Wednesday, February 10, 2016

Politik Yang Merimbun Harapan

Bingkisan ini ditulis, setelah genapnya setahun berlalu saya menulis sebuah bingkisan ringkas, pada pagi 10 Februari 2015, bilamana Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun akibat pendakwaan yang direka-reka oleh sekalian musuh politiknya.

Saya ingin mengimbau beberapa peristiwa atau jalur penceritaan yang menyampaikan maksud saya untuk menulis lagi pada hari ini.

Pada 12 Januari 2016, Presiden Obama menyampaikan ucapan State of the Union yang terakhir untuk tenor pemerintahannya. Dalam ucapan itu, beliau mengungkapkan frasa yang cukup mendalam maknanya, iaitu politics of hope.

Ujar beliau,

Each time, there have been those who told us to fear the future; who claimed we could slam the brakes on change, promising to restore past glory if we just got some group or idea that was threatening America under control. 
And each time, we overcame those fears. We did not, in the words of Lincoln, adhere to the “dogmas of the quiet past.” 
Instead we thought anew, and acted anew 
We made change work for us, always extending America’s promise outward, to the next frontier, to more and more people. 
And because we did – because we saw opportunity where others saw only peril – we emerged stronger and better than before.

Tidaklah pelik jikalau ucapan begitu keluar dari lidah Obama, kerana seantero dunia kenal apakah tema politik bawaan beliau. Pada hari ini, saat begini yang serba gundah, kita tersangat memerlukan pada pemahaman dan pengertian makna frasa tersebut terlebih-lebih lagi.

Maka, tidaklah hairan bilamana David Brooks, seorang kolumnis The New York Times, yang juga merupakan seorang penyokong kuat kepada Republikan, menulis sebuah artikel akan kerinduannya terhadap sosok Obama dalam musim pemilihan calon Presiden USA yang baru.

Kerinduan beliau, berasas pada banyak premis dan antaranya, tulis Brooks, a resilient sense of optimism yang ada pada Obama dan pada hari ini, semua calon yang sedang berebut tiket Presiden tidak punya sama sekali.

Benar, seperti apa yang ditulis Brooks, ketika semua orang merasa bahawa negara mereka di ambang kehancuran, adanya suara-suara optimis sebegini amatlah membantu untuk menyedarkan semula kita semua, bahawa dunia masih belum Kiamat dan kita punya asa untuk melakukan perubahan yang kita semua impikan.

Cuma sekarang, hanya tinggal kita sahaja sebagai faktor terakhir untuk merealisasikan cita-cita tersebut. Naratif yang diceritakan sebentar tadi, kita boleh impikan pada konteks Malaysia sama. Harapan adalah sebuah virtue, yang sifatnya adalah tenaga.

Sifat tenaga adalah tetap. Hukum fizik tentang tenaga mengatakan bahawa tenaga tidak dicipta atau boleh dimusnahkan. Tenaga hanya berubah bentuk, dari satu bentuk ke bentuk yang lain – dengan membawa esensi yang sama.

Begitu jua akan halnya harapan. Ianya tidak musnah, tidak terkalah dengan ketakutan, kebencian dan rasa mengalah, serta kesinisan yang direka-reka.

Tugas kita, adalah mengubah bentuk harapan itu menjadi sebuah ketumbukan perubahan yang bisa meroboh dan meranapkan segala rangka ketakutan dan bayang-bayang kerancuan yang dibina oleh aparat penguasa. Ini tugas kita – tugas semua generasi anak muda Malaysia.

Bersambung dengan kisah Anwar Ibrahim, sosok ini jikalau adapun manusia di bumi Malaysia yang membencinya dan membenci prinsip politiknya sesungguh hati, mereka sesekali tidak mampu menafikan bahawa sosok ini adalah begitu jauh bezanya dengan mana-mana politikus yang pernah lahir di tanah air ini.

Sosok ini, seperti dalam bingkisan setahun yang lalu, saya menulis bahawa Anwar Ibrahim dan perjuangan politiknya sudah menjadi seakan “turath” kepada sekalian ana muda Malaysia yang mengimpikan sebuah perubahan yang benar-benar bersifat dengan sifat perubahan.

Perubahan pada sistem nilai – integriti sistem dalam mempertahankan nilai-nilai hak asasi, kemanusiaan, keadilan, kesaksamaan, kebenaran dan segenap esensi demokratik.

Pada prinsipnya, ya, sesekali kita tidak beriman dengan mana-mana sosok politkus, termasuklah Anwar Ibrahim. Namun, berbicara dalam konteks ini, kata orang we give credit where credit's due. Siapa boleh ajukan tantangan pada maksud ini?

Justeru, politik yang memberi harapan, yang merimbunkan cita-cita dan impian, yang optimis pada masa depan yang gilang, yang tidak termakan dek mainan kebencian, hasad, perkelahian warna kulit, ketakutan dan segala anak-beranaknya – adalah politik yang kita wajar dukung.

Paling tidak, Anwar Ibrahim, dalam segenap hayatnya sehingga ke saat hari ini, beliau tidak betah dan tidak merasa lelah dalam membawakan obor harapan ini. Cumanya, tinggal pada kita sahaja, wahai anak-anak generasi muda Malaysia, untuk menyambut atau membungkam pada huluran obor harapan tersebut.