Monday, February 22, 2016

Menangisi Generasi Bisu

Hari ini, manusia yang punya hati sanubari akan mengingati 50 tahun pemergian Malcolm X.

Manusia yang melawan, insan yang punya kesedaran pada penindasan dan kebatilan, manusia yang tidak bisu – pada kebejatan, pada ketidakadilan, pada diskriminasi – akan mengingati hari ini dan berusaha menjadi sebahagian naratif memorinya.

Bagaimana untuk kita umat zaman kini mahu terus mengekalkan legasi pemikiran, legasi kepimpinan, legasi idea, legasi keazaman dan iltizam pada melawan penindasan yang telah dicetuskan oleh Malcolm X?

Jawapannya, tiada lain tiada bukan, wajib pada kita membanteras generasi bisu. Generasi yang membisu pada ketidakadilan, yang senyap sepi pada penindasan dan membutakan matanya pada diskriminasi di hadapan matanya – yang membutuhnya untuk berbuat sesuatu.

We declare our right on this earth to be a man, to be a human being, to be respected as a human being, to be given the rights of a human being in this society on this earth in this day which we intend to bring into existence via any means necessary.” – Malcolm X, 28 June 1964

Malcolm X sudah menjadi simbol pada iltizam ini. Simbol sahaja, tidak mencukupi. Simbol tidak bermakna dan tidak mampu mengenyangkan manusia yang kelaparan di kaki-kaki lima. Dengan simbol sahaja, tidak mampu membebaskan manusia dari penindasan sang penindas.

Untuk membanteras generasi bisu, harus dimulakan dengan pendidikan. Itulah esensi yang boleh kita cedok dari pengisahan hidup Malcolm X. Beliau tidak pernah sesekali alpa untuk mengingatkan kepada kita, betapa pendidikanlah adalah punca kepada perubahan yang sebenar.

Beliau menukar jeriji penjaranya menjadi sebuah kelas pengajian yang mengubah pandangan hidupnya secara total. Setelah menyalin halaman demi halaman sebuah kamus yang diperolehinya, beliau menghafalnya!

Beliau membaca setiap buku yang berada dalam perpustakaan penjara itu – falsafah, politik, sejarah, sastera, dan sains. Beliau membaca Bible, membaca tentang arkeologi sehinggalah kepada genetik. Beliau kemudian berkata,

Let me tell you something: from then until I left that prison, in every free moment I had, if I was not reading in the library, I was reading on my bunk. You couldn’t have gotten me out of books with a wedge. Between Mr. Muhammad’s teachings, my correspondence, my visitors—usually Ella and Reginald—and my reading of books, months passed without my even thinking about being imprisoned. In fact, up to then, I never had been so truly free in my life.” 
Learning to Read excerpt from The Autobiography of Malcolm X

Beliau keluar dari jeriji penjara, menjadi manusia yang melawan. Beliau simbol kepada pendidikan yang menyeluruh. Beliau mengungkapkan peri pentingnya pendidikan, berdekad lebih awal dari Nelson Mandela, apatah lagi Malala Yousafzai.

Tapi, hari ini, kita melihat universiti-universiti menjadi kilang kepada kelahiran generasi bisu secara berbondong-bondong!

Sudah pasti Malcolm X akan menangis kesedihan jika Tuhan takdirkan umurnya panjang untuk menyaksikan projek pembodohan ini yang begitu berleluasa tiada tertahan lagi.

Alangkah, betapa kita buta pada sejarah, betapa kita melupakan pelajaran dari kisah hidup seorang pejuang keadilan yang mungkin tidak akan lahir lagi pada zaman kita dan akan datang. Betapa kita lupa, pendidikan pada erti kata yang sebenar, yang melahirkan manusia melawan seperti Malcolm X.

Hari ini, dunia jenuh dengan ketidakadilan. Dunia terhias rapi dengan diskriminasi. Dunia menjadi syurga sang penindas. Tapi, dengan universiti-universiti hanya mampu melahirkan generasi-generasi bisu, apakah lagi harapan yang bersisa buat umat zaman sekarang?

Kita malu dengan beliau. Kita malu dengan hakikat betapa penakutnya generasi hari ini. Kita akan mati keseganan dengan generasi-generasi bisu yang lahir dari sebuah sistem pendidikan yang menghirup kepingan wang, tetapi hampa makna dan hakikat.

Betapa, hari ini, kita terpalit dengan generasi yang membisu pada ketidakadilan, yang lebih senang mengenyangkan perut rodong masing-masing, yang terlebih senang memikirkan kesenangan peribadi.

Kita tidak kepupusan kerana tidak membiak secara biologi, tetapi kita kepupusan kerana matinya hati nurani yang dianugerahkan Tuhan kepada kita semua. Kita lebih rela memilih menjadi generasi bisu, yang kaku, yang tiada harga langsung. Kitalah generasi itu.

Wajarlah, hari ini sesudah 50 tahun pemergian Malcolm X, kita menangisi akan bisunya kita semua.