Tuesday, June 7, 2016

“Anda seorang menteri, bukannya Tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur.”

Donald Trump adalah badut contoh apabila kita bercakap tentang manusia yang berperangai cakap tak serupa bikin.

Sebelah pagi dalam kempennya, dia menyerang seorang jurnalis wanita dengan serangan bersifat sexist. Media dan masyarakat meletup kemarahan. Petangnya, Trump tanpa segan silu memadam kenyataannya di Twitter dan menafikan bulat-bulat di siang bolong, bahawa dia tidak berbuat begitu.

Ada satu ketika saat berkempen untuk kaukus Iowa, Trump dalam ucapannya secara terang menghina tahap keintelektualan pengundi di Iowa — katanya, pengundi Iowa ada masalah berfikir dengan betul.

Tidak lama selepas itu, Trump menafikan kenyataannya itu bulat-bulat, tanpa perasaan malu langsung, seolah-olahnya dia tidak pernah menyebut dalam ucapannya selepas dia mendapati dirinya berada di kedudukan ketiga di belakang Ben Carson.

Banyak lagi, contoh badut Trump dan lidahnya yang asyik flip-flop, sekejap kiri dan sekejap kanan. Paling memalukan, sebagai contoh, apabila Trump mengkritik Obama memuji atlet Muslim Amerika yang banyak menyumbang jasa.

Trump, seperti biasa, badut itu memang tidak mengenal rasa malu. Dia akhirnya memuji-muji Muhammad Ali — padahal dulunya, ini kata dia, “Obama said in his speech that Muslims are our sports heroes. What sport is he talking about, and who? Is Obama profiling?

Kita bercakap tentang Trump, sebenarnya di Malaysia kita ada contoh yang kurang lebih macam badut Trump itu sendiri. Pada dia, menghina dan mengkritik orang lain tiada masalah tetapi, jika orang lain mengkritiknya, tunggulah waran tangkap dari polis.

Dia dan keluarganya memang popular dengan pelbagai cerita kelakar — tentang cakap tak serupa bikin, gelabah tak tentu hala dan sentiasa merasakan merekalah di pihak mangsa, bukan pemangsa.

Contoh terdekat, apabila dia ungkit kisah bagaimana Mahathir berusaha meminda Perlembagaan Malaysia supaya menghapuskan kekebalan keluarga Istana dari disabitkan dan dihadapkan ke mahkamah jika melakukan jenayah.

Ungkit dia, tidak ubah seperti senjata makan tuan. Akhirnya, ramai bersyukur, bahawa itulah jalan terbaik untuk mengajar langit tinggi atau rendah pada manusia begini. Ya, mereka cumalah manusia, bukan Tuhan dari syurga pun.

Bercakap pasal Tuhan dari syurga, hari ini Mahkamah Seksyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap seorang remaja berusia 19 tahun atas kesalahan menghina Institusi DiRaja Johor.

Menghina keluarga Istana Johor? Menghina TMJ dan Sultan Johor?

Ah, ingatkan anda hanyalah manusia yang lahir dalam Istana, bukan Tuhan dari syurga, maka tidak menjadi kesalahanlah untuk rakyat menghina dan mengkritik kalian ya?

Rupa-rupanya ini hanyalah wayang semata-mata. Wayang bahawa keluarga Istana ini merakyat katanya. Seperti Trump, pagi katanya hitam, sebelah petang akan bulat-bulat menafikan hitam itu dan menukar kepada putih. Nampaknya, dia yang berada dalam Istana di selatan itu pun, berperangai semacam Trump.

Kalau di Amerika Syarikat, media membincangkan sama ada Trump adalah betul-betul gila atau memang syaitan yang bertopengkan manusia. Di Malaysia, saya tidak pasti, manusia yang bersikap sebegini, apa wacananya dalam kalangan rakyat terbanyak.