Thursday, April 7, 2016

Menjadi Manusia Yang Bertanggungjawab

Stephen R. Covey dalam bukunya, The 7 Habits of Highly Effective People menulis bahawa di dunia ini wujud dua perkumpulan manusia.

Pertama, manusia dalam perkumpulan yang prihatin atau Circle of Concern.

Kedua, manusia dalam perkumpulan yang bertindak atau Circle of Influence.

Perkumpulan pertama, begitu ramai manusia secara tanpa sedar, termasuk dalam perkumpulan tersebut. Kita sendiri tidak terkecuali. Dalam banyak isu sekitar masyarakat yang berlaku, kita lebih mudah menjadi manusia yang prihatin pada sesuatu isu tersebut.

Tetapi, menurut penulis, sedikit sahaja manusia yang mampu keluar dari Circle of Concern dan memasuki perkumpulan manusia yang bukan sekadar prihatin, bahkan bertindak terhadap apa yang mereka rasakan ianya betul pada waktu dan keadaan tersebut, iaitu Circle of Influence.

Saya berkongsi topik ini, setelah mendengar perkongsian dari fasilitator dalam sebuah program mengenai social enterprise anjuran Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC). Dalam program tersebut, kami diperkenalkan dengan konsep social enterprise.

Mudahnya, konsep itu adalah soal membina perniagaan yang memberi manfaat kepada sesetengah kumpulan masyarakat atau menyelesaikan sesuatu masalah entiti tertentu dengan konsep perniagaan yang mampan.

Tetapi, apa yang saya mahu bincangkan di sini adalah cambahan dari sekadar melihat skop perbincangan Stephen Covey dalam lingkup perniagaan semata-mata, tetapi lebih luas dari itu, yakni politik.

Pada saya secara peribadi, aktif dalam politik tidak membawa makna menjadi ahli politik semata-mata. Ia sepatutnya membawa makna yang lebih besar dari itu. Saya berpandangan, makna yang lebih tepat dan terpakai untuk frasa aktif politik adalah soal kesedaran politik.

Kesedaran inilah, yang membuahkan rasa kebertanggungjawaban dan memastikan kita berada dalam Circle of Influence, bukan sekadar selesa berkomentar di Facebook mengenai masalah negara, tetapi takut untuk bertindak melakukan perubahan.

Manusia yang bertanggungjawab, adalah manusia yang merasa perlunya dia menentukan nasib dirinya, nasib masyarakat dan keluarganya, nasib negara dan bangsanya, dan bahkan, nasib anak-anak generasi mendatang.

Dalam hal ini, saya bersetuju dengan komentar Azan Safar mengenai tahap kesedaran politik rakyat Iceland yang membezakan antara kita dan mereka semua dalam hal yang melibatkan isu integriti kepimpinan negara.

Bertanggungjawabnya kita, apabila pada hari ini kita berusaha keras memastikan bumi yang akan diwarisi oleh anak-anak kita kelak adalah bumi yang kekal hijau, yang tidak panas kekeringan, yang terus lestari segala flora dan faunanya.

Bertanggungjawabnya kita, apabila pada hari ini kita berusaha keras memastikan segala polisi dan pelaksanaan tatacara tadbir negara dilaksanakan dengan amanah, penuh integriti, melawan rasuah dan penyelewengan, demi masa depan negara yang bermaruah dan berdaulat.

Untuk mencapai itu semua, adalah perlu kita menjadi manusia yang bertanggungjawab, yang merasa perlunya ada partisipasi dalam segenap keputusan dan natijah politik negara, yang memikirkan bukan sekadar pada skala diri sendiri, tetapi juga manusia dan masyarakat sekitarnya.

Paling mudah, kita memahami Circle of Influence dengan satu frasa mudah, bahawa dunia ini bukannya serba-serbi tentang kita, tetapi banyak masanya adalah tentang manusia yang lainnya. Itulah pada saya, kebertanggungjawaban.