Thursday, July 21, 2016

Pengasingan Kuasa

Isu 1MDB kembali meledak dunia, apabila pejabat peguam negara Amerika tolong buat kerja-kerja yang diabaikan oleh peguam negara Malaysia.

Masakan tidak, dalam kenyataan medianya itu, AG Amerika siap senaraikan beberapa peruntukan dalam perundangan Malaysia yang boleh digunakan untuk mendakwa nama-nama yang disebut melakukan jenayah tersebut.

Bayangkanlah, sampai ke tahap sebegitu rupa, punya pemalas dan bergaji buta AG kita. Jadinya, kita bertanya, itu AG atau badut sarkas?

Kawan-kawan, yang meledak semalam bukan soal angka. Bukan soal besar mana wang rakyat yang telah dirompak, yang telah dibolot beberapa individu berkepentingan dan jahat. Itu bukanlah soal utama.

Dan, lagi utama, ianya bukan soal Najib Razak. Atau perihal Rosmah Mansur dengan perangai borosnya semata-mata.

Janganlah kita terperangkap dalam soal-soal yang bersifat simptom dan bukan akar masalah. Jangan. Tumpukan pada hal yang sebenar, pada akar kepada permasalahan dan kebobrokan ini.

Ianya tentang runtuh dan hancur berderai sebuah nilai yang kita junjung selama ini.

Biarpun jenayah itu sekecil RM20 atau sebesar RM20 juta, apabila kita faham akar permasalahannya, maka kita akan menyeringai bukan pada angka, tetapi pada keruntuhan segenap nilai sistem bernegara yang menjadi tunjang kepada negara tercinta ini.

Kita perlu mengulang semula pelajaran tentang faham pemisahan kuasa (separation of powers) dan kedaulatan undang-undang (rule of law). Kita perlu tangisi pedih terobeknya keluhuran perlembagaan yang kita junjung.

Kita perlu memesan perkara ini kepada semua.

Kita perlu memberi peringatan akan hal ini kepada anak-anak kecil, jika mereka ada bertanya mengapa hari ini seantero Malaysia bercakap tentang Najib Razak.

Cikgu-cikgu di kelas sepatutnya mengajak anak-anak murid menelaah semula helaian Rukun Negara dan mendalami nilai yang dimaksudkan oleh paksi-paksi itu, antara yang terpenting, akan kedaulatan undang-undang.

Jika kawan-kawan mahu menulis tentang 1MDB, tuliskan peringatan-peringatan ini. Supaya, apa yang terjadi semalam tidak cuma sekadar menjadi puing-puing sepi yang bertebaran, berterbangan tiada siapa peduli.

Saya ulang sekian kalinya, sesekali marah kita ini bukan berkisar Najib Razak atau bininya. Ianya jauh lebih dalam dari itu. Ianya tentang sistem, tentang suatu kebejatan yang sudah menjadi institusi. Kejahatan yang sudah kebal dan ampuh.

Ianya berakar umbi pada akibat runtuhnya integriti pemerintah, kerancuan nilai-nilai demokrasi, pengkhianatan amanah, keretakan sistem bernegara apabila pemisahan kuasa antara tiga entiti utama dicabul di siang bolong!

Biarkan ungkapan kita, tulisan dan coretan kita, perkongsian di sana sini menjadi peringatan dan pengajaran kepada semua bahawa sebenarnya inilah menjadi akar kepada segala kebejatan yang kita semua tonton dan keluh pada hari ini.

Bahawa, kita perlu ingatkan semula pada diri kita sendiri, pada Rukun Negara yang kita junjung percayai, dalam membina negara bernama Malaysia ini, ianya tidak cukup hanya dengan hal-hal yang bersifat teknikal, yakni perlembagaan dan perundangan.

Ianya, dambakan kita pada faham kesopanan dan kesusilaan. Kertas-kertas perlembagaan sahaja, tidak cukup untuk memimpin moral manusia.

Manusia harus menjadi manusia, barulah 1MDB tidak akan berulang lagi pada kemudian hari.