Skip to main content

Duka Seekor Harambe

Berita kematian tragik Harambe, seekor gorila yang lahir dalam kurungan zoo di Texas dan kemudiannya membesar di wilayah Ohio dalam kurungan Zoo Cincinnati, di tangan penjaga zoo sendiri, sangat memilukan.

Memilukan, kerana Harambe tidak sepatutnya berada di situ, pada pertama dan utamanya. Dia seekor gorila, yang habitat semula jadinya bukan dalam kurungan zoo dan menjadi bahan tontonan dan hiburan makhluk bernama manusia.

Jadinya, kematian Harambe amat memilukan bahkan sia-sia apabila dia tidak sempat merasai betapa luasnya dunia ini, betapa indahnya habitat semula jadinya yang jauh dari hiruk-pikuk jeritan manusia dan menjadi objek manusia mengaut laba.

Mendengar berita sedih ini, saya terkesan secara peribadi — darihal pengalaman yang dulunya mengajar saya akan kedukaan Harambe, bukanlah suatu yang boleh ditebus dengan wang ringgit.

Ianya, hanya boleh ditebus, dengan sebuah kebebasan dari kurungan zoo yang menyeksa itu.

Ini kisah saya dulu — pada satu hari abah terjerembun dengan seekor anak beruk (southern pig-tailed macaque) yang terkontang-kantin tanpa ibu. Anak beruk itu tersangat kecil, kemungkinan baru beberapa hari lahir dan ibunya mungkin sudah ditangkap atau mati ditembak pekebun.

Ini telahan sahaja, kemungkinan itu ada barangkalinya.

Jadinya, abah membawa pulang anak beruk itu ke rumah dan kami mengambil keputusan untuk membelanya. Lagipun di kampung, anak beruk sangat berharga kerana boleh dididik untuk menjadi pemetik buah kelapa.

Asal ceritanya begitulah. Maka, anak beruk itu diberikan nama Siti — ya, kami masih tidak lupa akan nama dia sementelah ianya adalah beruk betina.

Dari dalam kurungan sangkar yang sempit, Siti membesar saiznya setelah beberapa bulan dalam jagaan kami.

Kami mula memindahkannya ke rumah baharu, iaitu menambatkan Siti pada umbi pokok durian berdekatan dengan rumah. Di lehernya, kami pasungkan gelang penambat dan merantai Siti supaya ia tidak terlepas buas bebas.

Siang dan malamnya, hujan dan panasnya, di situlah Siti berdekam — merana kesepian, merintih kesejukan. Kami adik beradik mula merasa kesal. Rasa belas kasihan mula timbul. Benar, sebelum itu kami tidak pernah ada kesedaran dan rasa belas begitu pada Siti.

Kami binakan rumah kecil dari perca kayu untuknya berlindung di celah-celah dahan pohonan durian tersebut. Di siang hari, Siti akan bermain turun naik memanjat pohon durian itu dan cuba menjangkau jauh dari umbi pokok tersebut kira-kira tidak lebih dari satu meter diameter.

Itulah, luas dunia yang Siti kenal. Umbi durian yang asalnya semak samun, kini terang licin dek kena ligan saban hari oleh Siti. Ya, itu sahaja dunia permainannya — keliling umbi durian, panjat turun naik batang pokok. Itu sahaja.

Tak dinafikan, kami perasan akan sugulnya Siti. Wajahnya tidak pernah gembira. Kadang-kala dia menyeringai galak apabila melihat kami datang ke umbi durian itu membawakan makanan — pisang, cebisan kuih-muih, kekacang, kadang kala aiskrim.

Ya, Siti bosan terikat, mendekam, keseorangan, tidak bebas, terpenjara dirantai. Siti mungkin menangis pada malam-malam harinya kesejukan, tapi kami semua buta melihat sengsara Siti. Pada kami, apabila Siti membesar nanti, boleh mula dilatih menjadi pemetik buah kelapa.

Tidak silap, hampir dua tahun kami merantai Siti di umbi durian. Siti tidak membesar seperti yang kami harapkan. Siti kesugulan, berat badannya susut walaupun diberi makan secara konsisten.

Ketika itu baru kami sedar sesuatu yang penting, bahawa itu bukanlah dunia dia. Dunia Siti yang sebenar adalah di dalam hutan, liar dan bebas tanpa rantai besi di tengkuknya. Kami juga tersedar, selama ini kami telah berlaku zalim terhadapnya.

Dipendekkan cerita, kami mengambil keputusan untuk mengembalikan Siti ke habitat asalnya. Beberapa kali percubaan meninggalkan Siti gagal, ekoran Siti kembali mengejar motor abah saat ditinggalkan. Siti semacam dapat menghidu, yang kami mahu membuangnya.

Akhirnya, satu kali cubaan abah memperolokkan Siti berjaya dan kami meninggalkan dia di sana di tepian hutan. Kami tidak tahu sehingga ke hari ini, apakah nasib Siti — hidup atau mati.

Begitu pun Siti telah tiada, sehingga ke hari ini, ya hari saya menulis akan kisah ini, saya masih belum dapat melupakan gerimis sugul di wajahnya. Mungkin dia menangisi akan nasibnya terantai tidak bebas, kesakitan dan keseorangan. Mungkin dia marah pada kami semua, manusia yang buta mata hati.

Ketika saya tuliskan ini, saya menangisi rasa bersalah yang amat sangat pada Siti. Kalau-lah diizinkan Tuhan untuk menterbalikkan semula masa, sudah pasti saya akan membangkang habis-habisan idea untuk membela Siti ketika itu.

Sejak pengalaman sedih dengan Siti itulah, telah mengajar kami satu perkara — bahawa dunia ini bukan hanya manusia sahaja yang berhak untuk merasa bebas dan gembira, binatang juga punya hak yang sama.

Sebab itulah, berita Harambe amat menyentap ulu hati saya secara peribadi. Saya seakan dapat melihat bayangan Siti pada wajah Harambe, wajah kesugulan, keterpaksaan, keseksaan jiwa yang tidak boleh diungkap dengan abjad-abjad lidah manusia.

Saya sedar satu perkara, kita adalah makhluk Tuhan yang begitu sombong dan angkuh, yang sewenang-wenangnya merasakan kita entitled untuk bermaharajalela di atas muka bumi ini, merosakkan segala flora dan fauna.

Kita merasakan kita berhak untuk mengurung Harambe, mempertontonkan Harambe sebagai hiburan kepada khalayak pengunjung dan membilang laba dari penyeksaan itu.

Kita buta mata hati, kita mengulang kisah sedih Siti — mengurung jiwanya pada dunia yang dikhayalkan manusia.

Moga keangkuhan ini, akan lenyap terkubur kelak suatu hari nanti, dan moga dengan itu kesengsaraan Siti dan pemergian Harambe dan banyak lagi — jutaan binatang yang lainnya yang masih terkurung, dibelenggu, diperalatkan sebagai bahan hiburan, akan terbebas jua nanti.

Requiescat in pace, Harambe...

Comments

Popular posts from this blog

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terk…

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…