Sunday, May 15, 2016

Gesaan Menyegerakan Penyatuan PAS dan UMNO

Saya merenung dalam-dalam, rasanya sudah tiba masa yang cukup kritikal bagi seluruh umat Melayu Islam di Malaysia bersatu — melawan agenda tersembunyi DAP terutamanya.

Untuk bersatu melawan agenda DAP tersebut, hanya satu cadangan yang masuk akal, iaitu penyatuan dua blok terbesar parti Melayu Islam; PAS dan UMNO.

Makin dibiarkan lama idea ini terawangan — gantung tak bertali begitu sahaja, tanpa kesungguhan tindakan dan gerak kerja, saya fikir perkara itu amat menzalimi nasib umat Melayu Islam keseluruhannya.

PAS dan UMNO wajib menunjukkan kesungguhan untuk mencapai penyatuan yang segera. Jangan dibiarkan keadaan begini berterusan, jangan dibiarkan umat Melayu Islam terus tertanya-tanya tanpa sebarang jawapan.

Kalian punya tanggungjawab yang besar, yang perlu digalas amanahnya sesungguh hati demi menyelamatkan umat Melayu Islam dari terus dipermainkan, diperkotak-katikkan, dibelenggu dengan agenda dan helah tipu daya DAP.

Terdapat TIGA faktor penting, saya majukan untuk kalangan pimpinan PAS dan UMNO bagi memperjelaskan niat kenapa perlunya kepada gesaan menyegerakan penyatuan ini:

PERTAMA, semua maklum PAS dan UMNO adalah dua parti politik paling dominan ahlinya dalam kalangan Melayu Islam. Berita baiknya, masa depan politik Malaysia bergantung pada undi Melayu Islam.

Perangkaan populasi dan demografi Melayu Islam dalam tempoh 10 tahun mendatang, sehingga 2025, akan meningkat sehingga 64% berbanding Cina yang mengalami kemerosotan sehingga ke paras 20.3% sahaja.

Jika kita melihat unjuran ke tahun 2040, kadar peningkatan populasi dan demografi Melayu Islam semakin bertambah sehingga 67.5% berbanding Cina berterusan merosot dijangka mencecah 18.4% sahaja dari jumlah keseluruhan populasi di Malaysia.

Realitinya, adalah begini. Angka tidak pernah menipu. Jika PAS dan UMNO perlukan satu hujah yang cukup ampuh untuk mengabsahkan penyatuan mega ini, saya tidak boleh fikir hujah-hujah yang lain lagi, selain unjuran perangkaan populasi dan demografi negara kita pada masa akan datang.

KEDUA, agenda penghapusan hak keistimewaan Bumiputra, memadam fungsi dan melenyapkan peranan Majlis Raja-Raja Melayu dan menghapuskan peruntukan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia dalam perlembagaan adalah terang lagi bersuluh sedang rancak dijalankan oleh pihak-pihak tertentu.

Hanya dengan penyatuan PAS dan UMNO sahajalah, mampu menghalang segala agenda jahat ini dari menapak dan berakar umbi.

Penyatuan ini akan menjadi x-factor kepada berkobarnya semula semangat kesedaran bahawa Malaysia adalah milik Melayu Islam, berselari dengan apa yang diseru oleh yang dikasihi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Janganlah, sampai pada satu ketika, sudah jatuh terjelepok, barulah kalian terhegeh-hegeh ketika itu merayu pada suara-suara penyatuan.

Inilah masanya, sebelum terlewat. Berbuatlah sesuatu. Ancaman di luar sana itu adalah benar — mereka hanya menunggu saat sahaja untuk menelan umat Melayu Islam yang sedang alpa ini.

Berbuatlah sesuatu. Segerakan penyatuan ini!

KETIGA, umat Melayu Islam di Malaysia amat dahagakan kepimpinan Melayu Islam yang kuat, bersatu dan jelas peranan dan lantang suaranya. Hanya dengan penyatuan PAS dan UMNO, kemungkinan-kemungkinan di atas akan dapat direalisasikan.

Sebagai seorang pengundi Melayu Islam, saya sendiri amat gelisah tidak senang duduk dengan fenomena hari ini — populariti DAP meningkat berkali ganda dalam kalangan anak-anak muda Melayu Islam, seolah-olahnya mereka memberi isyarat bahawa mereka tiada pemimpin dalam kalangan umat Melayu Islam sendiri.

Mengapa ini terjadi?

Jujurlah dengan diri sendiri. Saya tidak boleh berbohong lagi dengan kegusaran ini.

Anak-anak muda Melayu Islam sudah bosan dengan gelagat pemimpin Melayu Islam bercakaran sesama sendiri. Mereka mahu lihat wajah-wajah pemimpin ini berpelukan mesra, merapatkan ukhuwah dan mematerai janji untuk mempertahankan tanah air bertuah ini dari segala ancaman orang luar.

Anda yang membaca surat gesaan ini dengan niat yang tulus mahu melihat Islam dan Melayu terus berdaulat di tanah air ini, pasti akan dapat menangkap maksud saya tujukan pada siapa orang luar itu.

Anak-anak muda Melayu Islam menggesa pimpinan PAS dan UMNO segera mencari jalan pertemuan untuk penyatuan yang akan menyejahterakan bangsa dan agama kita. Jangan sesekali dibiarkan perbezaan politik yang kecil itu, menutup segala ruang penyatuan yang bakal disyukuri oleh anak cucu kita nanti.

Kalian, wahai pimpinan PAS dan UMNO, maklum akan amanah dan tanggungjawab ini.

Segerakanlah, dan saksikanlah di hadapan mata hidung kalian nanti, bahawa berbondong-bondonglah anak-anak muda Melayu Islam akan menyokong penyatuan ini dan bersama-sama bekerja untuk menggapai matlamat akhir kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam di tanah air tercinta ini.

Jadi, apa tunggu lagi? Berbuatlah segera!