Monday, May 2, 2016

Cercaan Tidak Sesekali Bersekutu Dengan Kebenaran

Dalam banyak penulisan saya di sini, saya mengguna pakai metode kritikan secara langsung dan keras pada subjek sasaran saya — boleh kata dalam setiap artikel berkaitan politik, begitulah gayanya.

Namun begitu, kritikan boleh dibahagi dalam banyak jenis.

Betulkan saya, jika saya tersilap. Memang dari awal penulisan dalam blog ini, saya banyak mengkritik secara cercaan. Saya mengaku, bahkan banyak kali juga saya memutar kembali tentang hal tersebut dalam tulisan-tulisan sebelum ini.

Cercaan lebih kepada sosok-sosok politikus yang korup, yang muflis moral, yang ingkar pada amanah rakyat, yang kurang ajar pada undang-undang dan Perlembagaan.

Apakah dengan segala sifat gampang begini, maka boleh menjadi justifikasi pada saya untuk mencerca sosok-sosok politikus ini?

Sesetengah keadaan, saya fikir, ya, ianya boleh memberi kesan. Kurang ajar pada politikus korup, ya, teramat perlu. Mungkin istilah yang lagi rangkum maknanya, adalah biadap. Pada politikus begini, biadap terhadap perangai dan salah laku mereka, secara peribadi, saya menganggap hal tersebut perlu.

Saya menulis perkara ini dulunya, dalam sebuah artikel mengenai perangai orang kita yang masih tertakluk dengan jiwa feudal. Untuk mengatasi jiwa feudal, bangsa Malaysia perlu menjadi bangsa kurang ajar — biar kita jarah segala salah laku dan tingkah buruh pemimpin korup.

Perihal cercaan, dulunya saya gemar mengambil kaedah ini dalam penulisan. Mencerca mudah, tetapi, akhirnya saya sedar, kaedah penyampaian dalam bentuk cercaan sebenarnya tidak efektif dan, ada kemungkinan, mesej yang cuba disampaikan, terkabur dek cercaan itu sendiri.

Akibatnya, mesej — yang pada hemat kita, dalamnya itu terkandung kebenaran — tidak sampai pada maksudnya. Akhirnya juga, segalanya menjadi sia-sia.

Itu dulu. Secara beransur-ansur, saya menukar kaedah penulisan. Saya masih mengkritik — itu esensi, tetapi dengan nada yang lebih berbeza dan selektif. Saya fikir, dengan bersikap selektif pada penggunaan istilah, struktur ayat dan nada penyampaian, ianya lebih memudahkan penyampaian mesej pada maksudnya.

Saya pegang kemas-kemas antara rangkap dalam pesan Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajaknya yang berjudul “Kurang Ajar”,

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar

Kerana, ianya benar. Kenapa kita mengkritik?

Kita tidak mengkritik kerana kita benci pada satu-satu sosok secara peribadi, tetapi kita benci pada salah lakunya, pada pengkhianatannya, pada segala jenayah yang berlindung di sebalik jubah kelembai.

Jadinya, keras dan kurang ajar pada perbuatan khianat dan ingkar mereka, adalah justifikasi kenapa kita mengkritik secara kurang ajar.

Tetapi, dalam pada begitu, kita beringat juga bahawa, tidaklah semua keadaan dan ketika, memerlukan pada kritikan yang bersifat keras sebegini. Bersesuaianlah, pada kadar dan keadaan yang sepatutnya.

Kritikan itu, sewajibnya tidak membawa kepada peringkat mencerca peribadi, maruah dan harga diri subjek yang dimaksudkan. Kita mengkritik Rosmah Mansor atas keborosan dia berbelanja (dengan segala skandal yang berlingkaran), tetapi tidaklah itu menghalalkan cercaan pada batang tubuhnya.

Berpada-padalah. Beringatlah, bahawasanya, sesekali kebenaran tidak bersekutu dengan cercaan yang melampau. Mengkritik tentu saja boleh, tetapi tidaklah ia membolehkan kita mencerca dengan sesuka hari.

Kritiklah, sepuas hati, jika tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, atau sebarang pendirian, atau segala bentuk salah laku — secara berprinsip dan adil.

Jangan sesekali, menjadikan pentas kritikan untuk menghalalkan cercaan bersifat peribadi dan merobekkan maruah dan harga diri seseorang. Islam tidak pernah mengajar kita menjadi penganut yang bersifat dengan sikap begitu.