Friday, July 22, 2016

Bukti Masyarakat Pandir

Terdapat EMPAT hal yang menjadi bukti kaum pandir sedang membiak luas dalam negara kita. Pasca pengumuman siasatan 1MDB oleh peguam negara Amerika, bukti-bukti kaum pandir ini membiak luas semakin terang benderang.

Pertama, mufti dan agamawan pandir. Hari ini, akhbar sibuk menayangkan fatwa sang mufti tentang Pokémon Go. Dalam banyak-banyak hal yang boleh dan wajib diulas, Pokémon juga yang menjadi pilihan sang mufti?

Kedua, para menteri algojo termasuklah juga Malaysian Official 1, memberi amaran dan peringatan agar isu 1MDB tidak dipolitikkan. Tahap pandir mereka, sudah mencecah petala langit kesembilan.

Dari sekalian pelaku jenayah 1MDB, bermula dari Malaysian Official 1 sehinggalah ke barisan kaki ampu adalah politikus, mereka ingatkan kita supaya tidak politikkan isu ini?

Mimpi apa sebenarnya sekalian manusia-manusia pandir ini?

Ketiga, media pula sudah mencapai tahap pandir yang tak terkalah. Dari Buletin Utama TV3, sehinggalah ke Harian Metro, semuanya tiada telur untuk menyiarkan berita tentang pengumuman siasatan 1MDB oleh peguam negara Amerika.

Mereka lebih rela menjual maruah selaku badan media yang sepatutnya hidup atas tunjang integriti, daripada menyiarkan kepada khalayak kebenaran yang cuba disembunyikan oleh penyeleweng dan aparat penguasa.

Dalam tempoh dua hari ini juga, sedang kita bergelut untuk menyatakan bahawa rasuah itu salah dan 1MDB itu suatu jenayah, dunia sedang bergerak ke hadapan selaju-lajunya.

Semalam, Elon Musk mengumumkan pelan agung masa depan dunia yang rangkum dalamnya mengenai integrasi tenaga masa depan, kereta pandu kendiri, tentang autonomi tenaga, dan memandu sambil buat duit!

Hari ini pula, Aquila — pesawat tanpa pemandu yang dikuasakan solar, dibina oleh Facebook, telah berjaya dalam penerbangan sulungnya. Kelak, Aquila akan berfungsi sebagaimana Loon yang dibina Google, menjadi antena Internet di kawasan-kawasan yang masih belum ada capaian Internet.

Hari ini juga, Mark Zuckerberg mengumumkan pelan 10 tahun Facebook menjelang 2026, adalah memastikan setiap manusia yang bernafas di atas muka bumi ini akan menikmati capaian Internet, tidak kira di mana sahaja manusia itu berada.

Kawan-kawan, untuk menjadi bangsa yang tidak pandir, perkara paling asas adalah memerdekakan diri kita dari perangkap feudal, dari menakjubi pimpinan yang muflis moral, memejam mata pada ketidakadilan dan kebejatan.

Jika hal yang bersifat asas begini kita masih terkial-kial, maka akan terus beginilah kita semua — terpalit dengan kepandiran yang maha dahsyat, seolah-olahnya tidak mampu terubat lagi.

Kita akan terus terbuai dengan sentimen dan pemikiran-pemikiran yang sempit lagi jumud. Kita tak mampu untuk bersuara, menyatakan yang salah itu salah, dan yang benar itu benar. Kita terus menjadi masyarakat pandir.

Maka, sampailah kita pada bukti keempat kepandiran kita makin menjadi-jadi. Kita tak dapat bayangkan, sudah tercampak ke mana conscience mereka yang masih boleh berlapang dada dengan penyelewengan sebegitu dahsyat.

Dahsyatnya jenayah 1MDB, bukanlah soal angka wang yang telah dikebas itu, tetapi betapa hancur dan ranapnya segala sendi nilai bernegara yang menjunjung perlembagaan negara ini, yakni pencabulan ruang pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang.

Bayangkanlah, sebegini dahsyat jenayah 1MDB, sebegini koyak segala sisa maruah yang tinggal, masih ada sekumpulan manusia yang berkempen selamatkan Perdana Menteri. Kata mereka, bertabahlah wahai memanda Perdana Menteri.

Menangislah Syed Hussien Alatas dalam kuburnya, jika dia tahu semakin pandir masyarakat Malaysia selepas puluhan tahun dulunya lagi, dia sudah menegur akan hal ini...