Tuesday, October 25, 2016

Jenayah Akal dan Puing-Puing Yang Bertebaran

Kerap kali dalam pengisian tamrin (program tarbiah dan perkaderan) PAS, hujah yang berbunyi begini diguna dan diulang dari generasi ke satu generasi yang lainnya; “Selagi PAS berpegang dengan al-Quran dan Hadis, tiada alasan untuk meninggalkan perjuangan PAS.”

Atau, “Selagi PAS tidak melakukan hal yang melanggar syariat, atau mungkar, maka tiada sebab untuk berpaling tadah dari wadah politik PAS.”

Semalam, kami bertemu berbual — rangkum dalam pertemuan adalah teman-teman bekas pimpinan Islam Penyelamat Ummah (IPU), gelaran buat jemaah PAS dalam kampus — tentang UKM, perihal pilihanraya kampus yang baru berlalu dan bermacam lagi.

Timbul topik dalam cakap-cakap kami, tentang PAS.

Semua maklum, IPU dan rata-rata Jemaah Islam keseluruhan kampus di Malaysia, berada dalam penyeliaan Jabatan Perkaderan Mahasiswa (JPM), sebuah jabatan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat yang bertujuan mengkoordinasi penerusan kelahiran kader-kader PAS.

Justeru, dulunya kami semua adalah kelompok kader-kader PAS, yang cuma bezanya sekarang, kami sudah tidak lagi bersama dengan PAS.

Ada yang mengambil pendirian untuk menyertai parti politik yang berlainan, dan tidak kurang juga yang memilih untuk keluar langsung dari spektrum politik.

Antara kekuatan (dan juga punca kelemahan) kader-kader PAS adalah ikatan baiah yang termeterai, yang acap kalinya dimeterai tanpa adanya kefahaman yang syumul, yang rata-rata diikat pada sentimen dan doktrin.

Pada kelemahan yang begitu jua, tidak sedikit kader-kader PAS mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dengan jemaah tersebut seusai zaman kampus mereka.

Afif, salah seorang teman saya membawa sebuah premis logik, pada menjawab hujah mengapa perlu bersama dengan jemaah PAS selagi mana parti itu tidak curang dengan Quran dan Hadis.

Katanya, menghalang ahli berfikir juga, adalah suatu hal yang mungkar dan jenayah.

Tidakkah PAS mengambil kira akan hal menyekat ahli berfikir — membuka kebebasan wacana kepada ahli, kebebasan ahli mencabar status quo parti itu sendiri, adalah suatu bentuk jenayah akal yang sifatnya juga mungkar?

Akibatnya, kita menyaksikan gejala pandir (simpleton) telah menjadi wabak dalam kalangan kader-kader PAS.

Sayang sekali, sebuah sistem perkaderan yang lelah dibina beberapa dekad lalu, punah sepenuhnya (dalam pengertian intrinsik) akibat ketakutan yang disemai dalam doktrin PAS pada mencabar segi pemikiran yang berbeza dari manhaj jemaah itu sendiri.

Mungkin pada satu segi, kata orang, yang berlalu biarkan ia pergi. Namun, itulah manusia — tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.