Friday, March 4, 2016

Harga Diri Rakyat Dalam Deklarasi Rakyat

Pedihnya, hanya Tuhan sahaja yang mengerti.

Sekian lama kita diperbodohkan, dengan terma “rakyat” dalam hal-hal kepolitikan. Begitu mudah untuk meraih simpati atau undi atau perhatian khalayak, hanya dengan menempelkan terma “rakyat” pada mana-mana manifesto atau janji.

Begitu mudah sekali. Untuk sekian kalinya, hari ini sekali lagi sejarah tanah air mencatatkan bagaimana terma “rakyat” diperlakukan sedemikian murah dan lempung. Seakan tiada lagi bersisa makna dan keramatnya.

Mahathir dan segenap gerombolan politikus yang berhimpun pada hari ini menandatangani sebuah dokumen yang digelar “Deklarasi Rakyat” yang bertumpukan pada satu-satunya motif iaitu, menggulingkan Najib Razak dari takhta kuasa, seolah-olahnya terlupa akan sesuatu yang teramat penting.

Darihal makna dan pengisiannya. Pada kegirangan “As you can all see, this is a very strange group of people...” sesekali kita tidak boleh terus menjadi naif, atau kasarnya, menjadi bodoh untuk terjatuh ke dalam lubang biawak buat kali keduanya.

Janganlah kegirangan menyaksikan Mahathir dan Lim Kit Siang duduk semeja menutup segala ruang kritikal terhadap naratif sejarah mereka. Melupakan sejarah lama, hanya memberi ruang untuk sejarah tersebut berulang kembali.

Kalau ianya sejarah yang manis, tidak mengapalah. Tapi, semua orang tahu sejarah apa yang dimaksudkan di sini.

Girang itu, biarlah berpada. Soal deklarasi rakyat dan apa yang mereka laung-laungkan segalanya hari ini – perihal demokrasi, kuasa rakyat, integriti, tata-kelola yang beramanah, bukan perkara baru. Bukan Mahathir pun pencetusnya. Bukan sama sekali.

Sudah puluhan kali sebelum ini kumpulan-kumpulan kecilan yang menyerunya, bahkan seruan mengenai perubahan yang lama-lama dulu jauh lebih padat, menyeluruh dan benar-benar menggambarkan aspirasi rakyat.

Hari ini, apa yang mereka laung-laungkan itu, sudah pun dalam versi kitar semula.

Justeru, untuk tidak nampak terlebih bodoh, haruslah menahan diri dari menjadi terlalu girang perihal peristiwa hari ini. Memanglah ianya bersejarah, atau nampak kelainan (secara zahirnya begitu), tetapi hakikatnya, hal ini adalah perkara yang sudah lama dibangkitkan.

Jangan terpesona dengan terma “rakyat” atau “selamatkan Malaysia”. Kalau segala kegirangan hari ini semata-mata mahu selamatkan Malaysia dari Najib Razak, lupakanlah.

Kita tidak bercakap soal Najib Razak. Kita bercakap soal sistem dan budayanya yang sudah korup dan berakar umbi. Perlu jelas akan hal ini, wahai kawan-kawan yang sedang tersenyum girang.