Saturday, September 17, 2016

Sosok Haron Din

Lewat pertengahan 2004, abah pulang dari pasar tani dengan senaskhah Harakah. Muka hadapannya, figura Haron Din menghiasi keseluruhan halaman dengan judul utamanya berbunyi ‘PAS yakin dengan cita-cita Negara Islam’.

Keseluruhan berita, kurang lebih, menyampaikan peri cita-cita penubuhan Negara Islam, sebagaimana yang terkandung dalam Manifesto PAS. Haron Din dipetik berita tersebut, menyatakan optimisnya bahawa sistem syura akan menggantikan sistem tinggalan penjajah pada masa akan datang.

Entah mengapa, fikiran saya melayang pada memori naskhah Harakah tersebut saat menerima berita pemergian Haron Din petang semalam. Mungkin itu antara puing yang bertebaran, yang mencuit memori saya mengenang sosok itu pada ketika menerima berita sedih tersebut.

Dia cerita pasal apa?” abah bertanya, dalam lenggok kebiasaannya apabila dia melihat saya tenggelam dalam helaian demi helaian lidah rasmi PAS itu. Saya masih ingat abah bertanya soalan yang sama, ketika saya membaca berita di atas.

Mungkin juga, kerana perbualan itu yang menyebabkan hingga ke hari ini saya masih terkenang saat tersebut saban kali nama Haron Din terlintas di mana-mana sekalipun.

Sehinggalah seusai solat Jumaat semalam, khatib Masjid Pasir Mina menyampaikan berita sedih ini kepada semua jemaah yang datang.

Tidak sama sekali menjadi peminat tegar arwah, tetapi hampir keseluruhan hayat sehingga ke hari ini begitu rangkum dengan sosok bernama Haron Din, saya harus mengaku sedikit sebanyak pemergian beliau menghambur sedih yang tidak sedikit jua.

Kalaupun pendirian dan pandangan arwah Haron Din tidak banyak mempengaruhi perspektif politik saya, sosok itu tetap mempunyai kredit terutama dalam perjalanan saya memahami perjuangan PAS dan bersama gerakan tersebut dalam beberapa tempoh terdahulu.

Kalaupun banyak segi saya tidak bersetuju dengan arwah, baik ucapannya atau ijtihad politiknya, sama sekali sumbangan dan jasa besar arwah, dan keperibadiannya tidak wajar dibisukan, tidak ditulis dan dirai.

Moga Tuhan tempatkan roh arwah dalam kalangan mereka yang dikasihi-Nya.