Thursday, August 18, 2016

Seni Lukis Yang Piatu

Seminggu yang lalu, Tuhan kurniakan peluang bersua muka dan menjamu akal dalam perbincangan bersama Faizal Hj. Zainal, salah seorang pelukis warna air (dan pelbagai medium lain lagi) yang hebat di tanah air kita.

Sesiapa yang mengikuti beliau menerusi halaman Facebook, tahu benar siapa gerangan Faizal Hj. Zainal — pelukis, cikgu seni yang memiliki studio di Bandar Baru Bangi, pembaca buku tegar dan gemar bercerita sejarah Bangi dan Kajang.

Sebenarnya, ia semacam rezeki, pergi ke sana menemani Azman Nor, yang juga merupakan seorang pelukis warna air yang sedang meningkat naik di Malaysia.

Dijadikan cerita, kami berbual soal susur galur seni lukis di Malaysia, khususnya warna air. Timbul persoalan dalam benak saya, perihal tergantungnya susur galur sejarah seni lukis di Malaysia, yang bersifat “muncul secara tiba-tiba” pada era lewat 20-an.

Rasa kaget begini, ada asas tersendiri.

Pertama, kita terbiasa mendengar kisah kegemilangan pemerintahan di Melaka, kalaupun ianya tidak mencapai tahap peradaban, namun begitu kegemilangan di Melaka tiada diterjemahi langsung dalam mana-mana catatan berbentuk seni lukis — sebagaimana di lain-lain tempat.

Contoh mudahnya, catatan berbentuk lukisan minyak yang memaparkan gaya hidup bangsawan era Renaissance. Tetapi, hal begini tidak wujud dalam susur galur sejarah seni lukis di Malaysia.

Kita seolah-olahnya terputus sanad.

Kata Abang Faizal, seni lukis di Malaysia tidak mempunyai pengalaman-pengalaman sebagaimana seni lukis di Eropah berkembang, di mana mereka melalui fasa demi fasa sehingga mencapai tahap yang kita lihat pada hari ini.

Pengalaman yang dimaksudkan, adalah pembabakan perkembangan seni.

Seumpama seni di Eropah melalui pengalaman Renaissance, berkembang sehingga ke babak surealisme, impresionisme, pasca-impresionisme dan selanjutnya bermula abad ke-15 sehingga awal abad ke-20.

Pengalaman-pengalaman begini, tidak berlaku di Malaysia.

Kita membaca sejarah warna air di Malaysia bermula lewat 20-an dari sosok bernama Yong Mun Seng. Ianya pada awal abad ke-20. Jadinya kita bertanya, mengapa muncul tiba-tiba begitu sahaja, tanpa ada sejarah dan leluhur yang boleh dijadikan premis kewujudannya?

Timbul persoalan pada benak kami semua, pada sehebat dan seagung Melaka yang tidak segan untuk dipanggil sebagai peradaban di bumi Nusantara waktu itu, tidak tertinggal walau sekeping warisan seni lukiskah?

Tidak wujudkah mana-mana lukisan dalam apa saja medium bagi menggambarkan suasana kehidupan bangsawan ketika itu, bagaimana masyarakat berjual-beli dan pelbagai lagi?

Apakah sultan-sultan dan pembesar terdahulu tidak mempunyai barang sedikit keinginan untuk mengabadikan potret mereka dalam bentuk seni lukis, sebagaimana di Eropah yang mana bangsawan mengupah para pelukis mengacah wajah mereka pada kanvas-kanvas potret?

Maksud saya di sini, persoalan-persoalan itu akhirnya pergi pada suatu sudut, yakni mustahil akan berlaku hal-hal di atas pada adab kebiasaan sebuah masyarakat semaju Melaka.

Sebab itulah, kita tertanya-tanya, lahirnya seni lukis di Malaysia, terutamanya seni warna air seolah-olahnya tiba-tiba muncul — tanpa guruh tanpa ribut. Bunyinya tidak masuk akal dan pelik.

Saya merasakan, suatu kajian yang lebih menyeluruh, mendalam, dan kita tahu akan memakan masa yang amat lama, harus segera dilaksanakan, dimulakan, bagi menggali semula misteri ini, agar persoalan-persoalan itu tidak tergantung tak bertali.

Contohnya, apakah wujud suatu usaha terancang di peringkat kolonial untuk menghapuskan sisa-sisa warisan seni Nusantara, termasuklah kita sedar betapa banyak manuskrip sastera Nusantara diangkut ke bumi Eropah zaman itu?

Pertanyaan-pertanyaan begini, tidak akan terjawab di sini melainkan projek kajian ini benar-benar dilancarkan dan mendapat sokongan padu dari pihak kerajaan sendiri.

Sudah pasti, pada hari ini, kalaupun kita boleh bertanya, hanya satu soalan yang absah; di mana titik asalan yang harus kita mulakan?

Jika tidak, kita akan terus menerus dalam kehilangan.