Wednesday, November 30, 2016

Rohingya di Tanah Air Pertiwi

Malapetaka seakan saling melengkapi lewat minggu ini. Masyarakat lambak, kumpulan manusia yang digelar oleh José Ortega y Gasset akibat sikap melulu dan kejahilan mereka, bahkan tidak mampu untuk mengenal kejahilan mereka, semakin membiak dalam kalangan masyarakat.

Dulunya, ramai antara mereka bercop UMNO pada dahi masing-masing, hari ini—cop tersebut beralih pada rata-rata ahli PAS yang semberono menyokong tindakan zalim kerajaan PAS negeri Kelantan terhadap orang-orang asal di Gua Musang.

Semberono, pertama kerana jahil. Gelar lainnya, ignorance. Sudahlah jahil, tambah jelek lagi seperti istilah orang Melayu, bodoh tak menurut, pintar tak mengajar.

Ignoramus begini, yang terlihat pada mereka hanyalah bendera berlambangkan bulan, tiada yang lainnya lagi. Segala yang bercanggah dengan hal tersebut, adalah salah, fitnah, kerja-kerja menjatuhkan kerajaan Islam.

Kepandiran mereka, menutup conscience pada bahawa di bumi pertiwi ini sudah terbentangnya Rohingya tersendiri. Akal mereka tidak pun sampai, lagi-lagi mahu berbicara pasal conscientious.

Mungkin ini juga pengajaran pada rakan-rakan yang berhajat pada memulakan projek pendidikan politik (atau kata lain, membina pergerakan mahasiswa akan datang), jangan sesekali menjustifikasikan “indoktrinasi” sebagai “proses pendidikan atau tarbiah”.

Indoktrinasi is indoctrination, dan hasil kepada proses indoktrinasi adalah membiaknya gerombolan conceited ignoramus.

Sedih menyaksikan rakan-rakan yang setia dengan PAS yang lahir dari rahim perkaderan kampus, terzahir terang benderang lagak ignorance mereka pada isu orang asal dan tanah adat.

Dan, ini sebenarnya malapetaka.

Malapetaka kepada Malaysia, kerana hari ini PAS akhirnya melahirkan gerombolan UMNO 2.0 pula.

Dengan kelompok kader-kader PAS yang sebegini—yang mereka semua antisipasi kita adalah pewaris beban kepimpinan parti tersebut pada masa mendatang, kita boleh harapkan apa dari mereka?

Bahawa, tiada lain iktibar dari kejadian malang yang telah menimpa PAS pada hari ini, melainkan peringatan bahawa sudah-sudahlah kita mengulangi kesilapan manhaj “pendidikan politik” dahulu kala.