Skip to main content

Mengapa Kita Begitu Sukar Untuk Menerima Gay?

Membaca semula fiksyen tulisan J.H. Trumble berjudul Don’t Let Me Go, memanggil saya untuk menulis komentar barang sepatah dua. Ianya perihal penerimaan masyarakat, pandangan khalayak, tanggungjawab sosial dan silang kepercayaan dalam isu LGBT.

Saya membaca fiksyen ini, jika tidak silap, mungkin dua tahun yang lepas. Seminggu yang lalu, saya menyelak semula fiksyen ini, kerana ada beberapa persoalan yang mahu saya cari dan cuba berikan jawapan kepada diri sendiri.

Saya memilih tajuk berbentuk pertanyaan dalam konotasi penerimaan (acceptance) dan kemanusiaan (humanity). Saya bertanyakan begini, kerana tema penerimaan dan kemanusiaan, menjadi premis kepada banyak pandangan-pandangan saya selepas ini.

Kenapa hanya merujuk kepada "gay"? Kenapa tidak LGBT?

Umumnya di Malaysia, LGBT diasosiasikan dengan gay secara tidak langsung. Kecaman dan kritikan terhadap LGBT banyak kalinya dilihat menjurus kepada golongan gay secara langsung.

Mungkin kerana kefahaman khalayak di Malaysia melihat hubungan sesama jantina antara lelaki lebih taboo berbanding bentuk-bentuk seksualiti yang lain. Ini telahan peribadi saya semata-mata.

Dalam menanggapi persoalan penerimaan dan kemanusiaan seputar isu LGBT saya menyelak semula Don’t Let Me Go. Ada beberapa perkara yang menarik, boleh kita pelajari dari fiksyen ini.

Ianya berlatarkan kisah percintaan antara Nate Schaper dan Adam Jeffries. Naratif penceritaannya, banyak kali membawa pembaca ke kisah hidup Nate yang lampau — pengalaman dulunya yang membentuk karakternya dalam fiksyen tersebut.

Bermula dengan tema ketaksuban atau sikap tiada toleransi (bigotry) yang ditunjukkan oleh bapa Nate, membelasahnya dan memalukannya di hadapan pasukan bolanya — semata-mata Nate membuat pengakuan “I’m gay,”, membawa pembaca kepada konflik buli dan penderaan secara mental dan fizikal.

Kemudian, fiksyen itu datang dengan tema penerimaan oleh emak Adam — menerima anaknya adalah gay, bahkan menerima Nate secara terbuka sebagai pasangan kepada anaknya. Emaknya bahkan, turut mengaku bahawa dia sudah mengesyaki anaknya seorang gay semenjak Adam berumur 12 tahun lagi.

Kita boleh melihat tema keterbukaan dan toleransi emak Adam, adalah karakter yang benar tertonjol sepanjang penceritaan J.H. Trumble. Bukan dia sahaja, emak Nate juga menunjuk karakter yang sama.

Apabila Nate mengimbau pengalamannya dimalukan di hadapan sekalian manusia yang datang ke hari perbicaraannya dalam kes penderaannya — dihujani soalan dalam kandang saksi perihal hubungan intimnya dengan Adam, pembaca boleh melihat bagaimana emak Nate mengambil sisi melawan suaminya dan membela Nate.

Penerimaan masyarakat terhadap komuniti gay dan LGBT keseluruhannya, adalah perlambangan kepada kemanusiaan.

Sudah semestinya sesekali kita tidak berharap bahawa sekalian manusia akan bersetuju atas pandangan ini, tetapi cukuplah dengan kita tidak menjadikan ketidaksetujuan itu sebagai premis kepada kebencian dan tiadanya toleransi yang melampau.

Kita maklum pada spektrum masyarakat yang pelbagai. Kita memaklumi hal ini sebagai strata yang normal dalam sesebuah masyarakat yang membangun. Tentulah ada mereka yang progresif dalam pandangan mereka, dan semestinya juga, ada yang konservatif.

Menghormati garis pemisah ini pun, adalah salah satu pra-syarat kepada bermulanya penerimaan terhadap perbezaan yang wujud — termasuklah dalam kasus perbincangan ini soal perbezaan seksualiti antara satu sama lain dalam sebuah masyarakat yang sama.

J.H. Trumble juga membangunkan karakter Danial Qasimi, seorang Muslim yang straight, tetapi pandangannya terhadap komuniti LGBT adalah sangat berbeza berbanding ayahnya.

Mungkin kerana dia belajar dari pengalaman pahit abangnya sendiri, yang juga seorang gay. Abangnya meninggal dunia dibelasah oleh ekstremis anti-gay.

Sebelum itu, hidup abangnya terumbang-ambing akibat dibuang keluarga (ayahnya) setelah membuat pengakuan bahawa dia seorang gay.

Danial, ketika ketiadaan Adam di sisi Nate, dia menjadi tulang belakang dan pencetus motivasi kepada Nate untuk memulakan kempen melawan prejudis terhadap LGBT di sekolahnya sendiri, menerusi kempen pemakaian t-shirt mingguan dan artikel di laman web peribadinya.

Kebencian masyarakat terhadap komuniti LGBT terpapar jelas sepanjang penceritaan J.H. Trumble.

Paling menakutkan, adalah situasi di mana pihak sekolah tidak menunjukkan keberanian untuk menyokong Nate walaupun mereka maklum bagaimana Nate telah didera dan dibuli sehingga dimasukkan ke dalam wad semata-mata dia seorang gay.

Atau, si pengetua lebih mudah meminta Nate memperlahankan kempennya dan tidak menghiraukan pada keperluan pihak sekolah memainkan peranan untuk menghapuskan prejudis tersebut.

Ini mengingatkan saya pada artikel mengenai kes buli di SDAR yang saya tuliskan dua tahun lepas, iaitu kegagalan pihak sekolah untuk mengisytiharkan perbuatan buli adalah salah atau membisu dalam kes buli, adalah sama seumpama menggalakkan jenayah tersebut berlaku dalam diam.

You did nothing to change things, you created an environment where this kind of hate and arrogance isn’t just tolerated, but it’s silently encouraged. What did you think would happen?

Danial seorang Muslim, yang terdidik dengan pengalaman abangnya sendiri dibuang keluarga dan dibunuh hanya kerana dia seorang gay — mematangkan dia untuk menerima Nate secara rasional sebagai seorang rakan tanpa sebarang perasaan prejudis.

Dari keseluruhan naratif tersebut, saya melihat satu perkara — penerimaan masyarakat terhadap komuniti LGBT hanya boleh bermula dengan satu kata: kemanusiaan.

Kemanusiaanlah, yang memungkinkan kita melihat manusia sebagai manusia, tidak lebih rendah dari yang lainnya semata-mata perbezaan pada kehendak seksualiti mereka. Kemanusiaan juga, yang membawa kita pada kerendahan jiwa untuk menerima perbezaan dan menghapuskan kebencian dan sentimen sempit.

Adakah dengan meminta masyarakat menerima komuniti LGBT (di Malaysia) dikira sebagai you asking too much?

Saya berpandangan, situasi dan iklim begini akan berubah satu hari nanti. Cumanya, lambat atau cepat itu bergantung pada usaha dan suara masyarakat dalam isu LGBT. Kemanusiaan tercetus, apabila wujudnya kesedaran. Dan kesedaran itu hanya akan terlahir dengan pendidikan.

Ya, harapan itu tetap ada. Sinarnya di hujung lorong sana.

Membincangkan perihal ketaksuban pada cara pandang konservatif, tiada toleransi dan kebencian terhadap LGBT, tidak akan selesai dengan mempertemukan hujah yang bersifat buku dan ruas.

Buku dan ruas, natijah akhirnya adalah masing-masing menjadi abu.

Seperti awalnya tadi saya menulis bahawa masing-masing ada pandangan dan pegangan peribadi. Apa yang menjadi pemisah kepada semua ini, adalah sejauh mana masing-masing boleh bertoleransi, berkompromi dan menerima perbezaan dari kaca mata kemanusiaan.

Comments

Popular posts from this blog

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terk…