Monday, October 24, 2016

Caesar Non Supra Grammaticos

Bergetar suara YB Husni Hanadzlah siang tadi di Parlimen mempersoalkan sebab musabab keperluan diwujudkan 1MDB ketika sesi perbahasan Belanjawan 2017. Beliau mempersoalkan, mengapa Malaysia begitu kaku menangani kebejatan itu.

Seolah-olahnya Perdana Menteri langsung tiada lagi rasa malu, kata orang, setidaknya berpada-padalah dalam berbohong kerana kelak jatuhnya tidak terkira sakit. Seolah-olahnya, undang-undang hanyalah terkelepet di bawah telapak kakinya sahaja.

Sigismund, sang Maharaja Roman ditegur Biskop Placentinus apabila dia mempertahankan kesalahan tatabahasanya dalam satu pertemuan Council of Konstanz, merujuk kepada konteks maharaja juga tertakluk kepada undang-undang dan peraturan tatabahasa.

Di Malaysia, hari ini undang-undang dijadikan kain pengelap kotoran telapak kaki oleh sesetengah politikus yang berkuasa. Badan legislatif tidak perlu dibicarakan lagi, habis dibungkam menjadi kuda tunggangan — usah dibecakkan soal maruah lagi di sini.

Jika Sigismund mendengar kisah takjub Najib Razak mengeksploitasi setiap lapis sistem yang wujud dalam Malaysia hari ini, tentu sang maharaja itu akan terpegun kaku, tidak percaya. Saat dirinya dulu, mempertahankan kesalahan tatabahasa pun menjadi bualan sejarah generasi demi generasi selepasnya.

Tentu sekali, kita boleh bermudah dengan YB Husni, mengajukan semula kebisuan beliau sewaktu memegang jawatan Menteri Kewangan dulunya. Kita boleh mengambil sikap begitu terhadapnya, atau kita boleh memilih untuk bersikap yang berbeza.

Secara peribadi, kita dapat merasa akan tersepitnya beliau. Pertimbangan dalam kehidupan yang serba lemah ini, bukanlah semudah kata-kata yang dilafazkan, atau selaju perkataan-perkataan yang tercatat di sini. Tidak semudah itu.

Kita mendoakan, agar lebih ramai lagi mereka yang insaf akan kebejatan 1MDB, bangkit seberani Placentinus menegur Maharaja Sigismund.

Betapa kesakitan yang kita tanggung pada hari ini, tidaklah seberapa bilangannya berbanding kerosakan dan kesengsaraan masa depan generasi kita yang seterusnya. Kita berhutang dengan mereka, untuk berdiri menyatakan bahawa segala kebejatan hari ini, adalah mungkar dan wajib ditentang.