Monday, February 22, 2016

Menangisi Generasi Bisu

Hari ini, manusia yang punya hati sanubari akan mengingati 50 tahun pemergian Malcolm X.

Manusia yang melawan, insan yang punya kesedaran pada penindasan dan kebatilan, manusia yang tidak bisu – pada kebejatan, pada ketidakadilan, pada diskriminasi – akan mengingati hari ini dan berusaha menjadi sebahagian naratif memorinya.

Bagaimana untuk kita umat zaman kini mahu terus mengekalkan legasi pemikiran, legasi kepimpinan, legasi idea, legasi keazaman dan iltizam pada melawan penindasan yang telah dicetuskan oleh Malcolm X?

Jawapannya, tiada lain tiada bukan, wajib pada kita membanteras generasi bisu. Generasi yang membisu pada ketidakadilan, yang senyap sepi pada penindasan dan membutakan matanya pada diskriminasi di hadapan matanya – yang membutuhnya untuk berbuat sesuatu.

We declare our right on this earth to be a man, to be a human being, to be respected as a human being, to be given the rights of a human being in this society on this earth in this day which we intend to bring into existence via any means necessary.” – Malcolm X, 28 June 1964

Malcolm X sudah menjadi simbol pada iltizam ini. Simbol sahaja, tidak mencukupi. Simbol tidak bermakna dan tidak mampu mengenyangkan manusia yang kelaparan di kaki-kaki lima. Dengan simbol sahaja, tidak mampu membebaskan manusia dari penindasan sang penindas.

Untuk membanteras generasi bisu, harus dimulakan dengan pendidikan. Itulah esensi yang boleh kita cedok dari pengisahan hidup Malcolm X. Beliau tidak pernah sesekali alpa untuk mengingatkan kepada kita, betapa pendidikanlah adalah punca kepada perubahan yang sebenar.

Beliau menukar jeriji penjaranya menjadi sebuah kelas pengajian yang mengubah pandangan hidupnya secara total. Setelah menyalin halaman demi halaman sebuah kamus yang diperolehinya, beliau menghafalnya!

Beliau membaca setiap buku yang berada dalam perpustakaan penjara itu – falsafah, politik, sejarah, sastera, dan sains. Beliau membaca Bible, membaca tentang arkeologi sehinggalah kepada genetik. Beliau kemudian berkata,

Let me tell you something: from then until I left that prison, in every free moment I had, if I was not reading in the library, I was reading on my bunk. You couldn’t have gotten me out of books with a wedge. Between Mr. Muhammad’s teachings, my correspondence, my visitors—usually Ella and Reginald—and my reading of books, months passed without my even thinking about being imprisoned. In fact, up to then, I never had been so truly free in my life.” 
Learning to Read excerpt from The Autobiography of Malcolm X

Beliau keluar dari jeriji penjara, menjadi manusia yang melawan. Beliau simbol kepada pendidikan yang menyeluruh. Beliau mengungkapkan peri pentingnya pendidikan, berdekad lebih awal dari Nelson Mandela, apatah lagi Malala Yousafzai.

Tapi, hari ini, kita melihat universiti-universiti menjadi kilang kepada kelahiran generasi bisu secara berbondong-bondong!

Sudah pasti Malcolm X akan menangis kesedihan jika Tuhan takdirkan umurnya panjang untuk menyaksikan projek pembodohan ini yang begitu berleluasa tiada tertahan lagi.

Alangkah, betapa kita buta pada sejarah, betapa kita melupakan pelajaran dari kisah hidup seorang pejuang keadilan yang mungkin tidak akan lahir lagi pada zaman kita dan akan datang. Betapa kita lupa, pendidikan pada erti kata yang sebenar, yang melahirkan manusia melawan seperti Malcolm X.

Hari ini, dunia jenuh dengan ketidakadilan. Dunia terhias rapi dengan diskriminasi. Dunia menjadi syurga sang penindas. Tapi, dengan universiti-universiti hanya mampu melahirkan generasi-generasi bisu, apakah lagi harapan yang bersisa buat umat zaman sekarang?

Kita malu dengan beliau. Kita malu dengan hakikat betapa penakutnya generasi hari ini. Kita akan mati keseganan dengan generasi-generasi bisu yang lahir dari sebuah sistem pendidikan yang menghirup kepingan wang, tetapi hampa makna dan hakikat.

Betapa, hari ini, kita terpalit dengan generasi yang membisu pada ketidakadilan, yang lebih senang mengenyangkan perut rodong masing-masing, yang terlebih senang memikirkan kesenangan peribadi.

Kita tidak kepupusan kerana tidak membiak secara biologi, tetapi kita kepupusan kerana matinya hati nurani yang dianugerahkan Tuhan kepada kita semua. Kita lebih rela memilih menjadi generasi bisu, yang kaku, yang tiada harga langsung. Kitalah generasi itu.

Wajarlah, hari ini sesudah 50 tahun pemergian Malcolm X, kita menangisi akan bisunya kita semua.

Sunday, February 21, 2016

Menanggapi Isu Polis Internet

Hari ini, Nur Jazlan Mohamed mencadangkan sebuah undang-undang digubal supaya penulis blog wajib mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Tujuan tiada lain tiada bukan, untuk mengawal, untuk mencucuk hidung supaya menjadi lembu yang senang disandung ke mana mereka suka.

Hampir dua tahun yang lepas, Najib Razak bercakap tentang pendemokrasian maklumat. Dalam kenyataannya itu, dia bercakap soal maklumat dua hala, dan rakyat juga bebas menyampaikan maklumat tersendiri – pandangan, idea, bantahan, ekspresi.

Awal tahun ini, heboh di bawah PDRM tertubuh satu badan dinamakan Police Cyber Investigation Response Centre (PCIRC). Sebenarnya, tidak menjadi sebarang masalah pun bagi kerajaan untuk adakan suatu badan yang mengawal selia kegiatan Internet.

Dunia Internet semakin pesat, kita tidak nafikan keperluannya. Bahkan, hal ini perlu menjadi topik yang wajar didebatkan.

Cuma, hal PCIRC menjadi masalah dan menimbulkan gangguan pada rata-rata netizen adalah kerana PCIRC bertindak sebagai polis Internet yang fungsinya semata-mata untuk menghalang orang ramai menghamburkan kemarahan kepada Najib Razak.

Kalau sebuah unit ditubuhkan di bawah PDRM semata-mata berfungsi untuk mencuci najis Najib Razak, perkara itu wajib dilaknat oleh seluruh lapisan masyarakat – kerana mereka dibayar gaji menggunakan duit cukai yang dikutip dari semua poket rakyat Malaysia.

Sudah pastilah kita tidak bermasalah dengan objektif untuk menghalang kegiatan jenayah seumpama buli, jualan senjata api dan dadah, penipuan jualan atas talian, penyebar hasutan yang mengapi-apikan kebencian pada satu-satu ras atau agama.

Tetapi, kita sangat-sangat bermasalah dengan PCIRC yang cuma tahu memberi amaran kepada mana-mana pengguna Twitter, Facebook dan blog yang memaki Najib Razak atas kebodohan dasar-dasar pemerintahannya dan segala kejijikan skandal-skandal sekeliling pinggangnya.

Pilih kasih. Selektif. Dipergunakan, diperkotak-katikkan Najib Razak, untuk menjadi kuda tunggangan kepada karier politiknya yang semakin kelemasan.

Begitu juga dengan cadangan Nur Jazlan Mohamed pada hari ini, sudahnya kesemua undang-undang yang tidak masuk akan ini akan dikenakan, dilaksanakan pada siapa? Pada mereka yang mengkritik dan memaki Najib Razak?

Sehingga ke hari ini, dalam segala rencam kebodohan yang ditunjuki oleh barisan menteri pandir dan pengikut tegar yang mindanya tertawan, kita tertanya-tanya di manakah sudah tertinggal mimpi-mimpi Malaysia pada satu masa dahulu,

memelihara satu cara hidup demokratik; 
mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; 
menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;

Masa depan kita, kelam. Inilah hakikatnya. Memang kita optimis. Memang harapan itu tidak pernah terkubur, jauh sekali mati langsung – tetapi kita insaf bahawa, jika kecelakaan begini berterusan, maka mimpi-mimpi Malaysia itu akan terus tinggal mimpi-mimpi kosong.

Tiada cara lain, generasi muda hari ini wajib sedar, bangkit dari tidur lena dan bina naratif kita sendiri – politik, ekonomi, sosial, pendidikan. Anak-anak muda tidak boleh terus selesa berada dalam kepompong naratif politik orang tua bangka, yang menunggu masa untuk ke kubur.

Kita harus berdiri, pada naratif yang kita sendiri cipta, garap dan pertahankan. Kita tidak boleh terus begini – dian dungu menanti seumpama pandir.

Thursday, February 18, 2016

Sel Fuel dan Masa Depan Polisi Tenaga

Tidak kurang juga yang bertanya, saban kali saya memberitahu mereka bahawa pengajian Master di UKM adalah dalam bidang kajian tenaga sel fuel, tentang apakah sel fuel dan apakah tenaga yang disebut-sebutkan itu mempunyai masa depan di Malaysia?

Atau dengan kata lainnya, mereka skeptikal dengan bidang pengajian saya dan merasakan bahawa kajian sel fuel tiada pasaran, sekali gus menjadi kerugian yang amat menghabiskan bertahun-tahun masa untuk suatu yang tiada masa depan.

Saya tersenyum, biasanya, setiap kali mendengar reaksi jawapan sebegitu. Manusia, biasanya mereka akan menentang suatu hal yang mereka tidak ada pengetahuan mengenainya.

Awal Disember 2015, 195 buah negara telah bersetuju untuk mematerai perjanjian mengenai perubahan iklim semasa COP21 di Paris. Kini, dokumen Paris Agreement setebal 12 muka surat itu hanya menantikan masa sehingga tahun 2017 untuk ratifikasi oleh semua negara yang telah bersetuju pada sidang tersebut.

Apa signifikannya Paris Agreement terhadap apa yang kita mahu bicarakan perihal tenaga sel fuel?

Terdapat TIGA rangkap utama dalam perjanjian tersebut yang kita WAJIB ambil perhatian lanjut secara serius:

Recognizing that climate change represents an urgent and potentially irreversible threat to human societies and the planet and thus requires the widest possible cooperation by all countries, and their participation in an effective and appropriate international response, with a view to accelerating the reduction of global greenhouse gas emissions,
Also recognizing that deep reductions in global emissions will be required in order to achieve the ultimate objective of the Convention and emphasizing the need for urgency in addressing climate change, 
Emphasizing with serious concern the urgent need to address the significant gap between the aggregate effect of Parties’ mitigation pledges in terms of global annual emissions of greenhouse gases by 2020 and aggregate emission pathways consistent with holding the increase in the global average temperature to well below 2°C above pre-industrial levels and pursuing efforts to limit the temperature increase to 1.5 °C above pre-industrial levels,

Ketiga-tiga rangkap ini, kesannya terhadap Malaysia adalah, dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, kita akan menyaksikan suatu perubahan dari aspek dasar dan polisi-polisi perlaksanaan, penghasilan dan kepenggunaan sumber-sumber tenaga.

Kesan paling terdekat, adalah merudumnya industri bahan api fosil (fossil fuel) yang majoriti di Malaysia adalah gas asli dan petroleum.

Kesan dalam tempoh 10 tahun mendatang, dasar dan polisi tenaga nasional akan mengarah kepada tenaga hijau dan tenaga keterbaharuan.

Secara langsungnya, boleh dicadangkan hipotesis awal bahawa dalam tempoh 10 tahun mendatang, tenaga sel fuel akan menjadi lubuk kepada sumber tenaga baru yang memenuhi kedua-dua aspek tadi: hijau dan keterbaharuan.

Mengapa sel fuel sebagai lubuk tenaga?

Mengapa tidak tenaga solar dan tenaga angin?

Kesemua sumber tenaga yang disenaraikan di atas, ada potensinya tersendiri di Malaysia. Tetapi, sel fuel menjadi sedikit berbeza berbanding solar dan angin, adalah dari sudut sumber kuasanya yang tidak terhad.

Sumber utama kepada tenaga sel fuel adalah hidrogen. hidrogen adalah suatu sumber tenaga yang tiada had (the most abundant chemical substance in the Universe), pernah wujud di dunia ini. Namakan suatu elemen yang tidak mempunyai ion H+ di dalamnya?

Sudah tentulah ada, tetapi maksud saya, untuk dapatkan H+, tuhan menciptakan seantero elemen yang lainnya, masing-masing mengandungi Hydron (H). Dikatakan sehingga 75% elemen yang wujud dalam dunia ini, mengandungi H.

Sehingga ke hari ini, metana (CH4) masih menjadi sumber utama bagi memperolehi hidrogen, yang terhasil dari tindak balas pemisahan antara ion-ion tersebut. Bagaimanapun, teknologi penghasilan hidrogen makin bergerak menuju kepada sumber air dan solar.

Proses hidrolisis, contohnya, mereka menghasilkan hidrogen dari sumber air. Atau, dengan tenaga solar, mereka mengupayakan electrolyzer yang berfungsi menukar air kepada hidrogen.

Pendek katanya, sumber kepada penghasilan hidrogen adalah tidak terbatas, sebagaimana terbatasnya sumber petroleum untuk menghasilkan bahan api bagi kegunaan kenderaan.

Selain hidrogen, terdapat juga jenis-jenis lain sel fuel yang menggunakan sumber yang berlainan, bergantung kepada applikasinya. Dalam dunia automotif, dunia sedang bergerak kepada kenderaan yang dikuasakan oleh hidrogen.

Contoh paling terdekat yang sudah berada di pasaran adalah Toyota Mirai, sebuah kereta sedan sel fuel yang dikuasakan sepenuhnya menggunakan hidrogen sebagai sumber bahan bakar.

Selain itu, terdapat lain-lain pengeluar automotif seperti Mercedez, Hyundai dan Honda masing-masing juga telah menghasilkan model kenderaan sel fuel untuk pasaran. Trend ini akan berkembang pesat, dijangkakan graf peningkatan kenderaan sel fuel berkuasa hidrogen akan menunjukkan perkembangan ketara bermula 2017.

Dengan kenyataan ini, maka apa yang kami berbuat sekarang di dalam makmal Institut Sel Fuel UKM, adalah sesekali tidak memaksudkan hari ini, tetapi kami memaksudkan untuk hari esok.

------------

NOTA: Artikel apresiasi kepada pengasas Institut Sel Fuel, Prof Wan Ramli yang juga merupakan penyelia bersama untuk tesis Master saya di UKM – sebagai respons kepada kritikan membuta tuli terhadap Prof Wan oleh sesetengah pihak setelah pandangan beliau mengenai Dual-Language Program disiarkan media.

Wednesday, February 17, 2016

Menteri Kaki Bangku

Dulu, di zaman persekolahan, mereka yang berkaki bangku, biasanya akan diletakkan pada posisi pertahanan atau penjaga gawang gol setiap kali adanya permainan bola sepak untuk subjek Pendidikan Jasmani. Mengapa?

Semua maklum mengapa aturannya begitu. Kalau diletakkan si kaki bangku menjadi penyerang, alamak sudah tentulah akan tidak berhasil sebarang gol, bahkan bakal mengundang amarah rakan-rakan dalam pasukannya pula.

Kaki bangku sewaktu zaman persekolahan, kita cuma faham dalam konteks bola sepak. Pindahkan konsep tersebut, pada hal-hal yang lainnya, sebagai contoh, politik.

Pelik sekali, bila kita semua meningkat dewasa, kita mula menyedari bahawa acap kalinya mereka yang berkaki bangku diletakkan pada posisi penyerang, atau mereka yang berkaki bangku, meminta-minta untuk diletakkan pada posisi tersebut.

Orang begini, kita gelarkan mereka sebagai tidak sedar diri.

Contoh paling ketara, adalah dalam politik Malaysia. Majoriti pengundi Malaysia memilih orang-orang yang berkaki bangku dalam politik untuk memegang jawatan utama pentadbiran negara.

Mereka memilih perompak untuk menjadi Perdana Menteri.

Mereka memilih pelawak hambar untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mereka memilih badut-badut sarkas untuk memenuhi kabinet menteri.

Kalaupun mereka tidak dipilih pada awal-awalnya untuk diletakkan pada posisi itu, mereka akan menggunakan sebarang jua cara yang ada untuk nama mereka tersenarai selaku penyerang. Akibatnya, semua dapat mengagak pengakhiran yang bagaimana jikalau si kaki bangku menjadi penyerang!

Jadi, tidak hairanlah bilamana Salleh Keruak mengeluarkan kenyataan bahawa Wawasan 2020 hanyalah mimpi-mimpi kosong. Sebab paling utama, kerana kabinet jemaah menteri dipenuhi oleh makhluk berkaki bangku seperti dia.

Tidak pelik langsung jikalau Malaysia gagal menggapai apa yang diimpikan oleh Mahathir selama tiga dekad yang lalu. Kita telah memilih manusia (menteri) berkaki bangku – yang bodoh, yang sempit akal, yang haloba – duduk bersimpuh di kerusi-kerusi empuk Putrajaya.

Apa yang boleh kita hairankan lagi?

Terimalah hakikat bahawa jikalau berterusan begini, jangankan Wawasan 2020, malah tidak mustahil langsung Malaysia akan kembali menjadi tanah jajahan imperialis luar.

Kita boleh menjadi dungu dan terus menunggu kaku, menanti segala dampak ini berkilau di depan mata.

Atau, kita boleh memilih, untuk bangkit dan melawan.

Wednesday, February 10, 2016

Politik Yang Merimbun Harapan

Bingkisan ini ditulis, setelah genapnya setahun berlalu saya menulis sebuah bingkisan ringkas, pada pagi 10 Februari 2015, bilamana Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun akibat pendakwaan yang direka-reka oleh sekalian musuh politiknya.

Saya ingin mengimbau beberapa peristiwa atau jalur penceritaan yang menyampaikan maksud saya untuk menulis lagi pada hari ini.

Pada 12 Januari 2016, Presiden Obama menyampaikan ucapan State of the Union yang terakhir untuk tenor pemerintahannya. Dalam ucapan itu, beliau mengungkapkan frasa yang cukup mendalam maknanya, iaitu politics of hope.

Ujar beliau,

Each time, there have been those who told us to fear the future; who claimed we could slam the brakes on change, promising to restore past glory if we just got some group or idea that was threatening America under control. 
And each time, we overcame those fears. We did not, in the words of Lincoln, adhere to the “dogmas of the quiet past.” 
Instead we thought anew, and acted anew 
We made change work for us, always extending America’s promise outward, to the next frontier, to more and more people. 
And because we did – because we saw opportunity where others saw only peril – we emerged stronger and better than before.

Tidaklah pelik jikalau ucapan begitu keluar dari lidah Obama, kerana seantero dunia kenal apakah tema politik bawaan beliau. Pada hari ini, saat begini yang serba gundah, kita tersangat memerlukan pada pemahaman dan pengertian makna frasa tersebut terlebih-lebih lagi.

Maka, tidaklah hairan bilamana David Brooks, seorang kolumnis The New York Times, yang juga merupakan seorang penyokong kuat kepada Republikan, menulis sebuah artikel akan kerinduannya terhadap sosok Obama dalam musim pemilihan calon Presiden USA yang baru.

Kerinduan beliau, berasas pada banyak premis dan antaranya, tulis Brooks, a resilient sense of optimism yang ada pada Obama dan pada hari ini, semua calon yang sedang berebut tiket Presiden tidak punya sama sekali.

Benar, seperti apa yang ditulis Brooks, ketika semua orang merasa bahawa negara mereka di ambang kehancuran, adanya suara-suara optimis sebegini amatlah membantu untuk menyedarkan semula kita semua, bahawa dunia masih belum Kiamat dan kita punya asa untuk melakukan perubahan yang kita semua impikan.

Cuma sekarang, hanya tinggal kita sahaja sebagai faktor terakhir untuk merealisasikan cita-cita tersebut. Naratif yang diceritakan sebentar tadi, kita boleh impikan pada konteks Malaysia sama. Harapan adalah sebuah virtue, yang sifatnya adalah tenaga.

Sifat tenaga adalah tetap. Hukum fizik tentang tenaga mengatakan bahawa tenaga tidak dicipta atau boleh dimusnahkan. Tenaga hanya berubah bentuk, dari satu bentuk ke bentuk yang lain – dengan membawa esensi yang sama.

Begitu jua akan halnya harapan. Ianya tidak musnah, tidak terkalah dengan ketakutan, kebencian dan rasa mengalah, serta kesinisan yang direka-reka.

Tugas kita, adalah mengubah bentuk harapan itu menjadi sebuah ketumbukan perubahan yang bisa meroboh dan meranapkan segala rangka ketakutan dan bayang-bayang kerancuan yang dibina oleh aparat penguasa. Ini tugas kita – tugas semua generasi anak muda Malaysia.

Bersambung dengan kisah Anwar Ibrahim, sosok ini jikalau adapun manusia di bumi Malaysia yang membencinya dan membenci prinsip politiknya sesungguh hati, mereka sesekali tidak mampu menafikan bahawa sosok ini adalah begitu jauh bezanya dengan mana-mana politikus yang pernah lahir di tanah air ini.

Sosok ini, seperti dalam bingkisan setahun yang lalu, saya menulis bahawa Anwar Ibrahim dan perjuangan politiknya sudah menjadi seakan “turath” kepada sekalian ana muda Malaysia yang mengimpikan sebuah perubahan yang benar-benar bersifat dengan sifat perubahan.

Perubahan pada sistem nilai – integriti sistem dalam mempertahankan nilai-nilai hak asasi, kemanusiaan, keadilan, kesaksamaan, kebenaran dan segenap esensi demokratik.

Pada prinsipnya, ya, sesekali kita tidak beriman dengan mana-mana sosok politkus, termasuklah Anwar Ibrahim. Namun, berbicara dalam konteks ini, kata orang we give credit where credit's due. Siapa boleh ajukan tantangan pada maksud ini?

Justeru, politik yang memberi harapan, yang merimbunkan cita-cita dan impian, yang optimis pada masa depan yang gilang, yang tidak termakan dek mainan kebencian, hasad, perkelahian warna kulit, ketakutan dan segala anak-beranaknya – adalah politik yang kita wajar dukung.

Paling tidak, Anwar Ibrahim, dalam segenap hayatnya sehingga ke saat hari ini, beliau tidak betah dan tidak merasa lelah dalam membawakan obor harapan ini. Cumanya, tinggal pada kita sahaja, wahai anak-anak generasi muda Malaysia, untuk menyambut atau membungkam pada huluran obor harapan tersebut.

Tuesday, February 2, 2016

Kaukus Iowa dan Memori Dengan Abah

Ketika Obama memenangi Kaukus Iowa pada Januari 2008, ketika itu saya baru berusia 17 tahun. Kini, di tahun terakhir beliau menduduki Oval Office, saya sudah pun mencecah usia 25 tahun.

Maknanya, sudah tujuh tahun berlalu – suatu jarak tempoh masa yang saya namakan sebagai tahun-tahun pembentukan (formative years).

Hari ini, sekali lagi Iowa bergejolak dengan siri kaukus parti-parti politik USA yang menjadi medan penentu calon Presiden yang akan mewakili parti masing-masing. Mungkin keputusan di Iowa tidak mencerminkan keputusan akhir, tetapi iras-iras kepada keputusan akhir pemilihan, boleh kita jangkakan dari sini.

Dari dulu lagi, saya mengambil sikap tersendiri dalam hal pilihanraya USA. Biarpun ada ramai yang mencemuh, kata mereka, itu urusan mereka dan kita tiada sebarang perkaitan atasnya, saya memilih jalan untuk berbeza pandangan.

Seingat saya, seawal usia 11 tahun lagi, abah telah menanamkan sikap ingin tahu pada hal-hal bersifat antarabangsa begini, bermula dengan peristiwa 11 Sept dan seterusnya pencerobohan tentera USA di bumi Afghanistan dan Iraq.

Abah sering kali mengajak saya bercerita tentang Iran dan Afghanistan, sekembali dari pasar tani dengan selembar akhbar Harakah atau lain-lain majalah politik yang ada seperti Detik. Ketika itu Harakah antara akhbar politik yang prolifik dan kritikal. Ini cerita dulu, sekarang Harakah tidak lagi seperti dulu.

Antara lain yang kami bincangkan, adalah tentang Osama Laden, Taliban, Al-Qaeda dan negara Islam. Kerana ketika itu sentimen adalah anti-Bush dan lawannya adalah para mujahidin di Afghanistan. Kesannya, sehingga dalam karangan esei Darjah 6, saya mengulas tentang perang Iraq-Amerika.

Itu kisah zaman budak-budak. Nak diceritakan, bagaimana abah dulu membentuk minat saya pada hal-hal kepolitikan. Dan, pada saya, itulah bermulanya tahun-tahun pembentukan saya menjadi manusia sebagaimana sekarang, sehinggalah ke tahun-tahun pengajian di kampus UKM.

Orang menyebutnya sebagai formative years kerana jangka masa itulah yang telah membentuk peribadi kendiri, cara fikir, cara bersikap dan cara melihat sesuatu perkara. Pembentukan kendiri, adalah penting kerana itulah bawaan kita sehingga ke dewasa kelak. Saya tidak terkecuali dari proses itu.

Berbalik pada isu kaukus Iowa, saya yakin tidak ramai yang ambil bahagian untuk menerokai perdebatan-perdebatan di sekitarnya. Banyak, kalau kita mahu senaraikan satu-persatu. Ringkasnya, apa yang berlaku di USA, secara tidak langsung, akan memberi kesan kepada Malaysia.

Tidak kiralah dari sudut hubungan bilateral yang melibatkan dasar kerjasama politik, ketenteraan atau apa sahaja antara Putrajaya dan Washington, atau perjanjian perdagangan antarabangsa yang dimeterai antara dua negara ini – kesemua itu akan memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Jadi, mengambil sikap bahawa kita tidak terlibat atau tidak terkesan dengan apa yang sedang bergejolak di Iowa tidaklah benar sepenuhnya. Segala polisi dan dasar luar USA, yang akan dilaksanakan oleh mana-mana calon Presiden Amerika Syarikat ke-45, kita sewajarnya mengambil sikap proaktif.

Sebab itu, apa yang berlaku di Iowa, membawa saya kembali kepada memori dengan abah sewaktu kecil dulu. Kalau bukan kerana abah yang selalu menyuruh saya berkongsi pandangan tentang apa yang dibaca dalam Harakah dulu, saya tidak fikir akan punya minat dan sikap ingin tahu mengenai politik sebagaimana hari ini.

Orang akan bertanya, kenapa peduli?

Banyak alasan dan jawapan yang boleh disenaraikan. Antara lain, saya sudah tuliskan sebelum ini dalam sebuah artikel pada tahun lepas, tentang mengapa perlunya kita peduli politik.

Apa pun, tujuh tahun Obama tinggal di The White House, dan tujuh tahun masa saya berlalu sehingga mencecah usia 25 tahun, banyak perkara kita boleh imbas semula. Sehingga ke hari ini, Obama masih lagi menjadi figura politikus yang saya kagumi.

Betul, saya kagum banyak segi dari batang tubuhnya.

Kalau dulu kita skeptikal apabila mendengar beliau saban minit melaungkan ungkapan change dan forward, sehinggakan ungkapan itu menjadi mantera politiknya – kini saya ada beberapa alasan untuk mempercayai laungan dan cita-cita Obama itu.

Tujuh tahun di Oval Office, beliau banyak melakukan apa yang tidak mampu dilakukan oleh ramai bekas Presiden sebelumnya. Perubahan, itu kata kuncinya. Antara yang paling cerlang dan gemilang, pada saya adalah, keazaman Obama dalam membawakan isu perubahan iklim di peringkat global.

Dalam pada sekalian musuh politiknya membenci frasa tersebut, dan menyanggahnya dengan gelar mitos dan segala lagi gelaran, Obama kekal dengan janjinya. Dan, ya, beliau menunaikan apa yang dijanjikan.

Kita boleh menyenaraikan lagi lain-lain perubahan yang beliau lakukan, yang selebihnya lebih banyak bersifat domestik seumpama pengabsahan perkahwinan sejenis, peningkatan piawaian sekolah awam, polisi imigrasi yang memudahkan ramai imigran, revolusi tenaga boleh diperbaharui, dan lain-lain lagi.

Walaubagaimanapun, kita juga sedar bahawa bukan semua polisi Obama adalah efektif dan berjaya. Malah, di tahun-tahun akhir pentadbirannya, ramai mengkritik dasar luarnya seumpama kerjasama nuklear dengan Iran, ketidakstabilan politik Timur Tengah, TPPA, dan perang dingin USA-Russia-China.

Semua hal di atas, menjadi menarik jika kita ambil sikap peduli padanya. Saya yakin, kawan-kawan yang mengikuti isu politik antarabangsa, akan menjadi lebih matang dalam menanggapi isu politik domestik.

Saya sering mimpikan rakan-rakan saya turut menaruh minat yang sama, tetapi itulah, ianya bukan kerja sehari dua. Rome ne s’est pas faite en un jour – Empayar Romawi tidak terbina dalam masa sehari.

Menulis tentang Obama, tidak sah jika tidak memetik ungkapan dari ucapan beliau semasa ulang tahun ke-50 Perarakan Selma ke Montgomery. Ketika itu, era bangkitnya kesedaran mengenai hak sivik dan popular dengan ucapan “We shall overcome!” oleh bekas Presiden Johnson di Kongres.

We know the march is not yet over. We know the race is not yet won. We know that reaching that blessed destination where we are judged, all of us, by the content of our character requires admitting as much, facing up to the truth. “We are capable of bearing a great burden,” James Baldwin once wrote, “once we discover that the burden is reality and arrive where reality is.” 
There’s nothing America can’t handle if we actually look squarely at the problem. And this is work for all Americans, not just some. Not just whites. Not just blacks. If we want to honor the courage of those who marched that day, then all of us are called to possess their moral imagination. 
All of us will need to feel as they did the fierce urgency of now. All of us need to recognize as they did that change depends on our actions, on our attitudes, the things we teach our children. And if we make such an effort, no matter how hard it may sometimes seem, laws can be passed, and consciences can be stirred, and consensus can be built.

Mungkin, barangkalinya kita akan merindukan sosok seumpama Obama lagi dalam dunia politik – termasuklah politik kita di Malaysia.

Monday, February 1, 2016

Tentang Kreativiti dan Kerja Berpasukan

Membaca tulisan Prof Andre Walton dalam Harvard Business Review mengenai perkaitan antara kreativiti dan paradoks pada kepercayaan bahawa kreativiti hadir dengan kerja berpasukan, saya tidak mampu menahan dari mengangguk bersetuju dengan tulisan beliau.

Memang benar, banyak kali kita mendengar bahawa orang bercakap soal kerja berpasukan, soal perbincangan dan percambahan idea. Memang banyak janji yang kedengaran mulus dari kesimpulan-kesimpulan begitu. Namun, hakikatnya banyak kali realiti tidak menuruti cakap-cakap begitu.

Apa yang kerap berlaku, dalam organisasi, adalah pendengar pasif. Banyak kali yang kedapatan adalah pendengar dan pengangguk tanda bersetuju tanpa ada rasa ingin protes, dan kalaupun ada rasa tidak bersetuju, mereka lebih gemar memilih sikap berdiam tidak bersuara.

Kalau begini halnya yang terjadi dalam setiap pertemuan kolektif yang mengharapkan kerja berpasukan akan melahirkan kreativiti, maka harapan akan tinggal harapan. Jika yang datang 10 orang, dan kemudiannya majlis selesa dengan DUA kepala sahaja yang saling berbalas idea, maka yang lahir bukan kreativiti.

Apa yang lahir, adalah sekadar longgokan idea-idea mentah yang tidak masak, yang hampa makna, yang lompang sana sini kecacatan. Apa yang dimahukan dari perbincangan kolektif, atau aktiviti sumbang saran adalah kerjasama hujah dan idea.

Jika masing-masing kelu, dan masing-masing berharap satu sama lain untuk meneruskan perbincangan dan idea, tanpa ada kerjasama dari pelbagai bentuk minda yang wujud dalam perkumpulan tersebut, maka sia-sia sahaja apa yang disebut sebagai perancangan strategik.

Mahu tidak mahu, wajib pada setiap ahli yang menyertai aktiviti sumbang saran bersedia dari awal, tentang objektif dan hala tuju perbincangan. Bersedia dari awal ini, seumpama kerja rumah – perlu ada ulang kaji dan pembacaan yang boleh mengayakan lagi perbincangan.

Kita tidak berharap semua ahli yang terlibat dalam perbincangan menjadi kritikal.

Apa yang diharapkan, partisipasi. Kosa kata partisipasi tidak akan wujud, kalau setiap ahli tiada persiapan yang rapi dan tidak dilengkapi dengan tujuan yang jelas mengapa perbincangan atau aktiviti sumbang saran tersebut, pada pertama-tamanya, wajib dilaksanakan.

Itu syarat pertama dan utama, kepada lahirnya kreativiti dalam setiap sumbang saran. Ulang kaji, persediaan bahan dan pembacaan, adalah resipi kepada kreativiti – moga ini bermanfaat.