Wednesday, May 18, 2016

Menyanggah Ketakutan dan Kebencian Terhadap Homoseksual

Pada banyak keadaan, ketakutan dan kebencian, lantas diskriminasi, terhadap komuniti homoseksual adalah bertitik asal dari kesempitan cara pandang terhadap kehidupan dan erti kemanusiaan, sehingga menutup segenap ruang toleransi yang wujud dalam masyarakat.

Cara pandang itu, kita boleh klasifikasikan kepada beberapa perkara, antaranya yang paling dominan dalam masyarakat Malaysia terutamanya adalah keterkaitan dengan persoalan homoseksual menyalahi perintah Tuhan dalam kitab-kitab suci — Quran, Injil dan sebagainya.

Dari kalam-kalam kitab yang bersifat sakral inilah, manusia melakukan derivasi pandangan sehingga wujudnya perspektif dalam kalangan khalayak bahawa perbuatan homoseksual adalah menyalahi fitrah semula jadi, menyanggah segala hukum tabii alam.

Pada akhirnya, segala perspektif itu akan membawa sekalian khalayak kepada beberapa kesimpulan mudah, bahawa pelaku homoseksual adalah pendosa, menjijikkan, menyalahi fitrah dan penyebab berlakunya bala kepada manusia yang lain-lainnya.

Tanggapan di atas, sudah dianggap normal dalam masyarakat kita pada hari ini. Tanggapan-tanggapan itulah juga, akhirnya membuahkan dalam masyarakat segala punca kebencian dan ketakutan terhadap homoseksual.

Akibatnya, tidak pernah sesekali positif. Kebencian dan ketakutan itu telah menghalalkan jenayah buli dan gangguan terhadap komuniti homoseksual tanpa ada sebarang bantahan dari khalayak.

Tindak balas mereka akan bersifat verbal yang menyakitkan dan penderaan fizikal dan psikologi yang menakutkan.

Terlalu banyak, kisah sedih jika kita mahu ungkit apabila bercakap soal perkara ini.

Kita tidak perlu menyanggah sejarah hitam tersebut, tetapi yang perlu disanggah adalah kebencian, ketakutan yang tidak berasas, kesempitan cara pandang, penyakit tiada toleransi dan kompromi dalam beberapa keadaan dan perkara apabila menyentuh isu homoseksual.

Saya bersetuju dengan Freud mengenai tindak balas khalayak terhadap homoseksual adalah tidak bertitik tolak pada cara pandang mereka yang konservatif dengan ayat-ayat dari kitab suci, tetapi adalah natijah dari keadaan separa sedar yang terhasil akibat pendaman (repression) acuan pandangan mereka selama ini.

Akhirnya, pendaman itu mewujudkan satu garisan pemisah yang bersifat meta, yang tidak matang dan jauh sekali boleh memangku rasional apabila bermuka dengan perbezaan dan percanggahan.

Garisan ini telah melahirkan ekosistem kita dan mereka (us versus them). Tiada akibat paling akhir — sebagaimana yang kita lalui dan tonton di hadapan mata hidung sendiri, keganasan demi keganasan, kebencian demi kebencian, ketakutan demi ketakutan yang di buat-buat, dipromosikan dan dihalalkan — atas nama agama.

Ancaman yang mereka perkatakan — bahawa homoseksual akan merosakkan masyarakat, pembawa HIV/AIDS, menjemput bala dari Tuhan, pemutus zuriat, dan segala kata nista lainnya lagi, adalah keberhasilan dari kempen kebencian dan ketakutan tadi.

Padahal, sebenar-benarnya, ianya adalah tindak balas yang sangat bersifat individualistik.

Pada umumnya, mereka kelihatan cuba menginstitusikan ketakutan dan kebencian ini, padahal hakikatnya segala nista itu tidak lebih dari ketidaksedaran mereka sendiri di peringkat individu, yang membuahkan tindakan di luar kawalan dan pertimbangan rasional dan kemanusiaan.

Mereka menyandarkan kebencian dan ketakutan itu pada batang tubuh agama — bahawasanya kebencian itu adalah berasas dan dituntut Tuhan.

Ironi ini bersifat sungguh manis. Bayangkan, agama yang menganjurkan pada kecintaan dan kasih-sayang, boleh disandarkan padanya keabsahan untuk menghalalkan kebencian dan ketaksuban.

Sebab itulah, saya percaya, kebencian dan ketakutan terhadap homoseksual tidak sesekali duduk bersama dengan perintah agama dan dakwaan mereka bahawa mereka berbuat demikian atas nama agama adalah sangat goblok.

Hakikatnya, mereka sendiri secara individu, yang bertanggungjawab pada emosi, intelektual dan rasional mereka yang menyampaikan mereka terhadap kesimpulan dan pandangan hidup yang mudah dan tidak bertanggungjawab begitu.

Untuk menyanggah ketakutan dan kebencian terhadap homoseksual, apa yang tinggal adalah kita terus tabah mendidik masyarakat dengan kaca mata kemanusiaan.

Moga suatu hari nanti, diskriminasi, kebencian dan ketakutan ini akan terlenyap jua, sebagaimana lenyapnya dedaunan kering saat luruhnya ia ke atas tanah — melebur dan hancur berkecai.