Skip to main content

Merenung Malaysia Menerusi Kaca Mata Brexit

Hari ini, tanggal 23 Jun (waktu London) rakyat United Kingdom memilih untuk keluar dari Kesatuan Eropah. Sehingga ke saat ini — apa yang kita maklum, Perdana Menteri mereka telah pun meletakkan jawatan.

Nilai pound jatuh merudum.

Pasaran saham di London Stock Exchange bergeser gelisah.

Ada beberapa perkara, selaku rakyat Malaysia, boleh kita pelajari dari peristiwa ini. Sebelum itu, elok kita mempersiapkan julat perbincangan dalam tulisan ini, agar maksudnya tidak disalah erti oleh pembaca.

Apabila kita membincangkan soal Brexit dari telapak kasut rakyat UK, saya fikir, mustahil dan tiada faedah, melainkan anda seorang usahawan yang menjalankan perniagaan di sana, atau wujudnya apa-apa urusan berkepentingan di bumi UK — tidak kira dari sudut politik atau apa sahaja.

Begitu juga soal perlu atau tidak pungutan suara untuk kekal atau keluar dari Kesatuan Eropah, itu adalah hak demokrasi UK. Bahkan, ianya memang perlu pun, terutamanya untuk generasi kedua selepas generasi pertama UK yang mengundi semasa kemasukan dulu.

Seperti yang ditulis oleh Aleksandr Dugin, EU dibina atas tapak yang tidak demokratik — jadinya memulangkan semula hak rakyat untuk bersuara tiada bersalahan langsung dengan mana-mana praktis demokrasi.

Menerusi Brexit, saya kira kita mampu meneropong masa depan Malaysia dan mempelajari barang satu dua perkara yang berharga.

Kita dapat mengambil pengajaran bahawa demokrasi langsung, yakni melibatkan sekalian lapisan masyarakat dalam menimbang tara satu-satu keputusan, bukan jawapan kepada dan dalam semua keadaan.

Ramai yang bercakap bahawa Brexit adalah kejayaan untuk demokrasi. Paling menggiurkan, mereka berhujah, keputusan untuk ke arah mana UK dipandu, dipilih dan dipersetujui sendiri oleh rakyat terbanyak dan bukannya oleh sebilangan kecil manusia berkepentingan menerusi pintu belakang.

Tetapi, beberapa persoalan wajar kita majukan ke hadapan, supaya perbincangan mengenai kemenangan demokrasi ini tidak menjadi sehala dan kaku.

Demokrasi langsung, buruknya adalah pemangkin yang diguna pakai untuk meledakkan sentimen masyarakat lambak. Brexit, pemangkin utama kepada sentimen nasionalis British adalah ketakutan pada kelompok imigran.

Menguar-uarkan ketakutan (fear mongering), mencipta kegelisahan dan mengapi-apikan sentimen perkauman sempit, bukanlah suatu contoh yang baik kepada daya usaha demokrasi. Bagaimana dengan kemenangan Brexit yang berlandaskan pada praktis kotor begini?

Falasi dalam dunia demokrasi adalah masyarakat bandwagon. Kebanyakannya, tidak punya sebarang idea atau pendirian tersendiri mengenai satu-satu isu yang dibangkitkan, dan suara-suara mereka tidak lebih dari sekadar bersahutan dengan aliran masyarakat sekitarnya.

Dan, lagi mengharukan, suara-suara itu dibakar oleh sentimen sempit. Demokrasi, sebenarnya tidak wujud dalam persekitaran begini. Mereka yang berbangga dengan laungan demokrasi dalam persekitaran begini, sebenarnya terluput hati nurani (conscience) mereka.

Demokrasi, hanya benar dan telus, dalam persekitaran masyarakat yang bermaklumat, bertanggungjawab, punya hati nurani, mapan akal budinya.

Brexit bukan sebuah kemenangan kepada demokrasi. Brexit tidak lebih dari sebuah kemenangan kepada demagogue dan ignoramus.

Idea dan konsep yang sama juga turut terkait langsung terhadap masyarakat kita di bumi bertuah Malaysia. Kita hidup dalam rumpun demokrasi, justeru persoalan yang sama juga tertuang di sini — yakni perihal praktis demokrasi dalam persekitaran yang menjamin ketulenan dan kebenaran sifat-sifatnya.

Sejauh mana, persekitaran yang wujud pada saat ini, menjamin bahawa kita mampu menghasilkan sebuah praktis demokrasi yang benar, utuh dan telus?

Sejauh mana, kita memandang peri pentingnya pendidikan politik pada khalayak terbanyak sebagai jawapan kepada merimbunnya semangat patriotik, masyarakat yang berprinsip, yang kejap moral dan etikanya?

Sejauh mana, kita menyediakan ruang yang anjal untuk idea dan kritik berkembang maju secara matang, sihat dan adil, tanpa perlunya pada mangkin-mangkin seumpama sentimen perkauman dan agama yang sempit, bahkan menyempitkan?

Kita perlu pada sorotan-sorotan begini, agar ianya tidak terlambat pada kita semua untuk berubah dan berbuat sesuatu, mencari jawapan kepada kegelisahan-kegelisahan yang sedang melanda kita semua saban waktu ketika ini.

Comments

Popular posts from this blog

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terk…

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…