Tuesday, March 8, 2016

Membaiki Masyarakat Dengan Sehelai Kertas

Bunyinya retorik. Kedengaran seolah-olah tidak masuk akal. Bagaimana mungkin kita akan mampu mengubah atau membaiki masyarakat ke arah yang lebih baik dengan sehelai kertas? Atas nama kuasa apa?

Kami memulakan mimpi-mimpi Initiative for Malaysian Humanitarian (INSAN) dengan bersandarkan pada retorik ini. Itulah cerita bagaimana kami bermula.

Kelmarin, beberapa think tanks yang sudah berstatus primer di Malaysia bertemu untuk membincangkan hala tuju dan darjah relevan kewujudan think tanks di negara ini menjelang era 2020 – antara mereka adalah IDEAS, ISIS, ASLI dan Khazanah Research Institute.

Dalam perbincangan itu, mereka merencanakan idea berkenaan bagaimana think tanks berfungsi untuk membantu negara dan masyarakat berubah kepada arah yang lebih baik, terutama dari sudut perlaksanaan dasar dan pengurusannya.

Kata kuncinya adalah, dasar atau polisi. Sudah semestinya, idea untuk mengubah masyarakat melalui perlaksanaan dasar tertentu akan mengundang skeptikal yang tidak kunjung sudah, terutama sekali mereka yang taksub pada idea kuasa politik.

“Think tanks have a mighty task, trying to provide all the facts and change the mindsets of the Government and the public, as the country moves toward becoming a truly developed nation.” The Star, 6 March 2016

Sudah tentulah, kerja utama dalam menjayakan visi tersebut adalah melalui aktiviti-aktiviti advokasi (advocacy). Untuk mudah memahaminya, kerja-kerja ini melibatkan aktiviti pujuk rayu dan lobi-melobi, yang bersandarkan pada data dan dapatan kajian yang lunas pada disiplin ilmu.

Menyedari kekuatan dan peluang inilah, kami menghambat mimpi-mimpi INSAN ke hadapan dalam konteks kemanusiaan – isu-isu masyarakat terpinggir yang berfokus iaitu gelandangan, miskin kota dan OKU.

Pelbagai ruang dan segi yang terbuka buat INSAN untuk maju dan menjadi primer dalam lapangan ini. Sehingga sekarang, saya percaya, antara kekuatan INSAN yang tiada atau jarang ada pada mana-mana think tanks yang lain, adalah betapa remajanya usia para penggerak utamanya.

Cuma, yang tinggal sekarang, adalah kesanggupan kami untuk bekerja demi impian dan cita-cita ini. Ini sahaja yang INSAN perlukan – persistence and perseverence.