Tuesday, March 29, 2016

Ikat Perut

Dalam apa-apa sahaja impian atau cita-cita yang kita kejar, saya percaya pada satu frasa: ikat perut. Dari frasa inilah, timbulnya idea kesanggupan untuk bekerja demi impian dan idea yang disebutkan itu.

Saya ingin berkongsi tulisan Chris Savage, pengasas dan CEO Wistia, sebuah startup yang memfokuskan pada penghasilan video untuk tujuan pemasaran produk oleh pelanggan. Tulisannya berkisar kisahnya sepanjang 10 tahun membangunkan Wistia, sebagaimana yang kita lihat pada hari ini.

Kesimpulan dari kisahnya, 10 tahun yang berlalu adalah 10 tahun ikat perut. Beliau dan kumpulan pembangun awal Wistia ikat perut bagi menjayakan impian mereka untuk membangunkan sebuah syarikat bermula dengan tiada apa-apa.

Peri pentingnya kesanggupan ikat perut inilah, pada saya secara peribadi, menjadi faktor sejauh mana kesanggupan kita bekerja demi cita-cita dan impian tersebut. Dan, seterusnya menjadi faktor pemangkin terhadap sejauh mana syarikatnya itu akan bergerak ke hadapan dan menggapai sasaran keuntungan.

Semalam juga, pengasas The Vocket turut bercerita tentang pengalaman dua tahun mereka beroperasi bermula 2014 sehinggalah semalam , mereka berjaya mencapai suatu milestone baru. Kisahnya itu, juga seputar kesanggupan mereka membina syarikatnya dalam keadaan ikat perut.

Kita boleh memberi makna ikat perut ini sebagai kesanggupan untuk berkorban demi impian yang dikejar. Sudah semestilah, tiada suatu apa pun di atas muka bumi ini, akan datang bergolek dengan senang ke riba kita, atau jatuh bedebuk dari langit.

Semuanya, berlaku atas jerih perih, atas titik peluh, atas kesanggupan untuk bekerja dan berkorban. Saya berpegang bahawa, persistence dan perseverance adalah sifat-sifat asasi dalam konteks perbincangan ini, untuk melengkapkan peri makna frasa ikat perut dalam mengejar cita-cita dan impian.