Skip to main content

Coretan Perantauan Abah

Tiap kali pulang ke kampung, pasti abah akan bercerita pengalamannya pergi mengembara ke tempat orang.

Tambah-tambah raya kali ini, abang saya jauh merantau ke bumi Australia mencari rezeki di sana dan beraya di perantauan, sudah pastilah abah semakin bersemangat bercerita pada kami.

Juga adik perempuan saya turut mengikuti suaminya ke Melbourne, maka raya kali ini hanya tinggal saya dan adik bongsu berdua sahaja bersama emak dan abah di rumah.

Saya terfikir, mungkin ada baiknya jika saya menulis semula coretan pengembaraan abah, yang barangkalinya boleh menjadi rujukan anak cucu dia di kemudian hari. Siapa tahu, kan?

Abah mengembara keluar dari kampungnya sewaktu usianya baru mencecah 13 tahun — pertengahan tahun 1964. Alasan dia, kata abah, dia bencikan sikap ayahnya (arwah datuk saya) yang kuat berjudi. Maklumlah, orang-orang tua lama dulu, agaknya memang begitu.

Seawal jam 6 pagi, dia bertolak keluar menuju ke Kuantan dan bersama beberapa orang rakannya, mereka bertolak ke Jengka, Pahang untuk kerja-kerja pertanian di sana. Selama tujuh bulan di Jengka, abah dan rakan-rakan baru sedar bahawa mereka telah pun ditipu tauke mereka.

Selama tujuh bulan bekerja, satu sen gaji yang dijanjikan tidak dibayar. Mereka cuma ditanggung makan minum sahaja. Tauke itu menghilangkan diri, maka abah dan rakan-rakannya berpecah mengikut haluan masing-masing.

Ada yang pulang semula ke kampung halaman di Terengganu, tetapi abah enggan ikut sama. Jadi, abah menetap di Kuantan dan mula mencari kerja di sana.

Sebenarnya, yang menjadi asbab abah membuka kisah sedih ini, adalah kerana abah telah bertemu semula dengan salah seorang rakannya, Pak Ismail yang sama bekerja di Jengka. Mereka bertemu semula setelah takdir memisahkan mereka hampir 50 tahun.

Ketetapan Ilahi, siapa boleh baca?

Pada raya kedua yang lepas, abah mengajak saya ke rumah Pak Ismail. Panjang juga perbualan kami di rumahnya. Sekarang dia berusia 61 tahun dan abah pula sudah mencecah 65 tahun.

Kiranya — saya mencongak, pada tahun 1964 dulu, dia baru berusia kira-kira 9 tahun. Bayangkan, sewaktu usia sebegitu keanak-anakan, dia (mungkin kebanyakan kanak-kanak zaman itu juga) sudah pun bekerja mencari rezeki untuk menanggung keluarga!

Menyambung semula kisah abah di Kuantan, awal tahun 1965, abah mula mencari-cari pekerjaan di sekitar pekan Kuantan. Waktu itu, kata abah, Stadium Darul Makmur belum lagi dibina dan tapak stadium ketika itu, menjadi lokasi rumah tumpangan orang-orang yang datang ke pekan itu mencari rezeki.

Susah hidup di sana. Kata abah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Abah buat macam-macam kerja untuk terus hidup — cuci pinggan di restoran mamak, ikut tender potong rumput tepi jalan, dan bermacam lagi kerja.

Abah bercerita lagi, zaman itu tidak seperti zaman sekarang. Mengenangkan abang saya yang setiap hari berhubungan dengan emak dan abah di sini menerusi telefon, abah mengimbau semula betapa peritnya zaman sewaktu dia pergi merantau kerana komunikasi bukan hal yang mudah.

Bayangkan, kata abah, kalau pun ada cara berhubung, ianya menerusi surat menyurat. Tapi, zaman itu, posmen mana yang sanggup menghantar sepucuk surat jauh ke tengah Jengka yang masih hutan belantara ketika itu dan jalannya berselut kuning likat sehingga ke paras lutut?

Sehinggalah pada akhir tahun 1969, dengan duit yang terkumpul sedikit, abah siapkan pasport antarabangsa dan memulakan perjalanan pengembaraannya ke bumi Singapura. Di sana, abah memulakan episod kedua dalam catatan pengembaraannya.

Singapura benar-benar membuka pelbagai babak cerita baru dalam kamus hidup abah. Saya cuba mengingati kesemua butiran cerita abah, tetapi ternyata terlalu banyak untuk diceritakan disini.

Apa yang boleh saya simpulkan dari cerita abah di Singapura, jika kita berbuat baik pada orang lain, orang lain akan berbuat baik kepada kita.

Sepanjangan abah di sana, dia bertemu dengan keluarga angkat yang sangat baik, dipermudahkan mencari rezeki dengan bermacam kerja yang ditawarkan — maksud kerja di sini, bukanlah kerja kolar putih, tetapi kerja-kerja kolar biru.

Antara saat sedih abah di sana, apabila seorang rakannya meninggal dunia jatuh dari bangunan 40 tingkat yang sedang dalam proses pembinaan. Waktu itu, malam. Kepenatan menyebabkan rakannya itu terlelap ketika memenuhkan konkrit lantai aras 40 bangunan tersebut.

Cerita abah, dia dan rakannya diminta untuk ke Singapore General Hospital bagi proses pengecaman dan tuntutan jenazah bagi urusan pengebumian. Dari Singapura, jenazah itu dibawa pulang ke Terengganu.

Ramadan tahun 1978, abah menerima sepucuk surat dari kampung. Surat dari ayahnya (datuk). Dalam surat itu, ditulis bahawa ayah dia sedang sakit nazak. Harap tak harap, tulisnya dalam surat tersebut.

Mendengar perkhabaran itu, abah bergegas pulang ke Terengganu. Dijadikan cerita, ayahnya sihat wa afiat, segar bugar. Ceritanya dalam surat itu hanyalah pembohongan semata-mata, supaya abah pulang ke kampung.

Ceritanya, kata abah, ayah dia sudah berkali-kali memujuknya untuk pulang sepanjangan dia di perantauan. Tapi, abah tak mahu pulang selagi ayahnya tidak berjanji untuk berhenti dari perangai kaki judinya.

Dijadikan cerita lagi, pulangnya abah bukanlah sebuah kepulangan yang kosong. Rupa-rupanya, selain dari ayahnya rindu pada dia, ayahnya telah mengatur perancangan untuk mengahwinkan abah dengan seorang gadis sunti dari Kampung Sura Tengah, Dungun.

Gadis sunti itulah, bakal emak saya.

Awal bulan Syawal tahun 1978, abah dan emak telah diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri. Setelah berkahwin, mereka kembali ke Kampung Pengkalan Ranggon, Kerteh dan mengusahakan kerja-kerja ladang di sana.

Julai 1979, kakak sulung saya telah selamat lahir ke dunia — dinobatkan sebagai cucu sulung untuk keluarga belah emak. Dan, abah mengambil keputusan untuk tidak kembali lagi ke Singapura dan terus menetap di Terengganu.

Saya tidak pasti, di mana harus saya noktahkan catatan ini. Banyak kisah yang abah ceritakan sepanjangan dia merantau mencari rezeki di bumi asing, jauh dari keluarga semenjak awal tahun 60-an.

Barangkalinya, darah abah mengalir kuat dalam tubuh kami adik beradik, membuatkan beberapa orang adik-beradik saya pergi jauh merantau mencari rezeki, mengikut jejak langkah abah dulu sewaktu muda.

Mungkin, keinginan saya untuk pergi mengembara yang membuak-buak ini pun, berjangkit dari abah juga. Siapa tidak mahu pergi jauh, mengembara ke bumi asing, mencari pengalaman dan membina kehidupan dalam alfabet yang berbeza dengan kisah emak dan ayah kita dulunya?

Comments

Popular posts from this blog

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…

Tentang Si Genius Adi Putra

Ini coretan ringkas awal Mac 2015, beberapa hari lagi sebelum kita akan tiba pada hari yang menandakan setahun hilangnya MH370 tidak ketemu. Coretan ini tentang Adi Putra, si genius cilik yang dulunya begitu popular, semua media mahu mendapatkan cerita tentangnya.

Kini, di mana Adi Putra? Kita bertanyakan soalan begitu kerana kerisauan kita adalah kisah Adi Putra ini akan menjadi senasib generasi genius Malaysia lain-lainnya. Tentulah kita berharap ianya tidak berlaku demikian.

Hari ini mStar kembali dengan cerita tentang si Adi Putra ini. Saya antara peminat beliau. Saya kepingin mahu bertemu dan berbual dengan Adi Putra. Saya mahu berkawan dengan beliau – dan belajar dengannya. Tapi, Adi di mana?

Jika membuat carian di Google, yang berderet keluar di halaman utama adalah kisah tentang Adi Putra, si pelakon layar teater. Untuk apa ambil tahu tentang si pelakon itu. Bukanlah mendapat apa-apa manfaat pun pada perkembangan akal dan ilmu pengetahuan. Entahlah.

Cerita mStar membuka episo…