Monday, August 8, 2016

“There has to be a point at which you say, 'Enough,'”

Dalam pertemuan antara Obama dan Lee Hsien Loong di White House, Obama telah menghamburkan kritikan terhadap Trump dalam tempoh LIMA minit yang cukup tajam dan keras.

Katanya, sudah tiba masanya untuk pemimpin utama Republikan menjarakkan diri mereka dari Trump.

Cukup-cukuplah, mudahnya begitu mesej Obama kepada kepala-kepala utama Republikan.

Saya terfikir, mesej yang sama juga harus disampaikan kepada Najib Razak dan gerombolannya. Cukup-cukuplah, sebelum amarah rakyat meledak tanpa terkawal kelak.

Ini bukan teori lagi. Kita dapat lihat dan belajar sendiri dari pengalaman bagaimana kemarahan rakyat Libya yang tidak diendahkan oleh Gaddafi pada akhirnya hanya membawa malapetaka yang lebih besar kepada Libya itu sendiri.

Juga di Syria dengan kepala keras Assad yang enggan sama sekali tunduk kepada desakan rakyat agar dia turun dari posisi nombor satu itu, dan digantikan dengan sosok yang lain, yang dipilih secara demokratik.

Sebenarnya, permintaan (atau gesaan) sebegitu rupa tidak pelik langsung. Apabila sudah tiba waktu di mana seseorang itu tidak lagi mendapat sokongan seumpama dulunya lagi, maka rakyat akan mendesak untuk perubahan berlaku.

Perkara yang menjadi pelik pada hemat saya, adalah keengganan mana-mana politikus memberi laluan kepada demokrasi menjalankan tanggungjawabnya menentukan siapa yang berhak pada posisi tersebut.

Pelik, dengan politikus yang mengandaikan bahawa jawatan tersebut berupa restu dari langit, yang harus dikekalkan pada nama mereka sehingga ke liang lahad.

Pelik, dengan politikus yang gagal melihat masa depan negaranya dan generasi akan datang yang bakal tergadai akibat keras kepala dan ketamakan mereka.

Kita pergi ke benua Afrika, mengambil contoh di sana bagaimana Robert Mugabe mempertahankan takhta Presidennya hampir EMPAT dekad lamanya — sehingga ke hari ini.

Persoalan yang timbul, sudah pupuskah manusia yang boleh menggantikan beliau di Zimbabwe sehinggakan “terpaksa” terus membiarkan dia berkuasa dan berlaku sewenang hati perutnya?

Sampai bila dia mahu terus berkuasa?

Demikian hal jua yang berlaku di sini, cukup-cukuplah wahai Najib Razak. Bukankah turun secara terhormat itu lebih wajar berbanding terus membiarkan negara ini terperosok ke lembah malapetaka yang jauh lebih besar?

Sekarang kita cuma berdepan dengan masalah ini — Najib Razak.

Saya membayangkan, saatnya Malaysia mula menjadi huru-hara (moga-moga tidaklah sampai ke fasa begitu), ketika itu kita akan terkeliru dengan masalah sebenar, atau punca masalah yang harus diselesaikan.

Kita akan berdepan dengan ribuan masalah lain, yang kita tiada maklum hujung pangkalnya.

Saya membayangkan tarikh 17 Februari 2011 di mana perang saudara di Libya mula tercetus. Ketika itu, selain Gaddafi (masalah utama mereka), sudah timbul sekalian ribuan lagi masalah lain yang menyesakkan dada keseluruhan rakyat Libya.

Akhirnya, mereka kelam. Pertembungan mereka tiada arah tujuan. Tiada pemimpin yang mampu menyatukan mereka. Natijahnya, Libya seperti apa yang kita tonton pada hari ini.

Mengulangi pesan Obama, ‘Enough,’ — cukup-cukuplah wahai Najib Razak. Berundurlah...