Wednesday, February 17, 2016

Menteri Kaki Bangku

Dulu, di zaman persekolahan, mereka yang berkaki bangku, biasanya akan diletakkan pada posisi pertahanan atau penjaga gawang gol setiap kali adanya permainan bola sepak untuk subjek Pendidikan Jasmani. Mengapa?

Semua maklum mengapa aturannya begitu. Kalau diletakkan si kaki bangku menjadi penyerang, alamak sudah tentulah akan tidak berhasil sebarang gol, bahkan bakal mengundang amarah rakan-rakan dalam pasukannya pula.

Kaki bangku sewaktu zaman persekolahan, kita cuma faham dalam konteks bola sepak. Pindahkan konsep tersebut, pada hal-hal yang lainnya, sebagai contoh, politik.

Pelik sekali, bila kita semua meningkat dewasa, kita mula menyedari bahawa acap kalinya mereka yang berkaki bangku diletakkan pada posisi penyerang, atau mereka yang berkaki bangku, meminta-minta untuk diletakkan pada posisi tersebut.

Orang begini, kita gelarkan mereka sebagai tidak sedar diri.

Contoh paling ketara, adalah dalam politik Malaysia. Majoriti pengundi Malaysia memilih orang-orang yang berkaki bangku dalam politik untuk memegang jawatan utama pentadbiran negara.

Mereka memilih perompak untuk menjadi Perdana Menteri.

Mereka memilih pelawak hambar untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mereka memilih badut-badut sarkas untuk memenuhi kabinet menteri.

Kalaupun mereka tidak dipilih pada awal-awalnya untuk diletakkan pada posisi itu, mereka akan menggunakan sebarang jua cara yang ada untuk nama mereka tersenarai selaku penyerang. Akibatnya, semua dapat mengagak pengakhiran yang bagaimana jikalau si kaki bangku menjadi penyerang!

Jadi, tidak hairanlah bilamana Salleh Keruak mengeluarkan kenyataan bahawa Wawasan 2020 hanyalah mimpi-mimpi kosong. Sebab paling utama, kerana kabinet jemaah menteri dipenuhi oleh makhluk berkaki bangku seperti dia.

Tidak pelik langsung jikalau Malaysia gagal menggapai apa yang diimpikan oleh Mahathir selama tiga dekad yang lalu. Kita telah memilih manusia (menteri) berkaki bangku – yang bodoh, yang sempit akal, yang haloba – duduk bersimpuh di kerusi-kerusi empuk Putrajaya.

Apa yang boleh kita hairankan lagi?

Terimalah hakikat bahawa jikalau berterusan begini, jangankan Wawasan 2020, malah tidak mustahil langsung Malaysia akan kembali menjadi tanah jajahan imperialis luar.

Kita boleh menjadi dungu dan terus menunggu kaku, menanti segala dampak ini berkilau di depan mata.

Atau, kita boleh memilih, untuk bangkit dan melawan.