Wednesday, April 20, 2016

Mengapa Kita Memilih Untuk Kekal Diam?

Banyak kali perasaan begini menerpa benak fikir saya. Acap kali ianya mengganggu kerja buat seharian, kerana fikirkan satu perkara — escape. Acap kalinya, perasaan untuk escape, atau melarikan diri, atau mencari kebebasan dari segala belenggu di “sini” menjadikan saya, jujurnya, kelam.

Alangkah mudahnya, saya fikir, jika memilih untuk berlalu pergi sahaja. Tidak lagi menoleh ke belakang. Pergi meninggalkan segalanya — permasalahan, tanggungjawab, cita-cita di sini.

Saat segalanya merasa bahawa tiada lagi jalan yang cerah di depan, tiada lagi harapan yang boleh dijadikan sauh untuk terus bertahan dari hanyut dilanggar arus gelombang, saat itulah Tuhan menyampaikan pesan-pesan ringkas sebegini.

“Above all else, we choose to stay. We choose to fight the darkness and the sadness, to fight the questions and the lies and the myth of all that’s missing. We choose to stay, because we are stories still going. Because there is still some time for things to turn around, time for surprises and for change. We stay because no one else can play our part.” — Jamie Tworkowski, “We’ll See You Tomorrow

Tulis ZF Zamir, ramai orang fikir keluar ialah satu-satunya jalan. Pergi, melepaskan, meninggalkan, berlepas diri dan berlari dari segala tanggung dan jawab yang ada. Ya pasti, ramai yang boleh berbuat demikian.

Tapi apa yang membezakan kita, tatkala semua pergi dan melepaskan?

Stay. Kekal diam. Itu, yang membezakan kita, dengan jutaan orang lain.

Benar. Benar. Benar. Tapi...

Entah, tak pasti bentuk yang bagaimana lagi yang patut saya coret untuk luahkan dan gambarkan apa yang begitu berserabut dalam kepala saat ketika ini. Rasa semacam, ya Tuhan, ingin saja menjerit sekuat hati biar seluruh alam boleh dengar, biar segala makhluk boleh faham.

Hidup ini, memang begini mungkin. Saya terfikir satu sebab, antara lain, adalah keadaan kita yang sentiasa mahu penuhkan kehendak orang lain, jangkaan dan harapan-harapan khalayak pada diri kita.

Kita sengsara. Kita punya hati dan rasa sendiri. Tapi, kita tak punya kekuatan. Kita tak terluah segala itu. Kita terbelenggu. Terbelenggu untuk penuhkan segalanya yang telah ditetapkan pada kita, yang telah dipilih untuk kita.

Tuhan, tak pasti lagi bagaimana rupa bentuk coretan yang patut dikongsi di sini. Aku cuma mahu melarikan diri dari semua ini. Aku mahu escape. Aku mahu jadi berbeza dengan cara aku. Tapi, bagaimana Tuhan? Bagaimana?

Pandulah aku. Bantu dan tolong-lah aku.