Friday, March 11, 2016

Memungkinkan Yang Tidak Mungkin

Dulu, popular dalam kalangan khalayak frasa “impossible is nothing” yang menjadi tema komersial Adidas sewaktu Piala Dunia 2006. Frasa tersebut, banyak menimbulkan tanda tanya mengenai maksud yang cuba disampaikan Adidas, termasuklah kepada diri saya sendiri.

Beberapa bulan lepas, saya ada berbual dengan seorang guru saya mengenai idea dan perkembangan teknologi seputar artifial intelligence – perkembangan teknologi seumpama pemindahan kepala manusia, perubatan nano, pemindahan consciousness dari akal kepada bentuk cip mikro dan berbagai lagi.

Tanya saya pada guru saya itu, adakah hal-hal itu ada kemungkinan untuk jadi kenyataan?

Jawab beliau, ya, ada kemungkinan untuk idea-idea tersebut menjadi realiti, dengan syarat usaha mereka memenuhi hukum alam dari sudut rukun prosesnya. Jika mereka mengikut prosesnya secara betul, sebenarnya tiada apa yang mustahil untuk dicapai.

Cuma, pada kita selaku manusia yang beriman dengan keterbatasan dan kedaifan manusia yang diciptakan Tuhan, kita tidak juga menolak pandangan bahawa hal-hal tersebut tidak mungkin akan terealisasi.

Fokus saya, bukanlah pada percanggahan dan perdebatan itu, tetapi kepada kasus pertama tadi iaitu tiada apa yang mustahil di dunia ini selagi ianya memenuhi segala pra-syarat dan rukun prosesnya.

Untuk memungkinkan sesuatu yang kelihatan pada pandangan ramai tidak mungkin, haruslah terlebih dahulu kita memenuhi pra-syaratnya dan proses-prosesnya secara tertib mengikut lunas rukun yang tersedia baginya.

Dengan seorang rakan baik saya yang kami berkongsi sebuah idea tentang pemilikan tech-based startup, pada konsep memungkinkan yang tidak mungkin inilah banyak kalinya kami bertanya antara satu sama lain.

Paling mudah, kami sering bertanya antara satu sama lain – puluhan kali sebenarnya, apakah startup kami bakal atau mampu menjengah nasibnya sehingga ke peringkat Exit atau IPO (sebagai contoh).

Soalan sebegini ringkas, sudah pun menjadikan kami menggeletar lutut.

Pada akhirnya, bagaimana semua cita-cita dan impian ini – yang nampaknya kelam, yang tidak ada contoh di peringkat Malaysia secara jelas pengalaman-pengalaman terdahulu yang boleh menjadi model ikutan sebagaimana kisah kejayaan Facebook di Amerika Syarikat.

Tetapi, kami pasakkan satu perkara. Untuk mencapai impian tersebut, kami wajib penuhkan pra-syarat dan rukun prosesnya secara tertib dan berdisiplin.

Sebagaimana tulisan saya sebelum ini, untuk berbuat begitu, apa yang kami perlukan adalah kesanggupan kami untuk bekerja demi impian dan cita-cita ini. Makanannya: persistence and perseverence.