Sunday, February 21, 2016

Menanggapi Isu Polis Internet

Hari ini, Nur Jazlan Mohamed mencadangkan sebuah undang-undang digubal supaya penulis blog wajib mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Tujuan tiada lain tiada bukan, untuk mengawal, untuk mencucuk hidung supaya menjadi lembu yang senang disandung ke mana mereka suka.

Hampir dua tahun yang lepas, Najib Razak bercakap tentang pendemokrasian maklumat. Dalam kenyataannya itu, dia bercakap soal maklumat dua hala, dan rakyat juga bebas menyampaikan maklumat tersendiri – pandangan, idea, bantahan, ekspresi.

Awal tahun ini, heboh di bawah PDRM tertubuh satu badan dinamakan Police Cyber Investigation Response Centre (PCIRC). Sebenarnya, tidak menjadi sebarang masalah pun bagi kerajaan untuk adakan suatu badan yang mengawal selia kegiatan Internet.

Dunia Internet semakin pesat, kita tidak nafikan keperluannya. Bahkan, hal ini perlu menjadi topik yang wajar didebatkan.

Cuma, hal PCIRC menjadi masalah dan menimbulkan gangguan pada rata-rata netizen adalah kerana PCIRC bertindak sebagai polis Internet yang fungsinya semata-mata untuk menghalang orang ramai menghamburkan kemarahan kepada Najib Razak.

Kalau sebuah unit ditubuhkan di bawah PDRM semata-mata berfungsi untuk mencuci najis Najib Razak, perkara itu wajib dilaknat oleh seluruh lapisan masyarakat – kerana mereka dibayar gaji menggunakan duit cukai yang dikutip dari semua poket rakyat Malaysia.

Sudah pastilah kita tidak bermasalah dengan objektif untuk menghalang kegiatan jenayah seumpama buli, jualan senjata api dan dadah, penipuan jualan atas talian, penyebar hasutan yang mengapi-apikan kebencian pada satu-satu ras atau agama.

Tetapi, kita sangat-sangat bermasalah dengan PCIRC yang cuma tahu memberi amaran kepada mana-mana pengguna Twitter, Facebook dan blog yang memaki Najib Razak atas kebodohan dasar-dasar pemerintahannya dan segala kejijikan skandal-skandal sekeliling pinggangnya.

Pilih kasih. Selektif. Dipergunakan, diperkotak-katikkan Najib Razak, untuk menjadi kuda tunggangan kepada karier politiknya yang semakin kelemasan.

Begitu juga dengan cadangan Nur Jazlan Mohamed pada hari ini, sudahnya kesemua undang-undang yang tidak masuk akan ini akan dikenakan, dilaksanakan pada siapa? Pada mereka yang mengkritik dan memaki Najib Razak?

Sehingga ke hari ini, dalam segala rencam kebodohan yang ditunjuki oleh barisan menteri pandir dan pengikut tegar yang mindanya tertawan, kita tertanya-tanya di manakah sudah tertinggal mimpi-mimpi Malaysia pada satu masa dahulu,

memelihara satu cara hidup demokratik; 
mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; 
menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;

Masa depan kita, kelam. Inilah hakikatnya. Memang kita optimis. Memang harapan itu tidak pernah terkubur, jauh sekali mati langsung – tetapi kita insaf bahawa, jika kecelakaan begini berterusan, maka mimpi-mimpi Malaysia itu akan terus tinggal mimpi-mimpi kosong.

Tiada cara lain, generasi muda hari ini wajib sedar, bangkit dari tidur lena dan bina naratif kita sendiri – politik, ekonomi, sosial, pendidikan. Anak-anak muda tidak boleh terus selesa berada dalam kepompong naratif politik orang tua bangka, yang menunggu masa untuk ke kubur.

Kita harus berdiri, pada naratif yang kita sendiri cipta, garap dan pertahankan. Kita tidak boleh terus begini – dian dungu menanti seumpama pandir.