Sunday, October 23, 2016

Dalam Sudah Keajukan, Dangkal Sudah Keseberangan

Belanjawan (ganti kepada istilah bajet yang dialih secara lolos dari asalan budget) 2017, seperti siri-siri sebelumnya, hanyalah kosmetik politik — yang realitinya, angka dan istilah-istilah makro perekonomian tersebut tidak bermakna apa-apa dalam kamus kehidupan seharian rakyat terbanyak.

Rakan saya mengumpamakan majlis pembacaan teks Belanjawan itu tidak ubah Ketua Perompak sedang membacakan perancangan rompakan mereka selama setahun, di hadapan gerombolan perompak yang sedang diketuainya.

Sudah semestinya, pihak yang paling malang, lantas menjadi mangsa adalah kita semua. Kita menyaksikan kecelakaan akibat gerombolan perompak menjarah harta kekayaan negara demi perut rodong mereka sendiri.

Bermula dari masa depan generasi anak-anak Malaysia yang dirompak rakus oleh peruntukan pendidikan dalam belanjawan dipotong saban tahun.

Bermula dari hal-hal terkait kesihatan dan kesejahteraan kumpulan masyarakat terbanyak termasuklah kualiti perubatan, perkhidmatan hospital yang mencukupi, bilangan doktor bertauliah yang menyusut saban tahun, diendahkan gerombolan perompak begitu sahaja.

Bermula dari persoalan kos sara hidup seharian, kemampuan memiliki rumah berharga mampu milik, peluang pekerjaan, kualiti alam sekitar dan pelbagai lagi, angka-angka belanjawan tersebut tidak mampu memberi jawapan kepada hal-hal yang realiti.

Sudah semestinya, kita lebih dari layak untuk mempersoalkan mengapa peruntukan bagi sebuah jabatan yang berpusat di Perdana Putra mencecah sehingga 15 bilion Ringgit, dan pada masa yang sama peruntukan penyelidikan dan pembangunan pendidikan tinggi dipotong sebegitu rupa kejamnya?

Semestinya juga, kita harus mempersoalkan, mengapa dari keseluruhan 260.8 bilion Ringgit peruntukan Belanjawan 2017, hanya 46 bilion Ringgit diperuntukkan bagi Perbelanjaan Pembangunan, dan Perbelanjaan Mengurus mencecah sehingga 214.8 bilion Ringgit?

Bermula pembentangan belanjawan pertama pasca Merdeka pada tahun 1959, ternyata Ketua Perompak zaman kita ini berjaya mencatat rekod belanjawan pertama yang menyediakan Perbelanjaan Pembangunan di bawah paras 20% dari jumlah keseluruhan belanjawan.

Rakyat yang berfikir, akan bertanya, apakah gerangan perompak sampai begitu rakus membolot perbendaharaan negara dari modus yang tampak jujur dan beretika.

Tidak. Tidak sesekali. Jauhar juga mengenal manikam, akan siapa yang berulit di kerusi Parlimen itu.

Cumanya, kita tidak mengenal manikam yang cantik berkilat tetapi siapa perompak yang sebenar. Dalam sudah keajukan, dangkal sudah keseberangan — jauh dari sana kita sudah dapat menghidu niat jahat gerombolan ini.

Cumanya, kita bimbang, rakyat mula terkeliru bilamana mereka yang berlilit serban di kepala, juga berulit di kelangkang Ketua Perompak. Mungkin inilah janji Tuhan, pada memberitahu bahawa dunia sudah menghampiri umur terakhirnya.