Friday, December 16, 2016

Mengapa Mahasiswa Lelah Partisipasinya Dalam Wacana Kritikal?

Ketika saya meminta seorang rakan menonton video wawancara Jack Dorsey bersama Edward Snowden yang disiar langsung menerusi akaun Twitter @PardonSnowden, soalan pertama yang terpacul dari mulutnya adalah; “Siapa dia ni?”

Pada mulanya, saya kekagetan.

Kaget, kerana dunia hampir meletup akibat pendedahan Snowden, rakan saya masih belum kenal siapa lelaki itu, apa yang telah beliau lakukan, malah, yang lebih terkesan pada saya, apabila dia kelihatan langsung tidak apologetik dengan keadaan dirinya yang tidak tahu menahu akan hal ini.

Saya beranggapan, pada ketika dunia Internet yang rancaknya tidak terkata pada hari ini, orang ramai (pengguna) tentunya akan memahami betapa kritikal keperluan pada wacana-wacana yang melingkari dunia Internet.

Dan, dari rasa keperluan itu, akan terlahir pada diri masing-masing, pada kemahuan untuk turut serta (kehendak partisipasi) dalam wacana-wacana tersebut.

Anggapan saya begitu. Ternyata saya silap, apabila merujuk kepada kes rakan saya itu, atas sebab saya kenal dia adalah antara rakan saya yang begitu kritis dalam wacana kepolitikan domestik.

Maka, saya membina deduksi bahawa; jika dia kritis pada wacana kepolitikan domestik atas sebab dia merasa dirinya adalah sebahagian daripada sistem tersebut, samalah jua apabila dia menjadi sebahagian daripada dunia Internet (pengguna), justeru seharusnya dia juga kritis terhadap sistem dunia Internet.

Seyogia, deduksi saya silap. Dia tidak kritis terhadap dunia Internet, natijahnya, dia tidak mengambil tahu wacana yang melingkari dunia Internet, apatah lagi untuk partisipasi dalam mana-mana wacana tersebut.

Logiknya mudah, jika kita tidak merasa kepentingan akan sesuatu perkara tersebut, maka secara automatiknya kita tidak merasa keperluan untuk mengambil tahu akan hal tersebut.

Konsep yang sama, saya fikir, boleh menjawab persoalan mengapa wacana kritikal yang melingkari hal kenegaraan, kepolitikan, perekonomian dan sosial negeri raya kita ini, tidak mendapat perhatian anak muda, khususnya mahasiswa.

Mereka merasa, tiada keperluan untuk melibatkan diri, partisipasi dalam wacana tersebut. Mengapa itu terjadi?

Mudah, kerana mereka tidak merasa bahawasanya diri dan jiwa mereka adalah sebahagian kepada sistem-sistem (unaware that they are part of the system) tersebut.

Antara persoalan yang sering menjadi buah tanya kami semua yang terlibat dalam gerakan mahasiswa di kampus, adalah mengapa rakan-rakan kami yang lainnya kelihatan tidak merasa keperluan untuk terlibat dalam isu-isu politik dan ekonomi, sedangkan keperluan partisipasi mahasiswa dalam wacana-wacana tersebut sifatnya adalah sangat kritikal terhadap masa depan negara kita sendiri.

Mungkin saya perlu berterima kasih kepada rakan saya yang tidak kenal lelaki bernama Snowden itu, kerana kekagetan saya terhadap soalannya akan siapa Snowden-lah yang menyebabkan saya mendapat jawapan kepada soalan di atas.

Bahawa, pertamanya, wacana politik dan ekonomi tidak bersambut dalam kalangan mahasiswa kerana mereka tidak sedar akan diri mereka adalah sebahagian daripada sistem tersebut.

Bahkan, lagi haru apabila mereka menyamataraf wacana kepolitikan dan perekonomian tersebut dalam lingkup politik partisan, lantas yang diterjemahi adalah sikap meluat terhadap segala yang bersangkutan dengannya, tanpa disedari fungsi pemikiran kritis langsung dipinggiri.

Saya mahu mengulang istilah malapetaka—bahawa terpinggirnya fungsi pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa adalah malapetaka terhadap masa depan negeri raya kita ini.

Terlanjur dari deduksi tersebut, saya boleh menyatakan dengan aman di sini bahawa, langkah pertama jika kita benar mahu mencipta arus wacana yang baru—wacana yang disifatkan tidak tumpul, menggugat, keluar dari kelongsong wacana anti-UMNO yang sudah kelihatan makin lusuh—adalah dengan mendesak kesedaran bahawa kita adalah sebahagian daripada sistem yang kita hidup pada hari ini.

Saya menggunakan istilah “mendesak kesedaran”, bukan lagi menimbulkan kesedaran. Pada hemat saya, kesedaran tidak akan timbul dengan sendirinya. Kesedaran perlu didesak, barulah ianya akan terpercik.

Sebagaimana, mengambil contoh popular, tindakan Mohamed Bouazizi yang berjaya mendesak kesedaran masyarakat di Libya terpercik pada wacana salah guna kuasa di negara tersebut.

Saya tidak memaksudkan desakan dari sisi melawan secara keras atau persenjataan semata-mata, tetapi langkau dari maksud yang sempit begitu. Premis saya, kesedaran masyarakat untuk melibatkan diri dalam mana-mana wacana, harus didesak.

Sudah pasti akan timbul berbagai soalan lagi, lanjut dari lontaran tersebut.

Paling tidak, kekagetan saya terhadap rakan yang tidak tahu menahu perihal Snowden, membuahkan jawapan terhadap persoalan yang begitu panjang diperdebatkan dalam kalangan aktivis gerakan mahasiswa.

Mungkin, ada baiknya saya sertakan di sini jawapan Snowden kepada soalan terakhir Jack Dorsey, yang menanya perihal bagaimana untuk memastikan generasi anak muda hari ini tidak menormalkan isu government surveillance.

The normalization anything whether it’s a surveillance, injustice, inequality, is going to be a challenge because ultimately as individuals we have a smaller voice than these huge institutions. What we need to do is we need to first-off explain what it is that we believe and share it, debate it, figure out what matters and why, within our families, within our communities around. You know, to recognize that it’s not just about surveillance. Lot of people think about 2013, about NSA spying on us—yes, it’s true they are, but that’s not the issue. Surveillance is a global problem and it’s only the smallest part of the issue. What we’re talking about is democracy. What we’re talking about is civil empowerment. What we’re talking about is the relationship between the governing and the government of the ordinary citizens. There has been an increasing imbalance of power, where that idea of private citizens and public officials has been inverted—where instead of them knowing very little about us and us knowing very much about them—now they have classification, now they have state secrets that can hide behind their power. We know almost nothing about what public officials are doing.