Tuesday, March 29, 2016

Ikat Perut

Dalam apa-apa sahaja impian atau cita-cita yang kita kejar, saya percaya pada satu frasa: ikat perut. Dari frasa inilah, timbulnya idea kesanggupan untuk bekerja demi impian dan idea yang disebutkan itu.

Saya ingin berkongsi tulisan Chris Savage, pengasas dan CEO Wistia, sebuah startup yang memfokuskan pada penghasilan video untuk tujuan pemasaran produk oleh pelanggan. Tulisannya berkisar kisahnya sepanjang 10 tahun membangunkan Wistia, sebagaimana yang kita lihat pada hari ini.

Kesimpulan dari kisahnya, 10 tahun yang berlalu adalah 10 tahun ikat perut. Beliau dan kumpulan pembangun awal Wistia ikat perut bagi menjayakan impian mereka untuk membangunkan sebuah syarikat bermula dengan tiada apa-apa.

Peri pentingnya kesanggupan ikat perut inilah, pada saya secara peribadi, menjadi faktor sejauh mana kesanggupan kita bekerja demi cita-cita dan impian tersebut. Dan, seterusnya menjadi faktor pemangkin terhadap sejauh mana syarikatnya itu akan bergerak ke hadapan dan menggapai sasaran keuntungan.

Semalam juga, pengasas The Vocket turut bercerita tentang pengalaman dua tahun mereka beroperasi bermula 2014 sehinggalah semalam , mereka berjaya mencapai suatu milestone baru. Kisahnya itu, juga seputar kesanggupan mereka membina syarikatnya dalam keadaan ikat perut.

Kita boleh memberi makna ikat perut ini sebagai kesanggupan untuk berkorban demi impian yang dikejar. Sudah semestilah, tiada suatu apa pun di atas muka bumi ini, akan datang bergolek dengan senang ke riba kita, atau jatuh bedebuk dari langit.

Semuanya, berlaku atas jerih perih, atas titik peluh, atas kesanggupan untuk bekerja dan berkorban. Saya berpegang bahawa, persistence dan perseverance adalah sifat-sifat asasi dalam konteks perbincangan ini, untuk melengkapkan peri makna frasa ikat perut dalam mengejar cita-cita dan impian.

Sunday, March 27, 2016

Senjata Makan Tuan

Mungkin, saat ini Tengku Mahkota Johor berharap boleh menarik semula tulisan melankoliknya mengenai krisis perlembagaan 1992 — pindaan penghapusan klausa yang memberi imuniti kepada raja-raja Melayu dari didakwa di mahkamah atas kesalahan yang dilakukan.

Terdapat DUA perkara kita boleh perkatakan, pertama, dari sudut baiknya, saya sangat yakin bahawa niat TMJ adalah tidak sesekali mengungkit atas dasar dendam, tetapi beliau bercakap atas kapasitinya sebagai pewaris takhta Johor yang mempunyai visi jelas, tentang bagaimana sepatutnya hubungan kerajaan dan Istana.

Kita wajib akur bahawa, institusi Istana adalah kritikal dalam sistem bernegara di Malaysia. Istana adalah simbol perpaduan, kita tidak pernah nafi akan hal itu. kita sangat-sangat menghormati klausa yang tertulis dalam perlembagaan itu.

Bagusnya, apabila TMJ mengungkit kisah lama, ianya telah mengajak generasi muda Malaysia yang lahir tahun 1985 ke bawah menyelidiki krisis dengan penuh minat.

Secara tidak langsungnya, TM telah membantu sebahagian generasi muda Malaysia memahami krisis 1992 dengan lebih baik dan penuh kesedaran.

Perkara ini adalah positif. Apabila mereka membaca semula Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 19 Januari 1993 (dan saya mencadangkan TMJ untuk turut membaca penyata tersebut), tentu mereka akan tahu kisah sebenar dan tragedi yang melatari krisis tersebut dengan lebih jelas.

Sudah tentulah, natijahnya, mereka akan sedar bahawa pindaan itu wajar, dan sepatutnya TMJ serta lain-lain keanggotaan Istana menginsafi bahawa , pindaan itu merakyat, demokratik, mencerminkan ketelusan dan keadilan dan paling penting, meletakkan yang bersalah, pada tempat yang sepatutnya.

Hal yang lainnya, imbauan TMJ secara tidak sengajanya telah membuka kembali luka yang sudah berparut, atau kata lainnya, seakan menabur garam pada luka yang berdarah.

Dengan skala begini reaksi khalayak pada melankolik TMJ mengenai krisis itu, beliau sewajarnya berhati-hati dalam kenyataannya berhubung institusi Istana dan perlembagaan pad masa-masa akan datang.

Istana wajar bermuhasabah tentang hakikat ini: bahawa rakyat makin meluat dengan institusi Istana apabila saban hari, Istana tidak ubah seperti tunggul kayu yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat, atau biawak hidup yang terpaksa ditanggung bebannya pada bahu rakyat.

Mengapa mereka meluat?

Kerana Istana memilih untuk diam membisu, tidak bersuara, apatah lagi untuk menunjukan sikap, bagi membela rakyat saat krisis sebegini. Kita semua tahu, paling jelas, dalam pada segala ribut belantara 1MDB dan derma RM2.6 bilion, sudah terperuk ke celah mana suara Istana?

Meninjau dari sudut ini, pada hemat saya, TMJ telah tersilap langkah. Mungkin beliau ada hak untuk merasa begitu, sebagaimana yang beliau tuliskan, tetapi sesekali beliau tidak boleh menafikan sebahagian besar rakyat merasa yang sebaliknya terhadap institusi Istana.

Tidak hairanlah, kita boleh melihat sendiri, begitu ramai khalayak yang berterima kasih terhadap Tun Mahathir pada pindaan tersebut.

Dan, TMJ selaku pewaris takhta, wajib menginsafi hakikat ini. Mereka yang tertindas, mereka yang dizalimi, mereka yang hilang nyawa akibat dizalimi oleh manusia yang punya sedikit kuasa, TENTU SEKALI mereka tidak akan mudah melupakan rasa sakit luka berdarah itu.

Melawat kembali luka tersebut, dengan tulisan yang bersifat tidak apologetik — dan membawa nuansa semacam tidak bersalah langsung atau tiada rasa untuk memikul tanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku, pada saya itu hanya akan mengundang amarah, bukan rasa hormat.

Thursday, March 24, 2016

Damailah Dikau Di Sana, Aminulrasyid Amzah

Hari ini, Bernama melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memerintahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak RM414,800 kepada keluarga arwah Aminulrasyid Amzah yang telah ditembak mati oleh anggota PDRM enam tahun yang lalu.

Bayaran itu, termasuklah RM100,000 dikenakan terhadap bekas Ketua Polis Selangor waktu itu — You-Know-Who — kerana misfeasance in public office (kemungkiran awam) terhadap perintah mahkamah.

Kita bertanya, apakah mereka yang telah bersepakat menyembunyikan kebenaran di sebalik jenayah ini berani melafazkan pengakuan bersalah dan permohonan maaf secara terbuka di khalayak?

Kita tidak akan melupakan rasa sedih dan tersiatnya jiwa menyaksikan kezaliman itu telah dihalalkan, bahkan dicipta jutaan justifikasi songsang oleh gerombolan You-Know-Who untuk menutup bangkai gajahnya dengan sehelai daun buruk.

Kita juga tidak akan mudah melupakan, segala kata nista mereka yang berkuasa dan mereka yang laparkan kuasa, pada khalayak yang empati pada kekejaman ini – memutarbelitkan kebenaran, menyembunyikan fakta, mereka-reka cerita palsu.

Sekian kalinya kita bertanya, apakah gerombolan ini berani bersemuka dan memohon maaf secara terbuka?

Kita bertanya lagi, adakah bayaran ganti rugi ini akan menegakkan semula tiang sendi keadilan yang telah runtuh berderai?

Kita tidak pasti. Kita tiada jawapan. Cuma, yang tinggal adalah utusan doa kepada arwah. Yang bersisa adalah harapan dan impian. Damailah dikau di sana, Aminulrasyid Amzah. Damailah...

Wednesday, March 23, 2016

“I'm not a crook,”

Pada 17 November 1973, Richard Nixon ketika menjawab soalan dalam sebuah sidang media berkaitan skandal Watergate, dia dengan tenang menjawab, “People have got to know whether or not their President is a crook. Well, I'm not a crook. I've earned everything I've got.

Pada 21 Mac 2016, Najib Razak pula memberitahu media perihal skandal 1MDB, “I haven’t changed my principles as a prime minister. I’ll never steal public property. Don’t think I’m a crook. Don’t believe that I’ve stolen public property. I’m the people’s prime minister.

Bijak pandai sudah berkali-kali mengingatkan kita semua, bahawasanya, sejarah itu akan berulang kembali sesaat kita melupakannya.

Nixon pada akhirnya, terpaksa juga bersara awal dari Oval Office setelah desakan massa semakin menggila pada pentadbirannya akibat dari skandal tersebut – ketirisan moral dan penyalahgunaan kuasa.

Nixon memecat pengerusi suruhanjaya khas yang ditubuhkan bagi menyiasat skandal tersebut secara bebas. Di Malaysia pula, Najib Razak 'memanipulasikan' sebahagian besar ahli Public Accounts Committee (PAC) yang ditubuhkan bagi menyiasat skandal 1MDB.

Untuk diceritakan satu-persatu mengenai susur galur skandal 1MDB, rasanya tiada keperluan kerana begitu banyak sumber lain di luar sana yang boleh kita rujuki untuk mendapat tahu kisah-kisah hitam yang melingkari skandal ini.

Mudahnya, bunyi kecapinya sama. Paluan gendangnya hampir serupa. Permainannya tidak jauh berbeza antara Nixon dan Najib Razak. Benarlah, sejarah akan berulang kembali.

Jika tidak hari ini, dan kalaupun tidak juga esok atau lusa, nasib Najib Razak akan menjadi serupa seperti Nixon jua suatu hari nanti. Percayalah, the truth will prevail.

Tuesday, March 22, 2016

Menjarah Manusia Berjiwa Feudal

Tulisan Pang Jo Fan dalam The Malay Mail Online mengenai tahap kesedaran pelajar Malaysia di luar negara yang tidak mempunyai rasa ingin ambil tahu, atau tepatnya, rasa ingin ambil tanggungjawab pada apa yang berlaku dalam situasi politik negara mutakhir, adalah tepat untuk menggambarkan keadaan manusia berjiwa feudal.

Manusia feudal, adalah manusia yang berjiwa hamba. Manusia yang makan minumnya, percaya bahawa ada tuan besar yang menentukan untuk dirinya selain Tuhan, dan sesekali tidak dia berani untuk menongkah kelaziman begitu.

Seperti untaian Alejandro Jodorowsky yang dipetik oleh Pang Jo Fan, seekor burung yang terkurung dalam sangkar sempit semenjak hari ia menetas, sudah pasti ia akan menganggap kemampuan untuk terbang itu adalah suatu bentuk penyakit atau kecacatan.

Padahal, ia sedang jahil – tidak tercerah dengan makna dan hakikat yang sebenar mengenai kebebasan, sesuatu yang tak terbatas.

Analogi burung yang terperangkap dalam sangkar sempit ini, menjadi cukup cocok dengan jiwa seorang manusia berjiwa feudal. Manusia ini, akan menyalak seperti anjing kelaparan mempertahankan tuan besarnya, biarpun si tuannya itu sudah bertimpa-timpa dihujani salah laku dan tuduhan pecah amanah.

Pada mereka yang berjiwa feudal, kelangsungan untuk makan dan minum, mengenyangkan perut rodong masing-masing, memenuhkan tembolok harta peribadi, adalah lebih terutama dari soal integriti, amanah, moral dan apatah lagi rasa bertuhan.

Untuk golongan sebegini, laras bahasa intelektual tidak lagi mampu memberi apa-apa kesan. Jauh sekali untuk membawa mereka berubah, menyedari makna sebuah kebebasan. Jiwa mereka terkongkong, gementar pada ilusi kuasa yang dicipta-cipta oleh tuan besar mereka.

Tiada laras bahasa yang sesuai untuk mengubah mereka lagi. Kata Usman Awang, laras bahasa yang sesuai untuk mereka adalah laras bahasa kurang ajar. Beliau mengungkapkan secara jitu, dalam puisinya yang berjudul “Kurang Ajar”,

Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu. 
Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu. 
Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya. 
Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar

Hanya dengan cara begini, barulah jiwa feudal mampu dipecahbelahkan, dihenyak-renyuk.

Selagi malu dengan penindasan, selagi berhemah dengan pengkhianatan, selagi menunduk segan pada kezaliman—selagi itulah rakyat di tanah air ini terus menjadi hamba feudal.

Monday, March 14, 2016

The Questions We Keen to Answer

According to World Bank, Malaysia is among the most urbanised countries in South-East Asia, and its urban population continues to increase rapidly, about 10% in 10 years (2000-2010) from 10.2 million (43% of the total population) to 15 million (53%).

The absolute poverty rate in urban areas has decreased considerably in the last 10 years. 0.1% of urbanites are still considered extreme poor and about 0.6% are considered poor – which we could easily summarise, there are about 100,000 urban populations in Malaysia are trapped in poverty.

That figure is only considering absolute poverty factor. How about relative poverty factor?

Malaysia Human Development Report from UNDP says relative poverty has emerged as a growing concern in recent years in Malaysia.

To make the problem worse, the unemployment rate in Malaysia increase to 3.3% (478.1 million unemployed) in December 2015 from 3.2% (453.3 million unemployed) in November.

How about disabled people?

The situation isn’t far better.

There are less than 1% of disabled in government services. We are talking about the opportunities and discrimination. Until 2015, statistic shows 354,874 disabled was registered. Unfortunately, only 3.43% (about 12000) employed. Where are the others?

Don’t we have some sound policies that address those problems?

Yes, we do have.

For instance, we have a policy such as the National Urbanisation Policy in 2006, however, according to UNICEF, the urbanisation itself has led to the creation of urban pockets that contain vulnerable population groups, including increasing the number of homeless.

Isn't it being the policy that should carry the measurements and parameters that considering all the ends, either its effectiveness or impacts on the addressed group?

But, why all of this happened anyway?

These are the questions we keen to answer.

Therefore, here we are, establishing an independent non-profit,  Initiative for Malaysian Humanitarian (INSAN).

INSAN will be the first public policy research and advocacy think tank focusing on humanitarian policy and management in Malaysia with a goal to make public policies work for the people.

We are outlining our THREE primary targeting societal groups, i.e. urban poor, disabled and homeless.

The context as prior explained provides tremendous opportunities for INSAN to inform, shape and influence public policies at different levels for those affected by bridging the disconnect between public policy, policy outreach and policy implementation.

INSAN set 3 main pillars on how we are working and deliver; (i) advocacy, (ii) human development, and (iii) volunteerism.

People who hear this pitching, might ask, should we do what it takes to do to address the problems, what impacts do we implore and deem for and how we plan to measure it?

At the moment, INSAN still doesn't have a significant impact yet for the showcase, and to be realistic, this will take time.

However, I firmly believe INSAN would affect thousands of targeted groups once we fulfil our strategic priorities in the first year of operation (we called it as a start-up phase).

Those strategic priorities are building a strong management team, finding an experienced Board of Trustees, securing seed funding for launching and piloting the planning ideas and increase participation among the youths through media branding and advocating activities.

Come aboard, fight with us for this cause. Help us to grow. We need financial backup. We need grants. We need research fellows and experts.

Because we want to execute – we don’t want to entrap forever in ideation stage. We appeal to you to help us, to make policies work for those peoples.

Friday, March 11, 2016

Memungkinkan Yang Tidak Mungkin

Dulu, popular dalam kalangan khalayak frasa “impossible is nothing” yang menjadi tema komersial Adidas sewaktu Piala Dunia 2006. Frasa tersebut, banyak menimbulkan tanda tanya mengenai maksud yang cuba disampaikan Adidas, termasuklah kepada diri saya sendiri.

Beberapa bulan lepas, saya ada berbual dengan seorang guru saya mengenai idea dan perkembangan teknologi seputar artifial intelligence – perkembangan teknologi seumpama pemindahan kepala manusia, perubatan nano, pemindahan consciousness dari akal kepada bentuk cip mikro dan berbagai lagi.

Tanya saya pada guru saya itu, adakah hal-hal itu ada kemungkinan untuk jadi kenyataan?

Jawab beliau, ya, ada kemungkinan untuk idea-idea tersebut menjadi realiti, dengan syarat usaha mereka memenuhi hukum alam dari sudut rukun prosesnya. Jika mereka mengikut prosesnya secara betul, sebenarnya tiada apa yang mustahil untuk dicapai.

Cuma, pada kita selaku manusia yang beriman dengan keterbatasan dan kedaifan manusia yang diciptakan Tuhan, kita tidak juga menolak pandangan bahawa hal-hal tersebut tidak mungkin akan terealisasi.

Fokus saya, bukanlah pada percanggahan dan perdebatan itu, tetapi kepada kasus pertama tadi iaitu tiada apa yang mustahil di dunia ini selagi ianya memenuhi segala pra-syarat dan rukun prosesnya.

Untuk memungkinkan sesuatu yang kelihatan pada pandangan ramai tidak mungkin, haruslah terlebih dahulu kita memenuhi pra-syaratnya dan proses-prosesnya secara tertib mengikut lunas rukun yang tersedia baginya.

Dengan seorang rakan baik saya yang kami berkongsi sebuah idea tentang pemilikan tech-based startup, pada konsep memungkinkan yang tidak mungkin inilah banyak kalinya kami bertanya antara satu sama lain.

Paling mudah, kami sering bertanya antara satu sama lain – puluhan kali sebenarnya, apakah startup kami bakal atau mampu menjengah nasibnya sehingga ke peringkat Exit atau IPO (sebagai contoh).

Soalan sebegini ringkas, sudah pun menjadikan kami menggeletar lutut.

Pada akhirnya, bagaimana semua cita-cita dan impian ini – yang nampaknya kelam, yang tidak ada contoh di peringkat Malaysia secara jelas pengalaman-pengalaman terdahulu yang boleh menjadi model ikutan sebagaimana kisah kejayaan Facebook di Amerika Syarikat.

Tetapi, kami pasakkan satu perkara. Untuk mencapai impian tersebut, kami wajib penuhkan pra-syarat dan rukun prosesnya secara tertib dan berdisiplin.

Sebagaimana tulisan saya sebelum ini, untuk berbuat begitu, apa yang kami perlukan adalah kesanggupan kami untuk bekerja demi impian dan cita-cita ini. Makanannya: persistence and perseverence.

Tuesday, March 8, 2016

Membaiki Masyarakat Dengan Sehelai Kertas

Bunyinya retorik. Kedengaran seolah-olah tidak masuk akal. Bagaimana mungkin kita akan mampu mengubah atau membaiki masyarakat ke arah yang lebih baik dengan sehelai kertas? Atas nama kuasa apa?

Kami memulakan mimpi-mimpi Initiative for Malaysian Humanitarian (INSAN) dengan bersandarkan pada retorik ini. Itulah cerita bagaimana kami bermula.

Kelmarin, beberapa think tanks yang sudah berstatus primer di Malaysia bertemu untuk membincangkan hala tuju dan darjah relevan kewujudan think tanks di negara ini menjelang era 2020 – antara mereka adalah IDEAS, ISIS, ASLI dan Khazanah Research Institute.

Dalam perbincangan itu, mereka merencanakan idea berkenaan bagaimana think tanks berfungsi untuk membantu negara dan masyarakat berubah kepada arah yang lebih baik, terutama dari sudut perlaksanaan dasar dan pengurusannya.

Kata kuncinya adalah, dasar atau polisi. Sudah semestinya, idea untuk mengubah masyarakat melalui perlaksanaan dasar tertentu akan mengundang skeptikal yang tidak kunjung sudah, terutama sekali mereka yang taksub pada idea kuasa politik.

“Think tanks have a mighty task, trying to provide all the facts and change the mindsets of the Government and the public, as the country moves toward becoming a truly developed nation.” The Star, 6 March 2016

Sudah tentulah, kerja utama dalam menjayakan visi tersebut adalah melalui aktiviti-aktiviti advokasi (advocacy). Untuk mudah memahaminya, kerja-kerja ini melibatkan aktiviti pujuk rayu dan lobi-melobi, yang bersandarkan pada data dan dapatan kajian yang lunas pada disiplin ilmu.

Menyedari kekuatan dan peluang inilah, kami menghambat mimpi-mimpi INSAN ke hadapan dalam konteks kemanusiaan – isu-isu masyarakat terpinggir yang berfokus iaitu gelandangan, miskin kota dan OKU.

Pelbagai ruang dan segi yang terbuka buat INSAN untuk maju dan menjadi primer dalam lapangan ini. Sehingga sekarang, saya percaya, antara kekuatan INSAN yang tiada atau jarang ada pada mana-mana think tanks yang lain, adalah betapa remajanya usia para penggerak utamanya.

Cuma, yang tinggal sekarang, adalah kesanggupan kami untuk bekerja demi impian dan cita-cita ini. Ini sahaja yang INSAN perlukan – persistence and perseverence.

Sunday, March 6, 2016

Mengapa Istana Diam Membisu?

Dalam segala belantara ribut skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang cukup memalukan, cukup berbahaya, yang telah melukai segenap ceruk maruah, harga diri dan kedaulatan Malaysia: di mana suara Istana?

Mengapa sampai begitu sekali Istana memilih untuk berdiam diri (membisu) dan berkecuali?

Mengapa mereka seolah-olahnya sengaja membiarkan skeptikal dan sangka buruk khalayak terhadap Istana semakin menebal lantaran kebisuan mereka?

Mengapa sampai sebegitu kelu lidah mereka?

Mengapa mereka sanggup melihat rakyat semakin meluat dengan institusi Istana apabila langsung tiada ketegasan untuk membantu menyelesaikan krisis ini?

Mengapa mereka memilih untuk menjadi institusi bisu?

Mengapa?

Friday, March 4, 2016

Harga Diri Rakyat Dalam Deklarasi Rakyat

Pedihnya, hanya Tuhan sahaja yang mengerti.

Sekian lama kita diperbodohkan, dengan terma “rakyat” dalam hal-hal kepolitikan. Begitu mudah untuk meraih simpati atau undi atau perhatian khalayak, hanya dengan menempelkan terma “rakyat” pada mana-mana manifesto atau janji.

Begitu mudah sekali. Untuk sekian kalinya, hari ini sekali lagi sejarah tanah air mencatatkan bagaimana terma “rakyat” diperlakukan sedemikian murah dan lempung. Seakan tiada lagi bersisa makna dan keramatnya.

Mahathir dan segenap gerombolan politikus yang berhimpun pada hari ini menandatangani sebuah dokumen yang digelar “Deklarasi Rakyat” yang bertumpukan pada satu-satunya motif iaitu, menggulingkan Najib Razak dari takhta kuasa, seolah-olahnya terlupa akan sesuatu yang teramat penting.

Darihal makna dan pengisiannya. Pada kegirangan “As you can all see, this is a very strange group of people...” sesekali kita tidak boleh terus menjadi naif, atau kasarnya, menjadi bodoh untuk terjatuh ke dalam lubang biawak buat kali keduanya.

Janganlah kegirangan menyaksikan Mahathir dan Lim Kit Siang duduk semeja menutup segala ruang kritikal terhadap naratif sejarah mereka. Melupakan sejarah lama, hanya memberi ruang untuk sejarah tersebut berulang kembali.

Kalau ianya sejarah yang manis, tidak mengapalah. Tapi, semua orang tahu sejarah apa yang dimaksudkan di sini.

Girang itu, biarlah berpada. Soal deklarasi rakyat dan apa yang mereka laung-laungkan segalanya hari ini – perihal demokrasi, kuasa rakyat, integriti, tata-kelola yang beramanah, bukan perkara baru. Bukan Mahathir pun pencetusnya. Bukan sama sekali.

Sudah puluhan kali sebelum ini kumpulan-kumpulan kecilan yang menyerunya, bahkan seruan mengenai perubahan yang lama-lama dulu jauh lebih padat, menyeluruh dan benar-benar menggambarkan aspirasi rakyat.

Hari ini, apa yang mereka laung-laungkan itu, sudah pun dalam versi kitar semula.

Justeru, untuk tidak nampak terlebih bodoh, haruslah menahan diri dari menjadi terlalu girang perihal peristiwa hari ini. Memanglah ianya bersejarah, atau nampak kelainan (secara zahirnya begitu), tetapi hakikatnya, hal ini adalah perkara yang sudah lama dibangkitkan.

Jangan terpesona dengan terma “rakyat” atau “selamatkan Malaysia”. Kalau segala kegirangan hari ini semata-mata mahu selamatkan Malaysia dari Najib Razak, lupakanlah.

Kita tidak bercakap soal Najib Razak. Kita bercakap soal sistem dan budayanya yang sudah korup dan berakar umbi. Perlu jelas akan hal ini, wahai kawan-kawan yang sedang tersenyum girang.