Monday, May 16, 2016

Terima Kasih Cikgu Fadzilah

Saban tahun, saya menulis pada Hari Guru berkenaan kisah guru-guru yang pernah saya menuntut ilmu dengan mereka sewaktu zaman persekolahan dulu.

Tahun-tahun yang lepas, saya mengenang memori bersama Cikgu Wan Mahmud, guru Fizik saya sewaktu di Tingkatan Empat dan Lima di SBPI Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Seorang guru tua, yang begitu berdedikasi — entah bagaimana saya mahu mengungkap jasa beliau pada diri saya dalam tulisan kecil ini. Moga rahmat Tuhan dan alam senantiasa bersamanya.

Untuk kali ini, saya mahu bercerita perihal seorang guru saya sewaktu bersekolah rendah.

Saya mengimbau semula memori dengan seorang guru wanita ini — insan yang mulia, yang banyak membantu saya sewaktu susah, sewaktu saya kesempitan, sewaktu yang lain-lainnya memandang rendah dan serba hina pada diri kita.

Ini kisah seorang guru yang mulia, yang telah mendidik saya menjadi seperti pada hari ini. Saya mahu bercerita tentang Cikgu Fadzilah, guru Bahasa Melayu saya semasa Darjah Enam di SK Kampung Chabang, Kerteh.

Dia seorang guru yang mulia, yang mempertahankan nama saya untuk mewakili sekolah, bagi menerima anugerah pelajar terbaik dari ExxonMobil. Saya masih ingat, bertemankan abah ke Auditorium Kompleks ExxonMobil di Rantau PETRONAS menerima hadiah berupa cek dan sijil.

Dia seorang guru yang berhati mulia, yang memberi ruang kepada saya untuk kreatif dan melangkau kawan-kawan dalam berkarya karangan Bahasa Melayu.

Saya masih tidak lupa, bagaimana karangan sewaktu Darjah Enam, saya mengulas tentang pencerobohan Amerika Syarikat di bumi Iraq dan tragedi 11 September. Cikgu Fadzilah tidak pernah melarang saya untuk mengulas itu tersebut dalam karangan saya dulu.

Saya juga tidak lupa, apabila beliau memberi laluan kepada saya untuk berkongsi dengan rakan-rakan sekelas berkenaan kisah-kisah yang tersebut dulu ketika kemuncak kempen Intifada di Palestin sekitar tahun 2000.

Antara lain, kisah tentang bagaimana para Yahudi ketakutan mencari perlindungan setelah sekalian makhluk di muka bumi ini memusuhi mereka, melainkan pohonan Gharqad. Guru ini tidak menghalang saya, bahkan memberi peluang sewaktu sesi kelasnya untuk saya bercerita pada kawan-kawan akan kisah-kisah ini semua.

Saya tidak lupa, insan ini juga, yang mempertahankan saya setelah banyak kali diherdik oleh beberapa orang guru yang lain, lantaran saya bukan seorang pelajar yang aktif sukan. Ketika itu, begitu laku khabar angin bahawa pelajar yang tidak aktif sukan, tidak akan diterima masuk ke universiti, kata mereka.

Insan yang berhati mulia ini, telah menurunkan tandatangan sokongan kepada semua sijil-sijil kokurikulum saya, menandakan saya dulunya pernah menyertai perkhemahan pengakap, mewakili sekolah ke pertandingan hafazan dan beberapa perkara lagi.

Insan ini tahu, dan faham, akan kesempitan hidup keluarga saya dulu yang tidak memungkinkan saya untuk menyertai segala “kemewahan” itu. Adakah saya terkilan dengan keadaan itu?

Tidak sama sekali, bahkan ianya mengajar saya untuk menjadi manusia yang berjiwa besar. Manusia yang tidak gentar dengan kehebatan orang lain dan manusia yang tidak menunduk pada cabaran dan ketidakpastian.

Saya belajar perkara ini, antara lain, adalah dari guru yang mulia ini.

Saya terpilih mewakili sekolah untuk kem intensif UPSR di peringkat daerah dan negeri, terpilih untuk menerima anugerah pelajar cemerlang ExxonMobil dan anugerah ketika program PIBG — sekalipun saya bukanlah pelajar yang aktif dan popular, adalah jasa guru yang mulia ini.

Insan ini memberi ruang kepada saya, untuk menjadi diri sendiri.

Saya masih ingat pesannya, “Tajuddin, cikgu berkeras pilih nama awak untuk ke Kem Intensif UPSR ini, walaupun ramai cikgu-cikgu lain tak bersetuju.”

Untuk ke Kem Intensif UPSR, kami akan bersaing dengan pelajar dari sekolah-sekolah elit, seumpama SK Rantau PETRONAS, SK Kerteh, SK Sultan Ismail dan banyak lagi. Bayangkan, kami datang dari sekolah kampung.

Tetapi, insan yang mulia ini, tidak betah memberi semangat kepada saya supaya percaya dengan diri sendiri dan berjiwa besar.

Cikgu, saya masih ingat semua pesan-pesan itu sehingga ke hari ini.

Dan, saya sedar tidak lama selepas itu, betapa sekalian banyak hal yang berlaku yang saya sebutkan di atas, sebenarnya tidak ramai cikgu-cikgu lain bersetuju dengan Cikgu Fadzilah.

Bayangkan, di SK Kampung Chabang, kami tidak punya lebih dari 100 pelajar dari Darjah Satu hingga Darjah Enam. Calon UPSR hanya 28 orang, pada tahun saya mendudukinya.

Saya antara pelajar yang berada dalam kelompok tiga terbaik sepanjangan siri peperiksaan, tetapi memandangkan saya bukanlah budak aktif sukan, kaki bangku, tidak pernah menyertai aktiviti kokurikulum — saya menjadi pelajar yang sangat tidak popular dalam kalangan guru-guru.

Tetapi, Cikgu Fadzilah tidak pernah putus asa dan menunjuk rasa kecewanya dengan saya. Terima kasih, cikgu. Terima kasih atas segalanya. Bila saya mengenang memori ini cikgu, baru saya faham maksud pepatah actions speak louder than words.

Moga alam dan Tuhan senantiasa merahmati hidup cikgu dan keluarga cikgu. Moga kita ketemu lagi, satu hari nanti.