, yang membentuk acuan untuk mereka membesar dan berfikir, yang mencipta dasar dan sistem, yang merencana corak hidup mereka sehinggalah ke usia dewasa mereka.

Apabila datangnya perkhabaran mengenai realiti sebenar, yang rupanya tidak seindah diperkatakan ramai, kita melenting, beremosi, seakan tidak percaya bahawa itulah hal yang sedang terjadi dalam masyarakat pada hari ini.

Ambil contoh mudah — penyakit dadah, selain dari perangkaan yang dikeluarkan saban tahun menunjuk angka yang makin meningkat, selain dari mengeluh panjang, apa lagi yang kita berbuat dan fikirkan?

Kita liat benar untuk bangun, berfikir dan mempersoalkan sistem yang saban waktu kita hidup — pendidikan, sosio-ekonomi, keselamatan, nilai dan kepercayaan, teknologi, hak dan keistimewaan, politik, keadilan dan kesaksamaan, kebebasan — dan terlebih rela menjadi hamba pada delusi yang dihidangkan oleh kebejatan individualistik.

Natijahnya, kita cepat panas punggung apabila diberitahu bahawa realiti busuk yang sedang kita berdepan makin bertimbun, menunggu masa sahaja untuk runtuh menimpa kita semua. Kita masih senang dengan tabiat berkecuali, mencipta jarak, membina tembok dengan realiti sebenar.

Lantas, dengan berterusan dalam delusi begini, apa yang boleh kita harapkan dari khalayak?

Dari layar filem itu, sewajarnya kita insaf dengan realiti yang sedang kita semua berdepan, bukannya memejam mata dan terus mencari salah orang lain. Sudah-sudahlah hidup dalam delusi, jadilah manusia dewasa seketika.

Wednesday, September 7, 2016

Bagaimana Acuan, Begitulah Kuihnya

Sekali lagi masyarakat bercakap tentang kes buli yang menjadi riuh dalam Internet setelah tersebarnya video pelajar malang dibelasah rakan sebayanya. Sarapan pagi tadi, beberapa kelompok orang-orang dewasa bercerita tentang kisah malang itu.

Hangat, bermacam reaksi.

Tapi, sekadar begitulah masyarakat kita mampu. Tidak lebih dan tidak kurang. Apa yang saya perhatikan, nada perbualan seputar betapa teruknya generasi sekarang, tidak seperti zaman ketika mereka dulunya berusia begitu.

“Dulu, kita perdajal juga kawan-kawan di sekolah... tapi tak sampailah zalim sebegitu rupa,” ujar salah seorang manusia dewasa dalam perkumpulan staf universiti awam yang sedang bersarapan di sebuah restoran.

Mereka yang lain-lainnya, mengangguk-angguk setuju.

Kita bertanya, jika begini sikap dan kesedaran (conscience) yang boleh dituai dari perbualan tersebut, di mana pengakhirannya kepada kebejatan ini?

Nada rata-rata manusia dewasa dalam menanggapi kes jenayah buli, jenuh mengulang-sebut punca masalah anak-anak kecil yang tidak matang, kurang ajar, tiada kesedaran, jahat, bermasalah moral dan seangkatannya.

Tidak pernah sesekali, merasa bertanggungjawab, untuk mengalih rasa bersalah itu pada diri sendiri yang sudah tua bangka, yang sudah beranak bini, yang sudah punya keluarga masing-masing — bercakap dengan kesedaran selaku ibu dan bapa. Tidak pernah sama sekali.

Salahnya dalam isu buli ini, kita menoleh sepantas kilat kepada anak-anak yang terlibat dalam kes tersebut.

Kita bertanyakan, mengapa budak-budak tersebut tergamak berbuat zalim begitu, sedangkan kita lupa, bahawa acuan kepada sikap dan nurani budak-budak tersebut adalah ibu bapanya sendiri.

Tidak pula kita merasa keperluan untuk menoleh pada segi ibu dan bapa dalam soal ini?

Semestinya sesekali penulisan ini tidak berniat untuk serkap jarang pada ibu bapa terkait dengan jenayah buli dalam kalangan anak-anak mereka. Persoalan begini, harus diperhalusi dengan kanta mikro.

Hal yang terkait dengan soal sikap, karakter, disiplin dan conscience anak-anak, bermula dari didikan, atau kata lainnya, acuan yang dibina untuk membentuk kendiri tersebut dalam diri anak-anak. Tidak dapat tidak, kita terpaksa mengakui hakikat ini.

Terus menerus memandang anak-anak sebagai faktor terutama dalam perlakuan jenayah ini, hanya bertamukan kesilapan penilaian yang paling kritikal. Betah sekali untuk kita mempersalahkan diri sendiri selaku ibu bapa, atau berani bertanggungjawab atas kebejatan ini.

Mereka yang dewasa, akan bertanya; mengapa anak-anak zaman sekarang semakin ganas dan tidak berperikemanusiaan. Dulunya mereka tidak begitu, kalaupun mereka sewaktu kecil nakal juga.

Tidak sampainya rasa kemanusiaan dan kasih sayang dalam hati anak-anak ini, kerana acuan yang digunakan untuk membina mereka, cacat kemanusiaan dan kasih sayang, lemah sikap dan karakternya.

Walhasil, saban berulangnya jenayah buli kelak, pantas anak-anak akan menjadi mangsa sebagai pihak yang paling bersalah dan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas perlakuan itu.

Malang sekali, kita semua — manusia yang telah dewasa dan cukup akal, terlupa bahawa kitalah acuan kepada mereka.

Kita hanya mampu menggeleng kepala, mengeluh dan berborak sampai cerah tanah di kedai-kedai kopi. Kita kaku, tidak tahu untuk berbuat apa-apa.

Tuesday, September 6, 2016

“You know, you’re not that special to us.”

Perhimpunan G20 di pekan Hangzhou, China mencetuskan perbalahan yang menarik dalam kalangan pemerhati politik antarabangsa. Paling cerlang, desas-desus berhamburan seputar ketibaan Obama tidak dilayan dengan hamparan permaidani merah.

Ramai berpandangan, itu adalah serangan lembut China terhadap Amerika Syarikat — menduga kedalaman airnya. Popularnya begitu dalam kalangan pemerhati. China menyampaikan pesan bahawa, Amerika Syarikat tidak lebih tidak kurang kepada mereka.

Tetapi, dalam hal kepolitikan antara kuasa besar dunia, terutamanya antara blok Amerika Syarikat, blok China dan blok Russia, menyimpulkan sesuatu secara selapis bukanlah hal yang bijaksana, bahkan boleh mengundang bahaya.

Reaksi Obama akan hal permaidani merah itu, katanya perkara tersebut sengaja diperbesarkan media dan tidaklah penting mana pun pada dia dan delegasinya.

Dia mengakui, delegasinya memang telah ‘menyusahkan’ pihak tuan rumah sendiri lantaran saiznya yang jauh lebih besar berbanding negara lainnya.

Jawapan Obama mengingatkan kita pada suatu perkara yang penting, yakni perspektif. Isu permaidani merah, yang membezakan reaksi pemerhati dan sympathiser kedua-dua negara tersebut, adalah perspektif mereka menilai insiden tersebut.

Mungkin setengah darinya berpendapat, China bermain kasar dan seharusnya, jika pun China mahu menunjuk ego terhadap Amerika Syarikat, menggunakan kaedah memalukan musuh adalah bukan tindakan yang bijak.

Setengah yang lainnya pula, berkongsi sentimen Amerika Syarikat bukan entiti yang istimewa, yang menuntut kepada layanan khas dari pimpinan China terhadap negara tersebut. Boleh jadi, pada mereka layanan tersebut mengajar hakikat tinggi rendah langit kepada Obama.

Begitulah spektrum kasar bagi perspektif yang boleh diunjurkan menerusi insiden tersebut. Bahkan, menggunakan perkataan ‘insiden’ bagi menyifatkan keadaan tersebut, sudah menunjukkan ke mana condongnya perspektif kita.

Jelasnya, kita pasti dalam hal-hal yang terkait dengan diplomasi antarabangsa, banyak lapisan yang perlu dipertimbangkan. Tentu saja Obama boleh bereaksi balas secara kasar tetapi apa untungnya pada kepentingan negara dia dalam jangka panjang di China.

Begitu juga sebaliknya. Contohnya, kita boleh belajar sesuatu dari keceluparan Rodrigo Duterte terhadap Obama, dalam kenyataannya mengulas teguran Amerika Syarikat terhadap kempen membasmi dadah di Filipina.

Keterlanjuran itu, bak kata pepatah, terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata buruk padahnya. Akibatnya, White House membatalkan pertemuan yang dirancang antara Obama dan Duterte dengan serta merta.

Duterte pula terpaksa menanggung malu, apabila mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas keterlanjuran lidahnya itu. Nasi sudah menjadi bubur?

Dari suatu segi, Duterte selaku ketua negara punya hak untuk menghalang intimidasi dan campur tangan Amerika Syarikat dalam hal domestik Filipina. Tetapi, mengguna pakai strategi yang tidak bijak begitu, juga membawa kesan yang buruk terhadap negara mereka sendiri.

Dan, perspektif negara seumpama Filipina (dan juga Malaysia), sentimen anti-intervensi kuasa besar dunia dalam hal-hal rumah tangga sendiri, juga tidak boleh dipandang enteng.

Tambahan, kita semua maklum keghairahan Amerika Syarikat mengguna pakai mantera hak asasi manusia, sebagai modal untuk masuk campur hal rumah tangga orang lain, juga suatu segi yang harus diperbincangkan secara kritis.

Apa yang boleh kita simpulkan, dalam hal-hal diplomasi antarabangsa dan hubungan politik menerusi jaringan ekonomi dan keselamatan terutamanya, segala segi dan penanda, memberi ruang kepada kita untuk membina perspektif yang berbeza dan membantu memahami sesuatu peristiwa dengan lebih baik.

Pemimpin yang gopoh dan tidak karismatik, adalah ramuan kepada bermulanya era berantakan yang tidak berkesudahan. Dalam hal begini, mengingatkan saya pada arwah John F. Kennedy.