Friday, July 29, 2016

Khabar Dari Libya

Saya ada seorang kenalan dari Libya. Semi-Malaysia. Sebabnya, dia lahir di Malaysia sewaktu ayahnya melanjutkan pengajian di UIAM kira-kira 16 tahun yang lepas.

Beberapa hari yang lalu, saya menghubunginya menerusi Facebook bertanyakan khabar.

Berita darinya membuatkan saya terdiam. Terlalu lama berita dari bumi Libya hilang dari tumpuan portal media-media menyebabkan kita semua tidak ambil cakna, atau kurang peduli tentang perkembangan di sana.

Saya mengajak dia datang ke Malaysia.

Dia mahu, tetapi katanya, sekarang dia tak boleh berbuat begitu. Libya, atau lagi tepat, bandar yang didiaminya itu memerlukan tenaga dan batang tubuhnya sekarang.

Mengapa?

Mereka perlu mempertahankan bandar yang didiaminya dari serangan kumpulan yang diketuai oleh Khalifa Haftar dan ISIS.

Dia tinggal di Tripoli, dan bandar itu dikuasai oleh kumpulan General National Congress (GNC). Haftar pula, merupakan komander Libyan Army dan bersama dengan kumpulan Council of Deputies menguasai bahagian timur Libya termasuklah Benghazi.

Jadinya, rakan saya itu tidak boleh lagi keluar dari sempadan Libya dengan selamat dan dia juga (termasuklah ahli keluarganya) terpaksa mempertahankan bandarnya dari dirampas oleh tentera Libya pimpinan Haftar.

Begini latar belakang kisah Libya, ada baiknya saya merungkai sedikit untuk pembaca memahami konteks di sana.

Tanggal 15 Februari 2011, selepas beberapa hari Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir, demonstrasi pertama telah tercetus di Benghazi menuntut Muammar Gaddafi meletakkan jawatannya.

Demonstrasi tersebut telah menyebabkan tercetusnya protes bersenjata yang pertama pada pagi 17 Februari 2011.

Tarikh 17 Februari, menjadi tarikh keramat buat revolusioner Libya, yang mendambakan kebebasan dari kediktatoran Gaddafi, dan menamakan protes mereka sebagai Revolusi 17 Februari.

Sehinggalah menjelang 20 Oktober 2011, Gaddafi telah dibunuh oleh revolusioner Libya dan menandakan perang saudara di sana bakal berakhir. Cita-cita mereka adalah membina pemerintahan baru yang demokratik.

Proses itu tidaklah semudah yang mereka sangkakan.

Perang saudara selama enam bulan pada tahun 2011 yang meragut hampir 30,000 nyawa, tidak cukup untuk memberi pengajaran kepada kepala-kepala utama di Libya supaya bersatu dan menerima keputusan secara demokratik.

Seperti mana di Mesir, Abdel Fattah el-Sisi memulakan kudeta terhadap pemerintahan Mohamed Morsi, situasi yang hampir serupa juga berlaku di Libya.

Khalifa Haftar memimpin pasukan tentera Libya dan melakukan kudeta terhadap kerajaan pimpinan GNC yang mendapat mandat dalam pilihanraya pada awal 2014. Serangan tersebut, yang dinamakan sebagai Operation Dignity sekitar Mei telah berjaya menguasai Tripoli.

Tindak balas dari serangan tersebut, kumpulan pro-GNC melancarkan Operation Dawn dan pertempuran yang memakan masa hampir sebulan itu menyaksikan GNC kembali menguasai Tripoli.

Akibatnya, cita-cita Revolusi 17 Februari berkecai. Awal November 2014, Operation Dignity pimpinan Haftar telah mengisytiharkan perang secara rasmi terhadap GNC. Maka bermula dari detik itu, perang saudara kedua telah meletus di Libya dalam tempoh lima tahun.

Saya bertemu dengan rakan saya itu, pada pertengahan 2013 di Istanbul. Ketika itu, Libya baru sahaja bebas dari cengkaman Gaddafi dan masih mencari-cari rentak untuk menstabilkan negara mereka yang baru tamat perang saudara pada tahun 2011.

Sayang sekali. Menurut rakan saya, Haftar adalah pengkhianat kepada aspirasi Revolusi 17 Februari. Dalam usahanya menentang GNC, Haftar telah menerima bantuan serangan udara el-Sisi untuk menyerang kubu GNC di Tripoli.

Saya hampir menangis apabila berhubung dengan dia dan mendengar khabar itu. Tidak terbayang pada saat kita semua di Malaysia, bersenang lenang begini, mereka di bumi Libya bergolak dengan peperangan sama sendiri.

Rakan saya memberitahu, perang tersebut menjadi bukti bahawa orang-orang Arab mempunyai masalah yang sangat kritikal, iaitu masalah kepuakan, atau kabilah (tribalism).

Tentera tidak setia kepada rakyat, tetapi setia kepada ketua kabilahnya sendiri. Seperti mana di Arab Saudi, tentera adalah pelindung keluarga Saud, bukannya benteng untuk rakyat berlindung. Demikian jua pada lain-lain negara Arab.

Bayangkan, kami berbual ketika kudeta di Turki baru sahaja dikalahkan. Ketika itu, rakan saya begitu ecstatic mendengar khabar dari Istanbul bahawa Erdogan berjaya mematahkan percubaan rampasan kuasa itu.

Dia sudah melalui pengalaman yang sama. Saya sendiri tak dapat bayangkan, bagaimana perasaan tinggal di wilayah yang sedang bergolak dengan perang saudara begitu, setiap hari bunyi serangan bertali arus di merata-mata tempat.

Jadinya menurut rakan saya, mereka menentang Haftar kerana kudeta tersebut tidak lebih dari hanya melahirkan Gaddafi yang kedua. Mereka tidak lagi mahu berada di bawah cengkaman mana-mana diktator. Oleh sebab itulah, mereka bangkit melawan Operation Dignity.

Bagaimana pula dengan reaksi antarabangsa, saya bertanya.

Katanya, dia masih mengkaji dan membaca dari banyak sisi. Dia menyokong GNC atas aspirasi anti-diktator yang mula bibit pada gerakan Haftar. Dunia tidak terlalu terang menunjukkan mereka berpihak kepada siapa di Libya, kecuali Mesir yang terang-terangan menyokong Haftar.

Katanya lagi, media menguar-uarkan perihal ISIS di Libya yang makin menular. Sebenarnya perkara tersebut adalah suatu pembohongan. ISIS tidak mendapat tempat di Libya kecuali beberapa bandar kecil yang dikuasai oleh mereka.

Malah, ISIS telah dipergunakan oleh Haftar untuk menentang GNC sendiri. Sebenarnya, hal ini sudah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Libya. Mereka tahu bahawa ISIS digunakan untuk mencemarkan imej GNC, bahawa GNC adalah kumpulan ekstremis Islam.

Saya sebenarnya, hilang kata-kata terhadap rakan saya itu. Sayu. Ingin saja jika Tuhan berikan saya kemudahan rumah di sini, untuk tawarkan dia dan keluarganya datang ke Malaysia dan menetap di sini sementara perang saudara sedang berkecamuk.

Tetapi, itulah resmi negara yang berperang. Jika bukan rakyat mereka sendiri bangkit dan mempertahankan wilayah masing-masing, mahu diharap kepada siapa lagi?

Saya terfikir, antara sebab mengapa Rasulullah SAW mengingatkan kita perihal penyakit kepuakan (asabiyyah) atau tribalism adalah kerana perkara-perkara begini. Tuhan, mudarat penyakit ini bukannya sedikit.

Whoever fights under the banner of one who is blind, raging for the sake of tribalism, or calling to tribalism, or supporting tribalism, and is killed in this state will have died upon ignorance.” 
Sahih Muslim: 1848

Ibnu Khaldun dalam magnum opusnya Muqaddimah telah pun lama menulis mengenai penyakit asabiyyah dalam kalangan orang-orang Arab.

Hamza Yusuf dalam khutbahnya yang bertajuk The Crisis of ISIS: A Prophetic Prediction turut memetik hadis tersebut mengkritik fitnah ISIS. Tidak lama selepas itu, nama Hamza Yusuf tersenarai dalam hitlist ISIS untuk dibunuh.

Dalam buku From Beirut to Jerusalem oleh Thomas L. Friedman turut membangkitkan perkara yang sama.

Saya teringat, kami pernah membincangkan perkara ini dalam siri perbincangan Tidak Selain Buku setahun yang lepas, akan bejatnya penyakit asabiyyah.

Cumanya, berbalik dan terserah kepada diri kita sendiri, sama ada mahu belajar atau pun tidak dari coretan-coretan sejarah yang lalu.

Tiada apa yang boleh saya lakukan untuk Libya dan rakan saya itu, melainkan tiada putus mendoakan kesejahteraan mereka. Moga Tuhan terus bersama dan merahmati mereka semua...