Thursday, March 24, 2016

Damailah Dikau Di Sana, Aminulrasyid Amzah

Hari ini, Bernama melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memerintahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak RM414,800 kepada keluarga arwah Aminulrasyid Amzah yang telah ditembak mati oleh anggota PDRM enam tahun yang lalu.

Bayaran itu, termasuklah RM100,000 dikenakan terhadap bekas Ketua Polis Selangor waktu itu — You-Know-Who — kerana misfeasance in public office (kemungkiran awam) terhadap perintah mahkamah.

Kita bertanya, apakah mereka yang telah bersepakat menyembunyikan kebenaran di sebalik jenayah ini berani melafazkan pengakuan bersalah dan permohonan maaf secara terbuka di khalayak?

Kita tidak akan melupakan rasa sedih dan tersiatnya jiwa menyaksikan kezaliman itu telah dihalalkan, bahkan dicipta jutaan justifikasi songsang oleh gerombolan You-Know-Who untuk menutup bangkai gajahnya dengan sehelai daun buruk.

Kita juga tidak akan mudah melupakan, segala kata nista mereka yang berkuasa dan mereka yang laparkan kuasa, pada khalayak yang empati pada kekejaman ini – memutarbelitkan kebenaran, menyembunyikan fakta, mereka-reka cerita palsu.

Sekian kalinya kita bertanya, apakah gerombolan ini berani bersemuka dan memohon maaf secara terbuka?

Kita bertanya lagi, adakah bayaran ganti rugi ini akan menegakkan semula tiang sendi keadilan yang telah runtuh berderai?

Kita tidak pasti. Kita tiada jawapan. Cuma, yang tinggal adalah utusan doa kepada arwah. Yang bersisa adalah harapan dan impian. Damailah dikau di sana, Aminulrasyid Amzah. Damailah...