Wednesday, September 7, 2016

Bagaimana Acuan, Begitulah Kuihnya

Sekali lagi masyarakat bercakap tentang kes buli yang menjadi riuh dalam Internet setelah tersebarnya video pelajar malang dibelasah rakan sebayanya. Sarapan pagi tadi, beberapa kelompok orang-orang dewasa bercerita tentang kisah malang itu.

Hangat, bermacam reaksi.

Tapi, sekadar begitulah masyarakat kita mampu. Tidak lebih dan tidak kurang. Apa yang saya perhatikan, nada perbualan seputar betapa teruknya generasi sekarang, tidak seperti zaman ketika mereka dulunya berusia begitu.

“Dulu, kita perdajal juga kawan-kawan di sekolah... tapi tak sampailah zalim sebegitu rupa,” ujar salah seorang manusia dewasa dalam perkumpulan staf universiti awam yang sedang bersarapan di sebuah restoran.

Mereka yang lain-lainnya, mengangguk-angguk setuju.

Kita bertanya, jika begini sikap dan kesedaran (conscience) yang boleh dituai dari perbualan tersebut, di mana pengakhirannya kepada kebejatan ini?

Nada rata-rata manusia dewasa dalam menanggapi kes jenayah buli, jenuh mengulang-sebut punca masalah anak-anak kecil yang tidak matang, kurang ajar, tiada kesedaran, jahat, bermasalah moral dan seangkatannya.

Tidak pernah sesekali, merasa bertanggungjawab, untuk mengalih rasa bersalah itu pada diri sendiri yang sudah tua bangka, yang sudah beranak bini, yang sudah punya keluarga masing-masing — bercakap dengan kesedaran selaku ibu dan bapa. Tidak pernah sama sekali.

Salahnya dalam isu buli ini, kita menoleh sepantas kilat kepada anak-anak yang terlibat dalam kes tersebut.

Kita bertanyakan, mengapa budak-budak tersebut tergamak berbuat zalim begitu, sedangkan kita lupa, bahawa acuan kepada sikap dan nurani budak-budak tersebut adalah ibu bapanya sendiri.

Tidak pula kita merasa keperluan untuk menoleh pada segi ibu dan bapa dalam soal ini?

Semestinya sesekali penulisan ini tidak berniat untuk serkap jarang pada ibu bapa terkait dengan jenayah buli dalam kalangan anak-anak mereka. Persoalan begini, harus diperhalusi dengan kanta mikro.

Hal yang terkait dengan soal sikap, karakter, disiplin dan conscience anak-anak, bermula dari didikan, atau kata lainnya, acuan yang dibina untuk membentuk kendiri tersebut dalam diri anak-anak. Tidak dapat tidak, kita terpaksa mengakui hakikat ini.

Terus menerus memandang anak-anak sebagai faktor terutama dalam perlakuan jenayah ini, hanya bertamukan kesilapan penilaian yang paling kritikal. Betah sekali untuk kita mempersalahkan diri sendiri selaku ibu bapa, atau berani bertanggungjawab atas kebejatan ini.

Mereka yang dewasa, akan bertanya; mengapa anak-anak zaman sekarang semakin ganas dan tidak berperikemanusiaan. Dulunya mereka tidak begitu, kalaupun mereka sewaktu kecil nakal juga.

Tidak sampainya rasa kemanusiaan dan kasih sayang dalam hati anak-anak ini, kerana acuan yang digunakan untuk membina mereka, cacat kemanusiaan dan kasih sayang, lemah sikap dan karakternya.

Walhasil, saban berulangnya jenayah buli kelak, pantas anak-anak akan menjadi mangsa sebagai pihak yang paling bersalah dan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas perlakuan itu.

Malang sekali, kita semua — manusia yang telah dewasa dan cukup akal, terlupa bahawa kitalah acuan kepada mereka.

Kita hanya mampu menggeleng kepala, mengeluh dan berborak sampai cerah tanah di kedai-kedai kopi. Kita kaku, tidak tahu untuk berbuat apa-apa.