Tuesday, September 6, 2016

“You know, you’re not that special to us.”

Perhimpunan G20 di pekan Hangzhou, China mencetuskan perbalahan yang menarik dalam kalangan pemerhati politik antarabangsa. Paling cerlang, desas-desus berhamburan seputar ketibaan Obama tidak dilayan dengan hamparan permaidani merah.

Ramai berpandangan, itu adalah serangan lembut China terhadap Amerika Syarikat — menduga kedalaman airnya. Popularnya begitu dalam kalangan pemerhati. China menyampaikan pesan bahawa, Amerika Syarikat tidak lebih tidak kurang kepada mereka.

Tetapi, dalam hal kepolitikan antara kuasa besar dunia, terutamanya antara blok Amerika Syarikat, blok China dan blok Russia, menyimpulkan sesuatu secara selapis bukanlah hal yang bijaksana, bahkan boleh mengundang bahaya.

Reaksi Obama akan hal permaidani merah itu, katanya perkara tersebut sengaja diperbesarkan media dan tidaklah penting mana pun pada dia dan delegasinya.

Dia mengakui, delegasinya memang telah ‘menyusahkan’ pihak tuan rumah sendiri lantaran saiznya yang jauh lebih besar berbanding negara lainnya.

Jawapan Obama mengingatkan kita pada suatu perkara yang penting, yakni perspektif. Isu permaidani merah, yang membezakan reaksi pemerhati dan sympathiser kedua-dua negara tersebut, adalah perspektif mereka menilai insiden tersebut.

Mungkin setengah darinya berpendapat, China bermain kasar dan seharusnya, jika pun China mahu menunjuk ego terhadap Amerika Syarikat, menggunakan kaedah memalukan musuh adalah bukan tindakan yang bijak.

Setengah yang lainnya pula, berkongsi sentimen Amerika Syarikat bukan entiti yang istimewa, yang menuntut kepada layanan khas dari pimpinan China terhadap negara tersebut. Boleh jadi, pada mereka layanan tersebut mengajar hakikat tinggi rendah langit kepada Obama.

Begitulah spektrum kasar bagi perspektif yang boleh diunjurkan menerusi insiden tersebut. Bahkan, menggunakan perkataan ‘insiden’ bagi menyifatkan keadaan tersebut, sudah menunjukkan ke mana condongnya perspektif kita.

Jelasnya, kita pasti dalam hal-hal yang terkait dengan diplomasi antarabangsa, banyak lapisan yang perlu dipertimbangkan. Tentu saja Obama boleh bereaksi balas secara kasar tetapi apa untungnya pada kepentingan negara dia dalam jangka panjang di China.

Begitu juga sebaliknya. Contohnya, kita boleh belajar sesuatu dari keceluparan Rodrigo Duterte terhadap Obama, dalam kenyataannya mengulas teguran Amerika Syarikat terhadap kempen membasmi dadah di Filipina.

Keterlanjuran itu, bak kata pepatah, terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata buruk padahnya. Akibatnya, White House membatalkan pertemuan yang dirancang antara Obama dan Duterte dengan serta merta.

Duterte pula terpaksa menanggung malu, apabila mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas keterlanjuran lidahnya itu. Nasi sudah menjadi bubur?

Dari suatu segi, Duterte selaku ketua negara punya hak untuk menghalang intimidasi dan campur tangan Amerika Syarikat dalam hal domestik Filipina. Tetapi, mengguna pakai strategi yang tidak bijak begitu, juga membawa kesan yang buruk terhadap negara mereka sendiri.

Dan, perspektif negara seumpama Filipina (dan juga Malaysia), sentimen anti-intervensi kuasa besar dunia dalam hal-hal rumah tangga sendiri, juga tidak boleh dipandang enteng.

Tambahan, kita semua maklum keghairahan Amerika Syarikat mengguna pakai mantera hak asasi manusia, sebagai modal untuk masuk campur hal rumah tangga orang lain, juga suatu segi yang harus diperbincangkan secara kritis.

Apa yang boleh kita simpulkan, dalam hal-hal diplomasi antarabangsa dan hubungan politik menerusi jaringan ekonomi dan keselamatan terutamanya, segala segi dan penanda, memberi ruang kepada kita untuk membina perspektif yang berbeza dan membantu memahami sesuatu peristiwa dengan lebih baik.

Pemimpin yang gopoh dan tidak karismatik, adalah ramuan kepada bermulanya era berantakan yang tidak berkesudahan. Dalam hal begini, mengingatkan saya pada arwah John F. Kennedy.