Sunday, June 5, 2016

Cerita Tentang Berpuasa

Sepanjangan solat terawih tadi di Masjid UKM, saya cuba ingat-ingat semula, memanggil memori lama semasa zaman budak-budak dulu saat tibanya bulan Ramadan. Nostalgia. Ternyata, tak banyak yang dapat diimbau semula.

Ingatan paling lama, tetapi saya sudah tidak ingat ketika itu umur berapa, adalah memori menunggu waktu berbuka puasa yang sangat menyeksa — tiap saat, saya masih ingat, akan memandang jam di dinding. Lambatnya jarum jam itu bergerak, masya ALLAH!

Itulah, masalahnya saya tidak pasti umur berapa ketika itu. Jika tidak silap, mungkin 9 tahun (dalam lingkungan Darjah 3) kerana itulah memori paling lama tentang berpuasa yang boleh saya imbau. Ketika itu, konteksnya adalah kami baru berpindah rumah.

Sebelum dari itu, saya tiada apa-apa bekas ingatan tentang berpuasa, atau cuba-cuba berpuasa, atau curi-curi minum air ketika orang lain tiada semasa berpuasa.

Antara lain, yang saya ingat adalah waktu berpuasa menjadi kegemaran kami adik-beradik atas antisipasi Hari Raya. Siapa tidak teruja bukan, dengan kemeriahan dan nostalgia Hari Raya, tambahan untuk kami yang masih di peringkat budak-budak ketika itu.

Akibat dari kegagalan untuk mengimbau semula memori-memori lama, menjadikan saya terfikir sesuatu — apakah begitu lemah kita selaku manusia sehinggakan pengalaman yang kita sendiri lalui, kita gagal untuk memanggilnya semula?

Antara yang agak jelas, kenangan berpuasa di asrama ketika bersekolah menengah dulu. Itu pun kerana, rata-rata mengenangkan makanan sewaktu sahur dan berbuka (atau bersungkai, meminjam Faisal Tehrani) yang sangat-sangat asalkan jadi makanan. Oh tuhan...

Ada seperkara lagi, antara waktu yang paling menggembirakan adalah ketika menunggu waktu berbuka. Ketika itu, kami di rumah kampung hanya mendengar pengumuman masuknya waktu berbuka menerusi corong radio Terengganu FM.

Masih terngiang di telinga kami semua, sehingga ke hari ini, muzik latar yang stesen radio mainkan menjelang beberapa minit lagi azan akan berkumandang. Sebelum itu, memang berselang-seli radio memainkan iklan-iklan produk sempena menyambut hari lebaran.

Meriah. Untuk kami adik-beradik, antisipasi untuk berbuka puasa akan memuncak apabila radio mula memainkan muzik latar tersebut. Ketika itu, semua sudah bersedia mengelilingi talam lauk-pauk dengan hidangan masing-masing menunggu untuk berbuka.

Kami pula jarang membeli juadah di bazar Ramadan. Emak lebih suka memasak. Ada beberapa kali, emak akan memasak menu kegemaran, antara lain laksam Terengganu, gulai ayam kampung (ini menu paling top) dan cendol.

Saya tak lupa juga, emak suka buat kuih-muih untuk juadah berbuka. Onde-onde (buah melaka) antara kegemaran emak, dan kami adik beradik akan menolongnya di dapur mencincang kasar-kasar manisan (gula melaka) dan menguli bulat-bulat adunan untuk kuih tersebut.

Oh ya, masih segar ingatan ini. Tuhan, tak sangka betul hidup 25 tahun yang berlalu, hanya beberapa kerat sahaja ingatan yang masih terpahat, yang masih boleh dipanggil semula, diimbau. Ternyata, banyak manisnya. Ternyata, nostalgia dulu menjadi jambatan yang ampuh untuk kami sedar betapa nikmatnya ada keluarga.

Pada saat menulis ini, saya terfikir pada saudara-mara yang tidak mempunyai keluarga sewaktu menyambut ketibaan Ramadan — anak-anak pelarian yang ibu bapanya terbunuh dalam kancah peperangan, anak-anak yatim, gelandangan di lorong-lorong jalanan Kuala Lumpur.

Meskipun saya berjauhan juga dari keluarga saat ini, paling tidak Tuhan masih lagi menganugerahkan pada kami adik-beradik ibu bapa di rumah yang sihat dan boleh bertanya khabar lagi.

Juga, saya mengenangkan abang saya yang ketika ini berada di Melbourne merantau mencari rezeki di sana, dia juga akan beraya di perantauan buat pertama kali. Meski pun begitu, dia masih punya ibu dan bapa di sini. Ya, kami masih lagi bertuah.

Saya tidak pasti, apakah memori-memori yang saya imbau sebentar tadi, akan makin berkurang atau bagaimana sifatnya, kalau Tuhan menguji saya dan adik-beradik sebagaimana Tuhan uji anak-anak yatim, anak-anak pelarian perang itu?

Tuhan, Engkau ampunilah kami atas kealpaan kami dengan nikmat-Mu ini yang tidak terhingga — nikmat dapat merasa dan melalui semua memori-memori tadi sewaktu kecil dulunya.

Tuhan, Engkau rahmatilah anak-anak yatim, anak-anak pelarian, anak-anak gelandangan yang tidak beribu bapa, yang tiada sanak saudara untuk berteduh kasih. Engkau tuhan yang Maha Pemilik, bantulah mereka, ringankanlah beban rindu mereka.

Engkau tuhan yang Maha Mendengar...