Sunday, May 22, 2016

Masyarakat Yang Sedang Sakit

Dari kes lawak Amran Fans, ramai mula meratap akan sakitnya kita — sakitnya masyarakat kita sekarang. Realitinya, kita harus mengakui bahawa kita sedang sakit, yang amat.

Bahawa, jenayah rogol dan penganiayaan itu memang sudah terang — ianya salah, wajib dikecam tanpa syarat, tetapi untuk mengulang cerita jenayah tersebut sebagai bentuk lawak dan cemerkap mempersendakannya sebagai bahan ketawa, masyarakat kita sudah masuk ke darjah kritikal.

Setahun lalu, Internet heboh dengan video prank Sam Pepper yang menjadikan wayang penculikan dan pembunuhan sebagai latarnya. Netizen mengutuk pemilihan tema video tersebut. Mereka yang terlibat akhirnya memohon maaf secara terbuka, dan memadam kandungan video tersebut.

Di Amerika Syarikat, khalayak mengkritik Donald Trump atas inisiatif kempen pilihanrayanya yang menggalakkan keganasan penyokongnya terhadap lawan yang tidak bersetuju dengan kem beliau. Lagi menarik, Trump sanggup membayar kos perundangan jika kes keganasan tersebut dibawa ke mahkamah!

Ada satu ketika dulu di Amerika Syarikat juga, seorang paderi Katolik menyampaikan khutbahnya tentang membunuh wanita yang menggugurkan anak adalah dibolehkan. Tidak lama selepas itu berlaku serangan terhadap kumpulan pro-pengguguran yang diinspirasikan oleh khutbah tersebut.

Paderi itu dipetik berkata, bahawa dia tidak pernah menggalakkan pengikutnya betul-betul pergi penyerang dan membunuh wanita yang menggugurkan anak. Dia cuma menyebutkannya secara kasar tanpa sebarang baggage yang perlu ditanggung.

Ada yang berhujah, bahawa Trump tidak pernah menganjurkan penyokongnya betul-betul menumbuk atau menyerang penyokong pihak lawan. Dia cuma mengujarkannya dalam ucapan-ucapan kempennya secara bersahaja — tanpa baggage.

Ada yang berhujah, pembuat video prank itu tidaklah menganjurkan penonton beliau supaya menculik atau melakukan jenayah seumpama begitu di luar sana. Dia cuma mencipta video atas tujuan hiburan semata-mata — tanpa baggage.

Ada yang berhujah, Amran Fans hanyalah melawak semata-mata, juga tanpa sebarang baggage yang perlu ditanggung.

Seperti contoh-contoh di atas, memanglah Sam Pepper tidak pernah memaksa peminatnya pergi menculik dan membunuh sesiapa.

Juga, tidaklah Donald Trump memaksa penyokongnya menumbuk dan melakukan kekasaran terhadap penyokong pihak lawan.

Juga, tidaklah paderi Katolik tersebut memaksa pengikutnya supaya patuh terhadap suruhan membunuh kumpulan pro-pengguguran.

Tetapi, untuk mendakwa bahawa perbuatan di atas tiada baggage langsung dan dibolehkan atas nama kebebasan ekspresi, adalah seumpama mempercayai harimau adalah binatang liar yang tidak mengganggu manusia, maka bolehlah pagar dalam zoo dicabut untuk pengunjungnya melihat lebih dekat binatang tersebut.

Untuk menjawab persoalan ini, kita terpaksa akui bahawa ianya kompleks. Dan juga, kita harus mengakui, bahawa kita sedang sakit. Masyarakat kita sakit, kerana kita tohor segala-galanya. Kita tohor ilmu, tohor adab, tohor akhlak, tohor hati nurani. Masyarakat kita tohor kesedaran keseluruhannya.

Ketohoran elemen-elemen di atas, menjadikan kita manusia narcissistic, membentuk kelompok masyarakat narcissistic — yang siang dan malamnya hanya berfikir tentang diri dan keselesaan sendiri, yang siang dan malamnya hanya hidup bertujuan untuk menghiburkan dan menyedapkan perut rodong sendiri.

Jauh sekali, masyarakat narcissistic boleh diajak berbicara perihal empati, perihal kesedaran (consciousness), perihal hati nurani (conscience). Terasa begitu jauh sekali untuk menuju ke arah itu.

Amran Fans bukan punca kepada ketohoran ini. Amran Fans, Donald Trump, Sam Pepper, paderi Katolik tersebut — adalah simptom (petunjuk) bahawa masyarakat kita sedang sakit dan masyarakat kita sudah tenat ketohoran ini.

Untuk mengubahnya, kita memerlukan pendidikan. Tidak, saya silap — pendidikan tidak akan mampu mengubah dunia yang sedang sakit. Pendidikan hanya mengubah manusia — menjadikan mereka tidak lagi tohor.

Dan manusia yang tidak tohorlah, yang akan mengubah dunia yang sedang sakit ini. Saya ingin mengulang apa yang diucapkan oleh Paulo Freire,

“Education does not change the world. Education changes people. People change the world.”

Thursday, May 19, 2016

Melawat Kritikan Syed Hussein Alatas Terhadap Pengarang Revolusi Mental

Dalam komentar saya dulu tentang larangan membaca buku-buku Faisal Tehrani, saya menyebut tentang ketidakmungkinan untuk seseorang yang tidak membaca sesebuah karya tertentu, boleh memajukan sebarang kritikan dan kesimpulan terhadap karya tersebut secara beramanah dan bertanggungjawab.

Saya mahu menyambung sedikit lagi berkenaan perkara tersebut.

Dalam Intelektual Masyarakat Membangun, Syed Hussein Alatas telah mengajukan kritikan yang cukup tajam terhadap kelompok manusia yang bersikap tidak beramanah begini dalam kritikan mereka terhadap satu-satu karya dan teori yang tidak selari dengan mereka.

Dalam Bab 2 yang membicarakan perihal Kaum Intelektual dan Fungsinya, Syed Hussein Alatas telah mengkritik Revolusi Mental susunan Senu Abdul Rahman — sebuah tulisan yang menganjurkan pada peri pentingnya orang Melayu mengubah cara fikir mereka untuk maju.

Buku tersebut telah menghimpunkan tulisan tujuh cendekiawan, yang antara lainnya mereka adalah pemegang gelar PhD. Kritikan pedas Alatas, bermula dengan kenyataan bahawa buku tersebut adalah sebuah karya besar yang penuh cacat.

Mengapa Alatas mengkritik sebegitu rupa?

Kritikan Alatas tertuju tepat pada para pengarang buku tersebut, yang disifatkan oleh Alatas sebagai pseudo-intelek apabila pengarang menganjurkan orang Melayu supaya meningkatkan usaha dan pengetahuan, tetapi malangnya, pengarang buku itu sendiri cakap tidak serupa bikin.

Kritik Alatas, Revolusi Mental adalah contoh karya bukan intelektual yang mengaku sebagai sesuatu yang intelektual.

Contoh yang ingin saya bawakan adalah bidasan Alatas terhadap pengarang buku tersebut yang memajukan kritikan tidak berasas lagi semberono terhadap teori evolusi Charles Darwin dalam karya agungnya yang berjudul On the Origin of Species.

Menurut Alatas, pengarang Revolusi Mental jelas tidak pernah menelaah karya Darwin, tetapi memajukan kritikan terhadap teori evolusi tersebut secara tidak beramanah, terpelecok dengan sentimen sempit agama dan sambalewa.

Pada Alatas, sikap tidak beramanah begini sangat ironi kerana pengarang Revolusi Mental mengkritik teori Darwin seolah-olahnya memberi petunjuk kepada pembaca bahawa penelaahan mereka terhadap karya Darwin dan pandangan ratusan cendekiawan seputar teori tersebut sudah ranum.

Keadaan begini terjadi, menurut Alatas, adalah bertitik tolak dari penyakit bebalisme yang menjangkiti para pengarang buku tersebut, serta ramai lagi dalam kalangan masyarakat umumnya.

Bebalisme telah menyebabkan pengarang Revolusi Mental melakukan kesilapan dalam cara pengajuan permasalahannya, hujah yang dikemukakan, kedalaman dan pemilihan masalahnya, hubungan logika antara proposisinya dan banyak lagi syarat lain dalam sesebuah karya intelektual, yang tidak ketemuan dalam buku tersebut.

Berbalik kepada persoalan masyarakat yang mengajukan pada bandwagon pengharaman buku-buku tulisan Faisal Tehrani tanpa sebarang usaha penelaahan secara kritis dan mendalam, serta terbuka, adalah suatu hal yang sangat mengecewakan.

Ianya mengecewakan, apabila masyarakat kita telah mengabaikan pesan-pesan cendekiawan seumpama Alatas dalam hal begini, dan mengguna pakai pandangan dangkal yang lainnya secara semberono, gopoh dan cemerkap.

Kesan buruknya, adalah kita akan berterusan dalam ketandusan dan kemarau karya-karya hebat dan pembaca yang kritis, yang memungkinkan dari situ, berlakunya pemandulan pemikiran masyarakat seluruhnya. Alangkah, ruginya!

Wednesday, May 18, 2016

Menyanggah Ketakutan dan Kebencian Terhadap Homoseksual

Pada banyak keadaan, ketakutan dan kebencian, lantas diskriminasi, terhadap komuniti homoseksual adalah bertitik asal dari kesempitan cara pandang terhadap kehidupan dan erti kemanusiaan, sehingga menutup segenap ruang toleransi yang wujud dalam masyarakat.

Cara pandang itu, kita boleh klasifikasikan kepada beberapa perkara, antaranya yang paling dominan dalam masyarakat Malaysia terutamanya adalah keterkaitan dengan persoalan homoseksual menyalahi perintah Tuhan dalam kitab-kitab suci — Quran, Injil dan sebagainya.

Dari kalam-kalam kitab yang bersifat sakral inilah, manusia melakukan derivasi pandangan sehingga wujudnya perspektif dalam kalangan khalayak bahawa perbuatan homoseksual adalah menyalahi fitrah semula jadi, menyanggah segala hukum tabii alam.

Pada akhirnya, segala perspektif itu akan membawa sekalian khalayak kepada beberapa kesimpulan mudah, bahawa pelaku homoseksual adalah pendosa, menjijikkan, menyalahi fitrah dan penyebab berlakunya bala kepada manusia yang lain-lainnya.

Tanggapan di atas, sudah dianggap normal dalam masyarakat kita pada hari ini. Tanggapan-tanggapan itulah juga, akhirnya membuahkan dalam masyarakat segala punca kebencian dan ketakutan terhadap homoseksual.

Akibatnya, tidak pernah sesekali positif. Kebencian dan ketakutan itu telah menghalalkan jenayah buli dan gangguan terhadap komuniti homoseksual tanpa ada sebarang bantahan dari khalayak.

Tindak balas mereka akan bersifat verbal yang menyakitkan dan penderaan fizikal dan psikologi yang menakutkan.

Terlalu banyak, kisah sedih jika kita mahu ungkit apabila bercakap soal perkara ini.

Kita tidak perlu menyanggah sejarah hitam tersebut, tetapi yang perlu disanggah adalah kebencian, ketakutan yang tidak berasas, kesempitan cara pandang, penyakit tiada toleransi dan kompromi dalam beberapa keadaan dan perkara apabila menyentuh isu homoseksual.

Saya bersetuju dengan Freud mengenai tindak balas khalayak terhadap homoseksual adalah tidak bertitik tolak pada cara pandang mereka yang konservatif dengan ayat-ayat dari kitab suci, tetapi adalah natijah dari keadaan separa sedar yang terhasil akibat pendaman (repression) acuan pandangan mereka selama ini.

Akhirnya, pendaman itu mewujudkan satu garisan pemisah yang bersifat meta, yang tidak matang dan jauh sekali boleh memangku rasional apabila bermuka dengan perbezaan dan percanggahan.

Garisan ini telah melahirkan ekosistem kita dan mereka (us versus them). Tiada akibat paling akhir — sebagaimana yang kita lalui dan tonton di hadapan mata hidung sendiri, keganasan demi keganasan, kebencian demi kebencian, ketakutan demi ketakutan yang di buat-buat, dipromosikan dan dihalalkan — atas nama agama.

Ancaman yang mereka perkatakan — bahawa homoseksual akan merosakkan masyarakat, pembawa HIV/AIDS, menjemput bala dari Tuhan, pemutus zuriat, dan segala kata nista lainnya lagi, adalah keberhasilan dari kempen kebencian dan ketakutan tadi.

Padahal, sebenar-benarnya, ianya adalah tindak balas yang sangat bersifat individualistik.

Pada umumnya, mereka kelihatan cuba menginstitusikan ketakutan dan kebencian ini, padahal hakikatnya segala nista itu tidak lebih dari ketidaksedaran mereka sendiri di peringkat individu, yang membuahkan tindakan di luar kawalan dan pertimbangan rasional dan kemanusiaan.

Mereka menyandarkan kebencian dan ketakutan itu pada batang tubuh agama — bahawasanya kebencian itu adalah berasas dan dituntut Tuhan.

Ironi ini bersifat sungguh manis. Bayangkan, agama yang menganjurkan pada kecintaan dan kasih-sayang, boleh disandarkan padanya keabsahan untuk menghalalkan kebencian dan ketaasuban.

Sebab itulah, saya percaya, kebencian dan ketakutan terhadap homoseksual tidak sesekali duduk bersama dengan perintah agama dan dakwaan mereka bahawa mereka berbuat demikian atas nama agama adalah sangat goblok.

Hakikatnya, mereka sendiri secara individu, yang bertanggungjawab pada emosi, intelektual dan rasional mereka yang menyampaikan mereka terhadap kesimpulan dan pandangan hidup yang mudah dan tidak bertanggungjawab begitu.

Untuk menyanggah ketakutan dan kebencian terhadap homoseksual, apa yang tinggal adalah kita terus tabah mendidik masyarakat dengan kaca mata kemanusiaan.

Moga suatu hari nanti, diskriminasi, kebencian dan ketakutan ini akan terlenyap jua, sebagaimana lenyapnya dedaunan kering saat luruhnya ia ke atas tanah — melebur dan hancur berkecai.

Monday, May 16, 2016

Terima Kasih Cikgu Fadzilah

Saban tahun, saya menulis pada Hari Guru berkenaan kisah guru-guru yang pernah saya menuntut ilmu dengan mereka sewaktu zaman persekolahan dulu.

Tahun-tahun yang lepas, saya mengenang memori bersama Cikgu Wan Mahmud, guru Fizik saya sewaktu di Tingkatan Empat dan Lima di SBPI Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Seorang guru tua, yang begitu berdedikasi — entah bagaimana saya mahu mengungkap jasa beliau pada diri saya dalam tulisan kecil ini. Moga rahmat Tuhan dan alam senantiasa bersamanya.

Untuk kali ini, saya mahu bercerita perihal seorang guru saya sewaktu bersekolah rendah.

Saya mengimbau semula memori dengan seorang guru wanita ini — insan yang mulia, yang banyak membantu saya sewaktu susah, sewaktu saya kesempitan, sewaktu yang lain-lainnya memandang rendah dan serba hina pada diri kita.

Ini kisah seorang guru yang mulia, yang telah mendidik saya menjadi seperti pada hari ini. Saya mahu bercerita tentang Cikgu Fadzilah, guru Bahasa Melayu saya semasa Darjah Enam di SK Kampung Chabang, Kerteh.

Dia seorang guru yang mulia, yang mempertahankan nama saya untuk mewakili sekolah, bagi menerima anugerah pelajar terbaik dari ExxonMobil. Saya masih ingat, bertemankan abah ke Auditorium Kompleks ExxonMobil di Rantau PETRONAS menerima hadiah berupa cek dan sijil.

Dia seorang guru yang berhati mulia, yang memberi ruang kepada saya untuk kreatif dan melangkau kawan-kawan dalam berkarya karangan Bahasa Melayu.

Saya masih tidak lupa, bagaimana karangan sewaktu Darjah Enam, saya mengulas tentang pencerobohan Amerika Syarikat di bumi Iraq dan tragedi 11 September. Cikgu Fadzilah tidak pernah melarang saya untuk mengulas itu tersebut dalam karangan saya dulu.

Saya juga tidak lupa, apabila beliau memberi laluan kepada saya untuk berkongsi dengan rakan-rakan sekelas berkenaan kisah-kisah yang tersebut dulu ketika kemuncak kempen Intifada di Palestin sekitar tahun 2000.

Antara lain, kisah tentang bagaimana para Yahudi ketakutan mencari perlindungan setelah sekalian makhluk di muka bumi ini memusuhi mereka, melainkan pohonan Gharqad. Guru ini tidak menghalang saya, bahkan memberi peluang sewaktu sesi kelasnya untuk saya bercerita pada kawan-kawan akan kisah-kisah ini semua.

Saya tidak lupa, insan ini juga, yang mempertahankan saya setelah banyak kali diherdik oleh beberapa orang guru yang lain, lantaran saya bukan seorang pelajar yang aktif sukan. Ketika itu, begitu laku khabar angin bahawa pelajar yang tidak aktif sukan, tidak akan diterima masuk ke universiti, kata mereka.

Insan yang berhati mulia ini, telah menurunkan tandatangan sokongan kepada semua sijil-sijil kokurikulum saya, menandakan saya dulunya pernah menyertai perkhemahan pengakap, mewakili sekolah ke pertandingan hafazan dan beberapa perkara lagi.

Insan ini tahu, dan faham, akan kesempitan hidup keluarga saya dulu yang tidak memungkinkan saya untuk menyertai segala “kemewahan” itu. Adakah saya terkilan dengan keadaan itu?

Tidak sama sekali, bahkan ianya mengajar saya untuk menjadi manusia yang berjiwa besar. Manusia yang tidak gentar dengan kehebatan orang lain dan manusia yang tidak menunduk pada cabaran dan ketidakpastian.

Saya belajar perkara ini, antara lain, adalah dari guru yang mulia ini.

Saya terpilih mewakili sekolah untuk kem intensif UPSR di peringkat daerah dan negeri, terpilih untuk menerima anugerah pelajar cemerlang ExxonMobil dan anugerah ketika program PIBG — sekalipun saya bukanlah pelajar yang aktif dan popular, adalah jasa guru yang mulia ini.

Insan ini memberi ruang kepada saya, untuk menjadi diri sendiri.

Saya masih ingat pesannya, “Tajuddin, cikgu berkeras pilih nama awak untuk ke Kem Intensif UPSR ini, walaupun ramai cikgu-cikgu lain tak bersetuju.”

Untuk ke Kem Intensif UPSR, kami akan bersaing dengan pelajar dari sekolah-sekolah elit, seumpama SK Rantau PETRONAS, SK Kerteh, SK Sultan Ismail dan banyak lagi. Bayangkan, kami datang dari sekolah kampung.

Tetapi, insan yang mulia ini, tidak betah memberi semangat kepada saya supaya percaya dengan diri sendiri dan berjiwa besar.

Cikgu, saya masih ingat semua pesan-pesan itu sehingga ke hari ini.

Dan, saya sedar tidak lama selepas itu, betapa sekalian banyak hal yang berlaku yang saya sebutkan di atas, sebenarnya tidak ramai cikgu-cikgu lain bersetuju dengan Cikgu Fadzilah.

Bayangkan, di SK Kampung Chabang, kami tidak punya lebih dari 100 pelajar dari Darjah Satu hingga Darjah Enam. Calon UPSR hanya 28 orang, pada tahun saya mendudukinya.

Saya antara pelajar yang berada dalam kelompok tiga terbaik sepanjangan siri peperiksaan, tetapi memandangkan saya bukanlah budak aktif sukan, kaki bangku, tidak pernah menyertai aktiviti kokurikulum — saya menjadi pelajar yang sangat tidak popular dalam kalangan guru-guru.

Tetapi, Cikgu Fadzilah tidak pernah putus asa dan menunjuk rasa kecewanya dengan saya. Terima kasih, cikgu. Terima kasih atas segalanya. Bila saya mengenang memori ini cikgu, baru saya faham maksud pepatah actions speak louder than words.

Moga alam dan Tuhan senantiasa merahmati hidup cikgu dan keluarga cikgu. Moga kita ketemu lagi, satu hari nanti.

Sunday, May 15, 2016

Gesaan Menyegerakan Penyatuan PAS dan UMNO

Saya merenung dalam-dalam, rasanya sudah tiba masa yang cukup kritikal bagi seluruh umat Melayu Islam di Malaysia bersatu — melawan agenda tersembunyi DAP terutamanya.

Untuk bersatu melawan agenda DAP tersebut, hanya satu cadangan yang masuk akal, iaitu penyatuan dua blok terbesar parti Melayu Islam; PAS dan UMNO.

Makin dibiarkan lama idea ini terawangan — gantung tak bertali begitu sahaja, tanpa kesungguhan tindakan dan gerak kerja, saya fikir perkara itu amat menzalimi nasib umat Melayu Islam keseluruhannya.

PAS dan UMNO wajib menunjukkan kesungguhan untuk mencapai penyatuan yang segera. Jangan dibiarkan keadaan begini berterusan, jangan dibiarkan umat Melayu Islam terus tertanya-tanya tanpa sebarang jawapan.

Kalian punya tanggungjawab yang besar, yang perlu digalas amanahnya sesungguh hati demi menyelamatkan umat Melayu Islam dari terus dipermainkan, diperkotak-katikkan, dibelenggu dengan agenda dan helah tipu daya DAP.

Terdapat TIGA faktor penting, saya majukan untuk kalangan pimpinan PAS dan UMNO bagi memperjelaskan niat kenapa perlunya kepada gesaan menyegerakan penyatuan ini:

PERTAMA, semua maklum PAS dan UMNO adalah dua parti politik paling dominan ahlinya dalam kalangan Melayu Islam. Berita baiknya, masa depan politik Malaysia bergantung pada undi Melayu Islam.

Perangkaan populasi dan demografi Melayu Islam dalam tempoh 10 tahun mendatang, sehingga 2025, akan meningkat sehingga 64% berbanding Cina yang mengalami kemerosotan sehingga ke paras 20.3% sahaja.

Jika kita melihat unjuran ke tahun 2040, kadar peningkatan populasi dan demografi Melayu Islam semakin bertambah sehingga 67.5% berbanding Cina berterusan merosot dijangka mencecah 18.4% sahaja dari jumlah keseluruhan populasi di Malaysia.

Realitinya, adalah begini. Angka tidak pernah menipu. Jika PAS dan UMNO perlukan satu hujah yang cukup ampuh untuk mengabsahkan penyatuan mega ini, saya tidak boleh fikir hujah-hujah yang lain lagi, selain unjuran perangkaan populasi dan demografi negara kita pada masa akan datang.

KEDUA, agenda penghapusan hak keistimewaan Bumiputra, memadam fungsi dan melenyapkan peranan Majlis Raja-Raja Melayu dan menghapuskan peruntukan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia dalam perlembagaan adalah terang lagi bersuluh sedang rancak dijalankan oleh pihak-pihak tertentu.

Hanya dengan penyatuan PAS dan UMNO sahajalah, mampu menghalang segala agenda jahat ini dari menapak dan berakar umbi.

Penyatuan ini akan menjadi x-factor kepada berkobarnya semula semangat kesedaran bahawa Malaysia adalah milik Melayu Islam, berselari dengan apa yang diseru oleh yang dikasihi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Janganlah, sampai pada satu ketika, sudah jatuh terjelepok, barulah kalian terhegeh-hegeh ketika itu merayu pada suara-suara penyatuan.

Inilah masanya, sebelum terlewat. Berbuatlah sesuatu. Ancaman di luar sana itu adalah benar — mereka hanya menunggu saat sahaja untuk menelan umat Melayu Islam yang sedang alpa ini.

Berbuatlah sesuatu. Segerakan penyatuan ini!

KETIGA, umat Melayu Islam di Malaysia amat dahagakan kepimpinan Melayu Islam yang kuat, bersatu dan jelas peranan dan lantang suaranya. Hanya dengan penyatuan PAS dan UMNO, kemungkinan-kemungkinan di atas akan dapat direalisasikan.

Sebagai seorang pengundi Melayu Islam, saya sendiri amat gelisah tidak senang duduk dengan fenomena hari ini — populariti DAP meningkat berkali ganda dalam kalangan anak-anak muda Melayu Islam, seolah-olahnya mereka memberi isyarat bahawa mereka tiada pemimpin dalam kalangan umat Melayu Islam sendiri.

Mengapa ini terjadi?

Jujurlah dengan diri sendiri. Saya tidak boleh berbohong lagi dengan kegusaran ini.

Anak-anak muda Melayu Islam sudah bosan dengan gelagat pemimpin Melayu Islam bercakaran sesama sendiri. Mereka mahu lihat wajah-wajah pemimpin ini berpelukan mesra, merapatkan ukhuwah dan mematerai janji untuk mempertahankan tanah air bertuah ini dari segala ancaman orang luar.

Anda yang membaca surat gesaan ini dengan niat yang tulus mahu melihat Islam dan Melayu terus berdaulat di tanah air ini, pasti akan dapat menangkap maksud saya tujukan pada siapa orang luar itu.

Anak-anak muda Melayu Islam menggesa pimpinan PAS dan UMNO segera mencari jalan pertemuan untuk penyatuan yang akan menyejahterakan bangsa dan agama kita. Jangan sesekali dibiarkan perbezaan politik yang kecil itu, menutup segala ruang penyatuan yang bakal disyukuri oleh anak cucu kita nanti.

Kalian, wahai pimpinan PAS dan UMNO, maklum akan amanah dan tanggungjawab ini.

Segerakanlah, dan saksikanlah di hadapan mata hidung kalian nanti, bahawa berbondong-bondonglah anak-anak muda Melayu Islam akan menyokong penyatuan ini dan bersama-sama bekerja untuk menggapai matlamat akhir kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam di tanah air tercinta ini.

Jadi, apa tunggu lagi? Berbuatlah segera!

Thursday, May 12, 2016

Mengapa Kita Begitu Sukar Untuk Menerima Gay?

Membaca semula fiksyen tulisan J.H. Trumble berjudul Don’t Let Me Go, memanggil saya untuk menulis komentar barang sepatah dua. Ianya perihal penerimaan masyarakat, pandangan khalayak, tanggungjawab sosial dan silang kepercayaan dalam isu LGBT.

Saya membaca fiksyen ini, jika tidak silap, mungkin dua tahun yang lepas. Seminggu yang lalu, saya menyelak semula fiksyen ini, kerana ada beberapa persoalan yang mahu saya cari dan cuba berikan jawapan kepada diri sendiri.

Saya memilih tajuk berbentuk pertanyaan dalam konotasi penerimaan (acceptance) dan kemanusiaan (humanity). Saya bertanyakan begini, kerana tema penerimaan dan kemanusiaan, menjadi premis kepada banyak pandangan-pandangan saya selepas ini.

Kenapa hanya merujuk kepada "gay"? Kenapa tidak LGBT?

Umumnya di Malaysia, LGBT diasosiasikan dengan gay secara tidak langsung. Kecaman dan kritikan terhadap LGBT banyak kalinya dilihat menjurus kepada golongan gay secara langsung.

Mungkin kerana kefahaman khalayak di Malaysia melihat hubungan sesama jantina antara lelaki lebih taboo berbanding bentuk-bentuk seksualiti yang lain. Ini telahan peribadi saya semata-mata.

Dalam menanggapi persoalan penerimaan dan kemanusiaan seputar isu LGBT saya menyelak semula Don’t Let Me Go. Ada beberapa perkara yang menarik, boleh kita pelajari dari fiksyen ini.

Ianya berlatarkan kisah percintaan antara Nate Schaper dan Adam Jeffries. Naratif penceritaannya, banyak kali membawa pembaca ke kisah hidup Nate yang lampau — pengalaman dulunya yang membentuk karakternya dalam fiksyen tersebut.

Bermula dengan tema ketaasuban atau sikap tiada toleransi (bigotry) yang ditunjukkan oleh bapa Nate, membelasahnya dan memalukannya di hadapan pasukan bolanya — semata-mata Nate membuat pengakuan “I’m gay,”, membawa pembaca kepada konflik buli dan penderaan secara mental dan fizikal.

Kemudian, fiksyen itu datang dengan tema penerimaan oleh emak Adam — menerima anaknya adalah gay, bahkan menerima Nate secara terbuka sebagai pasangan kepada anaknya. Emaknya bahkan, turut mengaku bahawa dia sudah mengesyaki anaknya seorang gay semenjak Adam berumur 12 tahun lagi.

Kita boleh melihat tema keterbukaan dan toleransi emak Adam, adalah karakter yang benar tertonjol sepanjang penceritaan J.H. Trumble. Bukan dia sahaja, emak Nate juga menunjuk karakter yang sama.

Apabila Nate mengimbau pengalamannya dimalukan di hadapan sekalian manusia yang datang ke hari perbicaraannya dalam kes penderaannya — dihujani soalan dalam kandang saksi perihal hubungan intimnya dengan Adam, pembaca boleh melihat bagaimana emak Nate mengambil sisi melawan suaminya dan membela Nate.

Penerimaan masyarakat terhadap komuniti gay dan LGBT keseluruhannya, adalah perlambangan kepada kemanusiaan.

Sudah semestinya sesekali kita tidak berharap bahawa sekalian manusia akan bersetuju atas pandangan ini, tetapi cukuplah dengan kita tidak menjadikan ketidaksetujuan itu sebagai premis kepada kebencian dan tiadanya toleransi yang melampau.

Kita maklum pada spektrum masyarakat yang pelbagai. Kita memaklumi hal ini sebagai strata yang normal dalam sesebuah masyarakat yang membangun. Tentulah ada mereka yang progresif dalam pandangan mereka, dan semestinya juga, ada yang konservatif.

Menghormati garis pemisah ini pun, adalah salah satu pra-syarat kepada bermulanya penerimaan terhadap perbezaan yang wujud — termasuklah dalam kasus perbincangan ini soal perbezaan seksualiti antara satu sama lain dalam sebuah masyarakat yang sama.

J.H. Trumble juga membangunkan karakter Danial Qasimi, seorang Muslim yang straight, tetapi pandangannya terhadap komuniti LGBT adalah sangat berbeza berbanding ayahnya.

Mungkin kerana dia belajar dari pengalaman pahit abangnya sendiri, yang juga seorang gay. Abangnya meninggal dunia dibelasah oleh ekstremis anti-gay.

Sebelum itu, hidup abangnya terumbang-ambing akibat dibuang keluarga (ayahnya) setelah membuat pengakuan bahawa dia seorang gay.

Danial, ketika ketiadaan Adam di sisi Nate, dia menjadi tulang belakang dan pencetus motivasi kepada Nate untuk memulakan kempen melawan prejudis terhadap LGBT di sekolahnya sendiri, menerusi kempen pemakaian t-shirt mingguan dan artikel di laman web peribadinya.

Kebencian masyarakat terhadap komuniti LGBT terpapar jelas sepanjang penceritaan J.H. Trumble.

Paling menakutkan, adalah situasi di mana pihak sekolah tidak menunjukkan keberanian untuk menyokong Nate walaupun mereka maklum bagaimana Nate telah didera dan dibuli sehingga dimasukkan ke dalam wad semata-mata dia seorang gay.

Atau, si pengetua lebih mudah meminta Nate memperlahankan kempennya dan tidak menghiraukan pada keperluan pihak sekolah memainkan peranan untuk menghapuskan prejudis tersebut.

Ini mengingatkan saya pada artikel mengenai kes buli di SDAR yang saya tuliskan dua tahun lepas, iaitu kegagalan pihak sekolah untuk mengisytiharkan perbuatan buli adalah salah atau membisu dalam kes buli, adalah sama seumpama menggalakkan jenayah tersebut berlaku dalam diam.

You did nothing to change things, you created an environment where this kind of hate and arrogance isn’t just tolerated, but it’s silently encouraged. What did you think would happen?

Danial seorang Muslim, yang terdidik dengan pengalaman abangnya sendiri dibuang keluarga dan dibunuh hanya kerana dia seorang gay — mematangkan dia untuk menerima Nate secara rasional sebagai seorang rakan tanpa sebarang perasaan prejudis.

Dari keseluruhan naratif tersebut, saya melihat satu perkara — penerimaan masyarakat terhadap komuniti LGBT hanya boleh bermula dengan satu kata: kemanusiaan.

Kemanusiaanlah, yang memungkinkan kita melihat manusia sebagai manusia, tidak lebih rendah dari yang lainnya semata-mata perbezaan pada kehendak seksualiti mereka. Kemanusiaan juga, yang membawa kita pada kerendahan jiwa untuk menerima perbezaan dan menghapuskan kebencian dan sentimen sempit.

Adakah dengan meminta masyarakat menerima komuniti LGBT (di Malaysia) dikira sebagai you asking too much?

Saya berpandangan, situasi dan iklim begini akan berubah satu hari nanti. Cumanya, lambat atau cepat itu bergantung pada usaha dan suara masyarakat dalam isu LGBT. Kemanusiaan tercetus, apabila wujudnya kesedaran. Dan kesedaran itu hanya akan terlahir dengan pendidikan.

Ya, harapan itu tetap ada. Sinarnya di hujung lorong sana.

Membincangkan perihal ketaasuban pada cara pandang konservatif, tiada toleransi dan kebencian terhadap LGBT, tidak akan selesai dengan mempertemukan hujah yang bersifat buku dan ruas.

Buku dan ruas, natijah akhirnya adalah masing-masing menjadi abu.

Seperti awalnya tadi saya menulis bahawa masing-masing ada pandangan dan pegangan peribadi. Apa yang menjadi pemisah kepada semua ini, adalah sejauh mana masing-masing boleh bertoleransi, berkompromi dan menerima perbezaan dari kaca mata kemanusiaan.

Sunday, May 8, 2016

Jangan Baca Buku-Buku Faisal Tehrani

Sepanjangan Pesta Buku (Antarabangsa?) (Kuala Lumpur?) di MAEPS, sempatlah juga saya menjenguk ke sana mencari beberapa judul buku yang banyaknya, harga mereka menjadi sedikit murah berbanding hari-hari biasa.

Untuk mereka yang memang kaki membaca, dan tidak berduit sangat, pesta buku ini kiranya macam syurgalah untuk mereka (ini parabola, kerana pesta buku tahun ini tidak macam pesta buku pun sebenarnya).

Kita lupakan hal itu seketika. Kali ini, kita nak berbincang perihal buku-buku Faisal Tehrani.

Ketika berjalan mencari reruai buku pilihan, saya terserempak dengan dua orang kawan lama. Mereka juga ke PBAKL mencari buku, katanya. Mungkin melihat saya membawa plastik yang berisi kotak buku DuBook, salah seorangnya terus menegur saya,

“Beli buku-buku DuBook ke? Buku apa?”

“Oh, aku beli banyaknya buku-buku Faisal Tehrani. Tak pernah baca lagi buku-buku dia.”

Kawan saya tersenyum, “DuBook siap bagi kotak eh?”

“Ha’ah, mungkin beli banyak kot,” jawab saya, berseloroh.

“Hati-hati sikit baca buku Faisal Tehrani,” kawan saya memberitahu. Kenapa? Saya bertanya dalam hati, tapi tak sempat bertanya lagi, kawannya mencelah, “Fikrah dia tu bahaya sikit. Kalau boleh jangan baca buku-buku dia.”

Saya cuma tersenyum. Bila dengar dia cakap sebegitu, teringin juga nak tanya, dia sudah baca dan telaah semuakah karya-karya Faisal Tehrani, sehinggakan boleh sampai ke tahap kesimpulan sebegitu rupa.

Tetapi, memandangkan masa pun suntuk (maklumlah, ponteng kerja-kerja makmal sekejap), terpaksalah saya menahan diri dari bertanyakan dia soalan tadi, memendekkan perbualan dan meminta diri untuk meneruskan pencarian buku-buku yang masih belum ketemuan lagi.

Tetapi, nampaknya kenyataan dan nasihat yang mereka berdua berikan pada saya, sehingga ke hari ini, masih jelas terngiang di telinga. Tak disangka, rupa-rupanya sampai begitu penakut dan paranoid masyarakat kita pada buku-buku Faisal Tehrani.

Baiklah, paling tidak, kita ada dua situasi di sini.

Pertama, mereka memang membaca kesemua karya-karya Faisal Tehrani dan akhirnya, dengan segala ketinggian ilmunya itu, mereka mampu sampai kepada kesimpulan seperti tadi, bahawa buku-buku Faisal Tehrani memang boleh sampai ke tahap merancu akidah.

Tetapi, saya fikir, jika mereka punya ilmu yang tinggi, mereka tidak akan sampai kepada kesimpulan secara mudah dan bersifat lepas tangan sebegitu rupa. Cara mereka menegur saya membeli buku-buku Faisal Tehrani, tidak memungkinkan mereka berada dalam situasi pertama.

Situasi dua pula, jika mereka hanya mendengar khabar dari orang lain tentang buku-buku Faisal Tehrani, atau menelan bulat-bulat tuduhan yang sama dari pensyarah-pensyarah di universiti, atau fotokopi sepenuhnya dakwaan ustaz-ustaz segera — saya sangatlah bersimpati dengan mereka.

Kenapa saya tekankan perihal perlunya membaca dulu buku-buku Faisal Tehrani sebelum layak mengajukan sebarang kesimpulan?

Konsepnya mudah, katakan anda seorang pelajar Sarjana Sains yang sedang menjalankan sesuatu kajian dalam bidang tenaga suria. Adakah kajian anda akan diperakui absah jikalau anda gagal mengemukakan kajian kepustakaan untuk skop kajian anda?

Tentu saja tidak. Apa pentingnya kajian kepustakaan dalam menyampaikan kita kepada kesimpulan-kesimpulan kajian kita kelak?

Dengan kajian kepustakaan itulah, maka kita akan sedar, dalam skop kajian kita itu, di mana lompong kajian-kajian terdahulu, di mana kesalahan metode yang diguna pakai, di mana sudut kajian yang perlu ditekankan dan diperbaiki lagi.

Dan juga, dengan kajian kepustakaan itulah, akan mengupayakan kita untuk melakukan proses semak silang dengan data yang kita peroleh dan di buat perbandingan secara langsung.

Kajian kepustakaan itu, membawa makna wajibnya setiap seorang pelajar sarjana melakukan proses pembacaan dan penaakulan pada kajian-kajian terdahulu — dan dengan perbandingan itulah, maka hasil data yang diperoleh dari kajian kita boleh diabsahkan.

Bayangkan, jika proses membaca kajian-kajian terdahulu tidak diwajibkan (atau dihapuskan) dalam proses kajian saintifik, tentu saja segala data yang diperoleh itu hanyalah bersifat syok sendiri. Kedengaran bunyinya pun, sudah tidak mungkin.

Jadi, berbalik kepada kisah rakan saya menasihati agar tidak membaca buku-buku Faisal Tehrani, perkara pertama yang terdetak dalam hati adalah, bertanyakan sama ada mereka sudah membaca kesemua karya-karya Faisal Tehrani atau belum.

Jika mereka berdua jatuh dalam kategori situasi kedua, salam takziahlah buat mereka. Mengapa?

Saya kepelikan, kerana kedua-dua rakan saya itu adalah pelajar Sarjana di UKM. Jadi munasabahlah pada akal saya, untuk mengaitkan perbualan itu dengan konsep pelajar sarjana melakukan kajian di universiti.

Jika seorang pelajar Sarjana — yang siang dan malam mereka bergelumang dengan dunia kajian saintifik — pun berfikir dalam kerangka sebegitu rendah, apa yang boleh diharapkan dari sekalian masyarakat yang rata-ratanya masih beriman dengan trend bandwagon?

Nak berbicara soal masyarakat kritis? Atau sarjana yang kritikal? Atau negara yang maju dan terhadapan?

Dengan buku-buku Faisal Tehrani pun kita sudah terkencing dalam seluar, tak perlu bercita-cita tinggi sangatlah kita semua ini. Boleh?

Saturday, May 7, 2016

Doing Is Better Than Perfect

Everyone knows, that was a Facebook company motto. Literally, everyone knew it. But then, how many of us, getting the real message behind that particular sentence?

As a matter of fact, there are not many people who understand, or I should put here — care — about the meaning beneath it.

It is a sad reality, especially when it comes to the terms of organisation or teamwork.

What were in the first place supposedly to be the teamwork or a job that need a team to work on it, at last, spurned off as if the job is only meant to be on one person’s shoulders only — from the entire team.

Do you read Harry Potter and the Deathly Hallows, a scene when Ron growled and snapping on Harry, for what from his point of view, Harry was clueless and always throw away I-don’t-know kind of excuses?

Yes, that kind of particular attitude or mental is what I am pointing out here.

“We thought you knew what you were doing!” 
“I thought you knew what you’d signed up for,” 
“You know, with my arm mangled and nothing to eat and freezing my backside off every night. I hoped, you know, after we’d been running round a few weeks, we’d have achieved something.”

Yes, indeed, that are all the excuses. Just excuses — for doing nothing and hoping the fate always on their sides. It is all fabricating process, that excellently done, historically we know, by people who doing nothing and escaping the responsibilities.

This is the mentality of people who always wish foods coming down from the sky straight into their mouth. When we ask them to contribute to the team — to read, to research, to brainstorm, to throw ideas during discussions — they shrugged off. Easy and cheap.

This kind of mentality is lame and stupid. You do not contribute even a thing, and you bossing people around, asking unnecessary stuff like you're the important one. Bullshit. Again, it is so Ron Weasley when you are doing that.

If I got one thing, to be frank, fired those kinds of people will be my top priority. I don't need this sort of mentality on my team. If you want to be part of the team, then contribute something — deliver what you have meant to. If not, enough talking, start doing.

Generally, what I'm asking from the team are ideas and commitment. No more than that. I need ideas, and I need people to execute it. Yes, it’s a matter of doing. Just do. The problem with those people is they don't. Then they start fabricating excuses. Then, lie upon lie.

Are we expecting the perfect plan, or the novel ideas, or the fabulous strategy game plan?

No, we don’t. We just ask a commitment. We are just asking, participation. We are just asking, a contribution — for doing the task, for delivering the ends.

We do not seek for perfection. We strive to progress. We seek actions. Then, after then, the end will come inevitably. No, don’t. It's still not about the perfection yet, but we realise if you are doing what you are supposed to, then it will be a mean for us to achieve something at the end.

Play your part. Others will, too. Then we can talk about the perfection. Then, you can complain and criticise.

But, I can assure you, if you get your hand dirty by doing, you won’t arrive at those stages mentioned above. You just don’t because you know this is your team, and this is your responsibilities to do — not fabricating excuses.

So, stop making excuses. Start doing.

Monday, May 2, 2016

Cercaan Tidak Sesekali Bersekutu Dengan Kebenaran

Dalam banyak penulisan saya di sini, saya mengguna pakai metode kritikan secara langsung dan keras pada subjek sasaran saya — boleh kata dalam setiap artikel berkaitan politik, begitulah gayanya.

Namun begitu, kritikan boleh dibahagi dalam banyak jenis.

Betulkan saya, jika saya tersilap. Memang dari awal penulisan dalam blog ini, saya banyak mengkritik secara cercaan. Saya mengaku, bahkan banyak kali juga saya memutar kembali tentang hal tersebut dalam tulisan-tulisan sebelum ini.

Cercaan lebih kepada sosok-sosok politikus yang korup, yang muflis moral, yang ingkar pada amanah rakyat, yang kurang ajar pada undang-undang dan Perlembagaan.

Apakah dengan segala sifat gampang begini, maka boleh menjadi justifikasi pada saya untuk mencerca sosok-sosok politikus ini?

Sesetengah keadaan, saya fikir, ya, ianya boleh memberi kesan. Kurang ajar pada politikus korup, ya, teramat perlu. Mungkin istilah yang lagi rangkum maknanya, adalah biadap. Pada politikus begini, biadap terhadap perangai dan salah laku mereka, secara peribadi, saya menganggap hal tersebut perlu.

Saya menulis perkara ini dulunya, dalam sebuah artikel mengenai perangai orang kita yang masih tertakluk dengan jiwa feudal. Untuk mengatasi jiwa feudal, bangsa Malaysia perlu menjadi bangsa kurang ajar — biar kita jarah segala salah laku dan tingkah buruh pemimpin korup.

Perihal cercaan, dulunya saya gemar mengambil kaedah ini dalam penulisan. Mencerca mudah, tetapi, akhirnya saya sedar, kaedah penyampaian dalam bentuk cercaan sebenarnya tidak efektif dan, ada kemungkinan, mesej yang cuba disampaikan, terkabur dek cercaan itu sendiri.

Akibatnya, mesej — yang pada hemat kita, dalamnya itu terkandung kebenaran — tidak sampai pada maksudnya. Akhirnya juga, segalanya menjadi sia-sia.

Itu dulu. Secara beransur-ansur, saya menukar kaedah penulisan. Saya masih mengkritik — itu esensi, tetapi dengan nada yang lebih berbeza dan selektif. Saya fikir, dengan bersikap selektif pada penggunaan istilah, struktur ayat dan nada penyampaian, ianya lebih memudahkan penyampaian mesej pada maksudnya.

Saya pegang kemas-kemas antara rangkap dalam pesan Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajaknya yang berjudul “Kurang Ajar”,

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar

Kerana, ianya benar. Kenapa kita mengkritik?

Kita tidak mengkritik kerana kita benci pada satu-satu sosok secara peribadi, tetapi kita benci pada salah lakunya, pada pengkhianatannya, pada segala jenayah yang berlindung di sebalik jubah kelembai.

Jadinya, keras dan kurang ajar pada perbuatan khianat dan ingkar mereka, adalah justifikasi kenapa kita mengkritik secara kurang ajar.

Tetapi, dalam pada begitu, kita beringat juga bahawa, tidaklah semua keadaan dan ketika, memerlukan pada kritikan yang bersifat keras sebegini. Bersesuaianlah, pada kadar dan keadaan yang sepatutnya.

Kritikan itu, sewajibnya tidak membawa kepada peringkat mencerca peribadi, maruah dan harga diri subjek yang dimaksudkan. Kita mengkritik Rosmah Mansor atas keborosan dia berbelanja (dengan segala skandal yang berlingkaran), tetapi tidaklah itu menghalalkan cercaan pada batang tubuhnya.

Berpada-padalah. Beringatlah, bahawasanya, sesekali kebenaran tidak bersekutu dengan cercaan yang melampau. Mengkritik tentu saja boleh, tetapi tidaklah ia membolehkan kita mencerca dengan sesuka hari.

Kritiklah, sepuas hati, jika tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, atau sebarang pendirian, atau segala bentuk salah laku — secara berprinsip dan adil.

Jangan sesekali, menjadikan pentas kritikan untuk menghalalkan cercaan bersifat peribadi dan merobekkan maruah dan harga diri seseorang. Islam tidak pernah mengajar kita menjadi penganut yang bersifat dengan sikap begitu.